Apa tindakan KPN dan di mana kedaulatan undang-undang ketika para penjaja kebencian secara terbuka mengugut bahawa “gunung berapi akan meletus” di tengah peningkatan kempen kebencian?
Rakyat Malaysia hari ini tertanya-tanya di mana Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan di mana kedaulatan undang-undang di Malaysia ketika para penjaja kebencian secara terbuka mengugut bahawa “gunung berapi akan meletus” di tengah peningkatan kempen kebencian yang bertujuan mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan dalam negara ini.
Para penjaja kebencian berusaha meningkatkan ketegangan perkauman dan keagamaan sepanjang beberapa bulan lalu dan telah menyampaikan mesej jelas bahawa mereka tidak akan menghentikan rancangan jahat dan khianat mereka untuk menimbulkan kekacauan perkauman dan keagamaan dalam negara.
Mesej jelas itu disampaikan menerusi wawancara The Malaysian Insider (TMI) dengan dua jurucakap “Majlis NGO Islam” yang telah mengadakan tunjuk perasaan pada 6 Februari lalu di Kuala Lumpur dan menawarkan ganjaran RM1,200 (kini ditingkatkan kepada RM2,000) kepada sesiapa yang berjaya menampar Naib Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok berikutan video “Onederful Malaysia CNY 2014”, selain menyembelih ayam dan melumur darah ayam ke atas gambar pemimpin-pemimpin DAP dan Pakatan Rakyat.
Dalam laporan hari ini yang ditulis oleh wartawan TMI Trinna Leong, berjudul “We are a volcano waiting to erupt over hate issues, Islamic coalition warns Malaysians”, setiausaha agung Perkib dan Permas Zulkifli Sharif serta presiden Perkib Mokhtar Ghazali yang menjadi dalam tunjuk perasaan “ayam dan tampar” telah memberi amaran bahawa “gunung berapi akan meletus” jika parti-prti politik terus mengapi-apikan semangat perkauman di kalangan rakyat Malaysia.
Zulkifli Sharif memberi amaran: “Budaya Melayu diam. Tapi diam kami tidak bermakna kami akan menyerah sepanjang masa. Orang Melayu seperti gunung berapi. Sekali meletup, semua hancur.”
Beliau salah menuduh DAP mengapi-apikan emosi perkauman sedangkan badan seperti “Majlis NGO Islam” yang menganjurkan kegiatan-kegiatan keji – berbohong kononnya DAP anti-Melayu, anti-Islam, dan anti-Raja, sedangkan semua itu dusta yang disebarkan untuk menimbulkan kacau-bilau dan ketegangan antara kaum.
Paling mengejutkan ialah Zulkifly Sharif dan Muhd Mokhtar Ghazali menunjukkan lagak seolah-olah mereka yakin bahawa mereka kebal dari undang-undang walaupun telah melakukan pelbagai kesalahan, termasuk kesalahan yang dibuat sewaktu tunjuk perasaan “ayam dan tampar” 6 Februari lalu, iaitu hasutan untuk melakukan kekerasan terhadap seorang wanita, Ahli Parlimen dan menggertak bahawa rusuhan kaum 13 Mei akan tercetus sekali lagi.
Mereka malah merasa begitu yakin akan “kekebalan” mereka dari sebarang tindakan pihak berkuasa sehingga sanggup mendabik dada dan mengaku secara terbuka bahawa beberapa anggota pertubuhan mereka turut terlibat dalam tunjuk perasaan kepala lembu di Shah Alam lima tahun lalu, perbalahan tentang suara azan dari masjid Kampung Kerinchi pada tahun 2011, dan perhimpunan di luar Mahkamah Rayuan tahun lalu berkenaan isu “Allah”.
Kita tidak lupa bagaimana para penunjuk perasaan kepala lembu dilayan seperti “pahlawan” oleh Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Menteri Dalam Negeri ketika itu.
Tentang “tawaran tampar”, Zulkifly berkata, “ganjaran itu bukan bertujuan untuk mencederakan beliau (Teresa) tetapi sebagai amaran kepada beliau dan orang lain,” sambil menambah bahawa ganjaran telah ditingkatkan kepada RM2,000 dari RM1,200 sebelum ini, namun belum ada sesiapa menuntut wang tersebut.
Ujar beliau: “Kami sedar ada pihak menganggap kami tidak bertamadun, tapi kalau kami tidak mengambil apa-apa tindakan, akan lebih banyak masalah perkauman timbul dan lebih banyak penghinaan akan dilemparkan terhadap Melayu dan institusi raja.”
Mokhtar, presiden Perkib yang juga merupakan ahli Biro Penerangan Umno Jerantut menolak dakwaan bahawa pakatan NGO yang dianggotai beliau adalah rasis dan bahawa pakatan itu hanya mahu menjadikan keadaan kembali harmoni seperti yang dinikmati sebelum ini.
“Kami tidak berdendam dengan mana-mana kaum lain kerana kita semua rakyat Malaysia,” kata beliau.
Menurut Zulkifly, “keamanan yang dinikmati sekarang tidak akan berpanjangan kalau ahli-ahli politik, terutamanya dari DAP, terus menaikkan emosi perkauman.
“Berapa lama kita boleh bersabar kalau Melayu terus dihina? Jangan marah kalau satu hari nanti ada isu meletus dan Melayu bangkit. Waktu itu, jangan salahkan Melayu.”
Menurut Zulkifli, ahli-ahli politik perlu sedar bahawa isu-isu yang melibatkan Melayu tidak patut dijadikan bahan gurauan.
“Kita perlu membina hubungan antara kaum, tapi Teresa Kok sebaliknya cuba menjejaskan hubungan antara kaum.”
Kedua-dua mereka menyatakan bahawa pertubuhan mereka hanya akan bertindak jika diprovokasi dan mereka akan terus mengadakan tunjuk perasaan jika ada individu atau kumpulan menghina raja, kaum dan negara.
“Kalau Melayu hilang sabar, hilang akal, dan mengamuk, mereka akan bertindak di luar sempadan. Dalam sejarah Melayu, ia disebut sebagai ‘Jebat mengamuk’.”
Tiada seorang pun di antara kedua-dua mereka menyatakan bagaimana video Teresa itu boleh dianggap menghina Melayu, Islam, atau Raja, sehingga boleh menghalalkan sesiapa untuk mengamuk.
Saya telah sebutkan berkali-kali sebelum ini, kalau ada sesiapa mampu membuktikan bahawa video Teresa Kok anti-Melayu, anti-Islam, dan anti-Raja, saya akan menyuruh Teresa menarik balik video itu dan meminta maaf. Namun, sudah lebih dua minggu saya menunggu, belum ada sesiapa tampil setakat ini!
Mengapa? Sebabnya mudah. Video Teresa itu mengkritik dasar-dasar kerajaan yang menyebabkan rakyat hidup dalam keadaan payah, pendidikan merosot, rasuah terus merebak, dan rakyat merasa tidak selamat, tetapi tiada sama sekali bahagian dalam video itu yang boleh dianggap anti-Melayu, anti-Islam atau anti-Raja.
Kini giliran KPN untuk bertindak. Mengapa polis belum mengambil sebarang tindakan ke atas pihak yang terlibat dalam tunjuk perasaan “ayam dan tampar” 6 Februari lalu walaupun pelbagai kesalahan dilakukan dalam tunjuk perasaan itu?
Selain itu, apakah polis akan mengambil tindakan segera terhadap Zulkifly dan Mokhtar yang secara terbuka menunjukkan sikap tidak peduli kepada undang-undang dan menggertak untuk menimbulkan kekerasan dan kekacauan serta menyebut tentang letusan “gunung berapi”.
Khalid perlu membuktikan dirinya sebagai KPN untuk semua rakyat Malaysia dan tidak membiarkan kegiatan keji dijalankan untuk melaga-lagakan kaum dan agama di Malaysia.
Kelmarin, ketua Belia Sosialis DAP (DAPSY) Bukit Bendera Mohd Hariszuan Jahyaruddin telah membuat laporan polis di Pulau Pinang tentang posting blog palsu di Internet yang kononnya dari Pakatan Rakyat, menyebarkan pembohongan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang merancang untuk mengharamkan khutbah Jumaat, mirip dengan pembohongan yang disebarkan beberapa tahun lalu bahawa kononnya kerajaan Pulau Pinang mengharamkan perarakan sempena Maulud Nabi.
Semua ini adalah tindakan gila dan khianat oleh pihak yang mahu melaga-lagakan kaum dan agama di Malaysia. Apakah yang polis lakukan untuk menghadapkan pihak terbabit ke muka pengadilan?
Tiga hari lalu, Mingguan Malaysia telah menerbitkan rencana menghasut bertajuk “Melayu, Islam dihina di Tanah Melayu”, yang ditulis oleh penolong pengaran Utusan Malaysia Azman Anuar.
Apakah KPN telah mengarahkan tindakan segera oleh polis terhadap rencana yang diterbitkan oleh Mingguan Malaysia itu atau polis hanya akan bertindak setelah menerima laporan?
Pagi ini, Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor DAP untuk Kampong Tunku Lau Weng San telah membuat laporan polis terhadap rencana Mingguan Malaysia itu dan Azman Anuar. Apakah polis akan mengambil tindakan segera?