KPN Khalid perlu mendengar nasihat MPPN supaya tindakan segera diambil terhadap pihak yang meniup api perkauman dan keagamaan dengan tujuan memusnahkan keharmonian antara kaum dan agama di Malaysia, antaranya Utusan dan “Majlis NGO Islam”

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar kelmarin memberitahu bahawa Pejabat Peguam Negara telah mengembalikan kertas siasatan polis ke atas video “Onederful Malaysia CNY 2014” Naib Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok untuk polis menjalankan siasatan lebih lanjut.

Sesuatu yang mengejutkan mengapa KPN, walaupun berdepan dengan kritikan pelbagai pihak di dalam dan luar negara, terus bersikap pilih bulu dengan tidak mengambil sebarang tindakan atau menyiasat kelompok yang menggelar diri mereka sebagai “Majlis NGO Islam” yang telah melakukan beberapa kesalahan ketika mengadakan tunjuk perasaan di Kuala Lumpur pada 6 Februari lalu, antaranya kesalahan mengeluarkan ancaman, serta menghasut supaya kekerasan dilakukan terhadap seorang Ahli Parlimen menerusi tindakan menawarkan ganjaran RM1,200 kepada sesiapa yang berjaya menampar Teresa Kok.

Mengapa KPN dan polis tidak peduli tentang jenayah yang dilakukan oleh “Majlis NGO Islam” sedangkan mereka mengaku sebagai pemelihara undang-undang dan ketertiban, selain sebagai penjaga keamanan awam?

KPN Khalid perlu mendengar nasihat Majlis Perundingan Perpaduan Negara (MPPN) supaya tindakan segera diambil terhadap pihak yang meniup api perkauman dan keagamaan dengan tujuan memusnahkan keharmonian antara kaum dan agama di Malaysia, antaranya Utusan dan “Majlis NGO Islam”.

Dalam edisi hujung minggu, Mingguan Malaysia menerbitkan sebuah rencana mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan yang ditulis oleh Azman Anuar, penolong pengarang akhbar itu.

Mengapa polis belum menyiasat rencana Mingguan Malaysia itu dan banyak lagi tulisan bersifat menghasut dan mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan yang pernah diterbitkan oleh Utusan Malaysia semenjak beberapa tahun lalu?

KPN dan pegawai atasan polis yang lain sepatutnya meneliti kenyataan awam yang dikeluarkan oleh MPPN kelmarin yang menyeru pihak berkuasa, khususnya polis, untuk bertindak pantas bagi mencegah tindakan-tindakan yang mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan serta meningkatkan ketegangan.

Kenyataan MPPN yang menggesa kerajaan supaya menegakkan kedaulatan undang-undang dan mengukuhkan perpaduan kebangsaan dengan mengambil tindakan segera terhadap kenyataan-kenyataan dan tindakan-tindakan yang provokatif dan dapat membawa kepada ketegangan dan menjejaskan keharmonian serta perpaduan kebangsaan itu menunjukkan bahawa KPN dan polis telah gagal untuk menjalankan tugas utama mereka sejak sembilan bulan lalu.

Salah satu kegagalan terbesar Khalid dalam tempoh sembilan bulan lalu sejak pelantikannya sebagai KPN pada 17 Mei 2013 ialah kegagalannya untuk bertindak secara tegas terhadap pihak yang terlibat menjaja sifat benci. Pihak terbabit nampaknya merasa “kebal” jika mereka berlindung di sebalik beberapa NGO pro-Umno dan selagi sasaran serangan mereka ialah parti-parti Pakatan Rakyat, khususnya di Pulau Pinang dan Selangor.

Peningkatan kejadian yang merangsang kebencian perkauman dan keagamaan – antaranya kejadian melempar bom ke perkarangan gereja, pemasangan sepanduk provokatif di luar lima buah gereja di luar pengetahuan pihak berkuasa gereja, perbuatan meletak seketul daging yang dipercayai sebagai daging babi dalam sebuah masjid (semuanya di Pulau Pinang) – adalah natijah dari “sikap tidak apa” polis terhadap kempen-kempen menyemarakkan kebencian di bawah KPN Khalid.

Saya setuju sepenuhnya dengan kenyataan setiausaha agung Malaysian Indian Progressive Association (Mipas) S Barathidasan yang menyalahkan sikap pilih bulu polis sebagai punca utama ketegangan meningkat berikutan tindakan mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan sepanjang beberapa bulan lalu.

Menurut Barathidasan, Mipas, WargaAman, dan beberapa NGO lain telah membuat laporan polis terhadap pemimpin Perkasa Ibrahim Ali, Zulkifli Noordin dan ahli akademik Riduan Tee Abdullah.

Satu laporan juga telah dibuat terhadap ketua Wanita Umno Shahrizat Abdul Jalil yang telah mengungkit rusuhan kaum 13 Mei dalam ucapannya.

Terbaru, ujar Barathidasan, laporan telah dibuat terhadap NGO yang menyembelih ayam di kahalayak ramai dan melumur darah ayam ke atas gambar para pemimpin DAP.

Barathidasan mengemukakan pertanyaan yang wajar: “Mengapa sehingga hari ini tiada tindakan diambil terhadap para pemimpin Umno/BN serta NGO pro-kerajaan yang telah melakukan tindakan memprovokasi dan meningkatkan ketegangan perkauman dan keagamaan?”

Mampukah Khalid untuk membersihkan dirinya dari dakwaan MPPN bahawa polis gagal bertindak segera untuk menghentikan perbuatan mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan sejak beberapa bulan lalu?

Mampukah Khalid menjelaskan mengapa sepanjang sembilan bulan lalu polis gagal menegakkan undang-undang dan memelihara keamanan dan keharmonian dalam negara, menutup mata dari melihat peningkatan kempen kebencian berasaskan kaum dan agama oleh para penjaja kebencian, khususnya Utusan Malaysia.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah