Samsudin Osman MPPN lawan Ibrahim Ali Perkasa adalah pertempuran “patriot melawan pengkhianat” untuk golongan moderat menyelamatkan Malaysia dari puak pelampau yang mahu menimbulkan kacau-bilau dan ketegangan perkauman serta keagamaan?
Dalam forum “Legacy of Tunku Abdul Rahman” di Kolej New Era di Kajang pada 10 Februari 2014, saya telah menyeru semua moderat dan patriot Malaysia, dalam Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat serta juga pihak di luar kedua-dua pakatan politik itu, untuk bersatu dan menyisihkan puak pelampau dan pengkhianat negara yang cuba untuk menimbulkan kacau-bilau dan ketegangan perkauman serta keagamaan menerusi tindakan mereka yang mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan.
Saya telah menyebut bahawa saya percaya sebahagian besar rakyat Malaysia, sama ada dalam DAP, PKR, atau PAS dalam Pakatan Rakyat, atau dalam Umno, MCA, Gerakan, MIC dan parti-parti komponen lain dalam Barisan Nasional, tidak mahu peristiwa rusuhan 13 Mei berulang di negara ini kerana seperti Bapa Malaysia Tunku Abdul Rahman, mereka juga mahu kasih-sayang, keamanan, kerukunan, perpaduan dan kemakmuran tertegak di Malaysia.
Namun golongan moderat di Malaysia perlu bersatu dan menyisihkan pelampau dan pengkhianat negara yang cuba untuk menimbulkan kacau-bilau dan ketegangan perkauman serta keagamaan menerusi tindakan mereka yang mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan. Jika tidak, kita akan kalah sebelum melawan dan agenda nasional akan dirampas oleh segelintir manusia yang akan menyebabkan negara ini musnah dan terjerumus ke lembah kegagalan.
Saya melihat bayang-bayang pertempuran hebat “patriot melawan pengkhianat” di Malaysia pada perselisihan antara Majlis Perundingan Perpaduan Negara (MPPN) dan Perkasa apabila Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali menuduh anggota-anggota MPPN sebagai “anti-nasionalis” dan Pengerusi MPPN Tan Sri Samsudin Osman pula dilaporkan menjawab tuduhan itu dengan mengatakan anggota MPPN adalah “patriot” yang berjuang untuk menghalang perbalahan kaum dan agama.
Isu yang sedang kita hadapi adalah berat, namun tindakan Perkasa yang diketuai oleh seorang pembuat penghasut profesional menggelar MPPN sebagai “ancaman terhadap perpaduan negara” sedangkan MPPN dikepalai oleh mantan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Samsudin Osman yang kini adalah Pengerusi KWSP dan Presiden Perbadanan Putrajaya, iaitu kerajaan tempatan bagi Putrajaya, adalah menggelikan hati.
Menurut Ibrahim Ali, MPPN tidak layak untuk menasihatkan Putrajaya tentang isu kaum dan agama dan beliau mahu MPPN dibubarkan dan digantikan dengan barisan NGO Melayu yang akan menegakkan “perpaduan yang sebenar.”
Saya terkejut Ibrahim Ali tidak mendakwa MPPN tanpa Ibrahim Ali tidak akan mampu membentuk perpaduan negara dan sekali lagi mendabik dada seperti yang dilakukannya di Pulau Pinang dengan mendakwa dirinya “1,000 kali lebih baik dari Anwar” untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia. Namun itu cukup untuk memberi bayangan kepada kita watak dan personaliti Presiden Perkasa itu.
Rakyat Malaysia yang rasional dan moderat dari semua kaum dan agama tidak perlu membazir masa memikirkan kecaman Ibrahim Ali.
Lebih penting untuk golongan moderat di Malaysia, dalam Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat serta juga pihak di luar kedua-dua pakatan politik itu, tidak lalai dalam usaha menyatu-padukan masyarakat dan menyisihkan puak pelampau dan pengkhianat negara yang cuba untuk menimbulkan kacau-bilau dan ketegangan perkauman serta keagamaan menerusi tindakan mereka yang mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan.
Apakah pertempuran MPPN melawan Perkasa ini pembuka tirai pertempuran besar “patriot melawan pengkhianat” untuk menentukan masa depan Malaysia?
Ujar Samsudin kepada The Malaysian Insider: “Sejauh ini kita telah mengadakan dua pertemuan dan dalam kedua-dua pertemuan ini jelas bahawa semua yang terlibat amat cintakan negara dan mahu melihat penyelesaian bagi perkara yang berlaku sekarang.”
Beliau juga telah menafikan pandangan Perkasa bahawa sebahagian anggota MPPN bersikap berat sebelah dan tidak mewakili rakyat Malaysia. Menurut beliau, 30 anggota MPPN yang baru dibentuk itu merasa gusar melihat tindakan provokasi akhir-akhir ini yang dapat menjejaskan perpaduan negara.
Samsudin menegaskan setiap anggota MPPN “bekerja keras” untuk memahami akar permasalahan bagi isu perkauman dan keagamaan dan mengemukakan penyelesaian kepada kerajaan sesegera mungkin.
Ujar beliau: “Ya, kami semua mempunyai latar belakang yang berlainan dan menganggotai parti politik yang berbeza-beza, tapi kami mempunyai satu persamaan – kami semua amat mencintai Malaysia dan bertekad untuk memulihkan keharmonian dan perpaduan.
“Anggota majlis ini jujur dan bersungguh-sungguh berusaha untuk mencari penyelesaian dan saya tidak pernah mendengar seorang pun dari mereka mengatakan yang mereka mahu ‘cari gaduh’.”
Menurut Samsudin, rakyat Malaysia umumnya cintakan keamanan dan jarang timbul masalah di masa lalu.
“Sudah bertahun-tahun kita hidup bersama di sini (Malaysia) dan tidak pernah ada kejadian mencemarkan rumah ibadat.
“Jadi, kita perlu menonjolkan tindakan-tindakan yang menunjukkan kita sememangnya cintakan keamanan.”
Sejak beberapa bulan lalu, yang mahu ‘cari gaduh’ hanya Ibrahim Ali, Perkasa, dan NGO lain seperti Perkasa, termasuk “Majlis NGO Islam” yang telah mengadakan tunjuk perasaan pada 6 Februari lalu di Kuala Lumpur dan menawarkan ganjaran RM1,200 (kini ditingkatkan kepada RM2,000) kepada sesiapa yang berjaya menampar Naib Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok berikutan video “Onederful Malaysia CNY 2014”.
Saya tidak begitu yakin MPPN akan dapat memainkan peranan berkesan memulihkan perpaduan negara dan kerukunan hidup antara kaum dan agama kerana semua ini bergantung pada hakikat sama ada kerajaan Najib mempunyai kesanggupan politik untuk melaksanakan suatu Pelan Induk Perpaduan Negara.
Namun MPPN, para patriot, dan golongan moderat lain di Malaysia berhak diberikan peluang untuk meneroka setiap jalan ke arah membentuk perpaduan dalam negara dan memulihkan kerukunan hidup, keamanan, dan perpaduan antara kaum dan agama.