Seruan kepada sebahagian besar rakyat Malaysia yang moderat dari pelbagai kaum, agama, dan fahaman politik untuk menyokong 'Gerakan Ungu' ke arah hubungan kaum yang toleran, aman dan harmoni serta menolak golongan yang menjaja kebencian dan kekerasan
Dua peristiwa kelmarin adalah petanda terbaru bahawa para penjaja kebencian perkauman dan keagamaan masih terus cuba meningkatkan ketegangan perkauman dan keagamaan di Malaysia demi memenuhi matlamat politik mereka, iaitu:
- Penerbitan rencana dalam Mingguan Malaysia kelmarin yang menuduh bukan-Melayu menghina Melayu, Islam, dan Raja-raja serta memberi amaran kepada bukan-Melayu untuk menjaga "batas"; dan
- Perbuatan meletakkan seketul daging, dipercayai daging babi, dalam sebuah masjid di Cherok Tokun, Machang Bubuk, pagi kelmarin.
Utusan Malaysia, organ rasmi Umno, seolah-olah kebal daripada undang-undang kerana tiada tindakan pernah diambil terhadapnya walaupun telah berkali-kali menyebarkan pembohongan yang bertujuan mencetuskan salah-faham, kebencian dan ketegangan antara kaum - misalnya menerbitkan di halaman depan laporan tentang DAP yang kononnya mahu menubuhkan negara Kristian di Malaysia dan bahawa DAP anti-Melayu, anti-Islam dan anti-Raja.
Memandangkan Mingguan Malaysia - edisi hujung minggu Utusan Malaysia - adalah milik Umno, maka Presiden Umno dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib-naib Presiden serta Menteri-menteri Umno perlu menyatakan sama ada rencana Mingguan Malaysia terbabit mencerminkan pemikiran dan pendirian terkini di kalangan pemimpin Umno.
Selain itu, apakah 12 parti komponen Barisan Nasional yang lain, termasuk MCA, Gerakan, MIC, dan perti-parti komponen di Sabah dan Sarawak, bersetuju dengan pemikiran dan pendirian terkini Umno yang terbayang dalam rencana Mingguan Malaysia itu.
Rencana berjudul "Melayu, Islam dihina di Tanah Melayu" yang ditulis oleh penolong editor Mingguan Malaysia Azman Anuar itu menyebut bahawa sikap orang Melayu yang "bertolak-ansur" telah menyebabkan bukan-Melayu melampaui batas dan berana mempertikaikan perkara-perkara yang tidak sepatutnya disentuh.
Menurut rencana itu, kaum bukan-Melayu "lupa agaknya, Tanah Melayu ini majoritinya ialah Melayu. Langsung tiada rasa hormat lagi kepada pribumi negara ini.
"Salah orang kita juga terlalu tolak ansur, takut ambil tindakan terhadap orang yang menghina bangsa dan agama. Akhirnya kita pula dilihat seolah-olah mereka tuan tanah dan kita kaum pendatang dan minoriti dalam negara sendiri."
Azman yang baru-baru ini dilantik ke jawatan tersebut juga telah menuduh bukan-Melayu "menjolok sarang tebuan" dengan amaran berikut:
"Tidak tahulah bila agaknya 'tebuan' yang cuba mempertahankan sarangnya daripada diceroboh akan bertindak menyerang balik."
Menurutnya lagi, "Setakat hari ini, kumpulan tebuan belum keluarkan sengat, mereka sekadar 'buat bising' dan acah-acah serang supaya penceroboh rasa gementar."
"Itulah yang dibuat oleh orang Melayu yang masih bersabar yang entah peringkat apa darjah kesabarannya. Tapi kalau melampau, si tebuan tidak akan berdiam diri. Apatah lagi, jika sarangnya terus diceroboh dan dibakar semata-mata madunya hendak dibawa lari."
Rencana itu keji kerana ia mengapi-apikan semangat perkauman, keagamaan dan dapat menimbulkan ketegangan. Lebih keji lagi, ia ditulis berasaskan pembohongan dan dusta.
Tuduhan bahawa bukan-Melayu menghina Melayu, Islam, dan Raja adalah dusta sama sekali, kerana sebahagian besar rakyat Malaysia, Melayu dan bukan-Melayu, Muslim dan bukan-Muslim, saling menghormati perbezaan agama dan budaya dalam masyarakat majmuk kita.
Saya berani mengatakan bahawa sepanjang 56 tahun usia negara ini, sebahagian besar bukan-Melayu dan bukan-Muslim cukup menjaga sensitiviti Melayu dan Muslim, dan begitu juga sebaliknya.
Saya tidak menafikan bahawa ada segelintir bukan-Melayu dan bukan-Muslim tidak menghormati hak dan sensitiviti Melayu dan Muslim, sepertimana ada segelintir Melayu dan Muslim tidak menghormati hak dan sensitiviti bukan-Melayu dan bukan-Muslim.
Tindakan perlu diambil terhadap golongan ekstremis ini, sama Melayu dan Muslim atau bukan-Melayu dan bukan-Muslim, kerana masyarakat majmuk Malaysia tidak memberi ruang kepada ekstremis, sama ada ekstremis bukan-Melayu, bukan-Muslim, mahu pun Melayu dan Muslim!
Atas sebab inilah saya menyeru rakyat Malaysia yang sebahagian besarnya moderat, dari pelbagai kaum, agama, dan fahaman politik, untuk bersatu menyelamatkan negara ini dari jatuh ke tangan ekstremis, tidak kira ekstremis Melayu, Muslim, bukan-Melayu, dan bukan-Muslim, yang cuba untuk menimbulkan ketegangan antara kaum dan penganut agama di negara ini dan cuba menimbulkan keadaan yang dapat membawa kepada rusuhan 13 Mei atau rusuhan yang lebih besar dari itu.
Rencana Mingguan Malaysia kelmarin adalah salah satu contoh perkara menghasut yang memerlukan perhatian segera Polis dan Peguam Negara supaya jurang antara kaum dan agama tidak menjadi lebih luas lantaran perbuatan menghasut dan mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan.
Kita melihat ada percubaan untuk menghalalkan serangan terhadap Naib Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Seputeh berikutan video "Onederful Malaysia CNY 2014" atas alasan video itu anti-Melayu, anti-Islam, dan anti-Raja, sedangkan tiada bukti walaupun sebesar zarah dikemukakan untuk menyokong dakwaan itu sejak tiga minggu lalu.
Peristiwa kedua, penemuan daging yang dipercayai adalah daging babi dalam sebuah masjid di Pulau Pinang menimbulkan pertanyaan yang tidak dapat dielakkan, iaitu mengapa perbuatan anti-Melayu dan anti-Islam hanya berlaku di negeri-negeri Pakatan Rakyat, iaitu Pulau Pinang dan Selangor?
Jelas bahawa semua perbuatan itu dilakukan oleh "tukang hasut" amatur yang cuba menimbulkan gambaran bahawa Melayu dan Muslim di Malaysia, khususnya di Pulau Pinang dan Selangor, sedang diasak - sedangkan perkara itu tidak benar sama sekali dan hanyalah rekaan pihak yang khianat terhadap negara dan ingin menimbulkan ketegangan.
Wajar untuk kita merakamkan pujian kepada sebuah kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai "Malaysians for Malaysia" yang dengan memakai baju berwarna ungu - warna yang melambangkan tolak-ansur keagamaan - serta membawa bunga teluki dan mawar telah melawat rumah-rumah ibadat di George Town, Pulau Pinang, kelmarin untuk mempromosi keamanan dan kasih-sayang.
Mereka sama-sama berjalan melawat Gereja St George, Kuil Goddess of Mercy, Kuil Sri Mahamariamman, dan Masjid Jamek Lebuh Acheh beberapa jam selepas kejadian pencemaran masjid di tanah besar Pulau Pinang dengan daging yang dipercayai sebagai daging babi.
Aktivis sosial Azrul Mohd Khalib, anggota kumpulan berkenaan, mengatakan bahawa acara "Walk in the Park" itu bertujuan untuk menunjukkan bahawa rakyat Malaysia berdiri teguh di belakang saudara senegara mereka walaupun telah berlaku semakin banyak kejadian yang dapat menimbulkan ketegangan.
Ujar beliau: "Kami menolak keganasan, kekerasan, ketaksuban dan diskriminasi. Bukan ini Malaysia yang kita mahu. Kita boleh hidup bersama secara harmoni.
"Kami mahu bersuara dan menentang kelompok seperti Perkasa dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) serta prejudis mereka."
Acara di Pulau Pinang kelmarin itu adalah acara kedua dianjurkan oleh kumpulan tersebut selepas acara pertama di Kuala Lumpur Convention Centre kira-kira tiga minggu lalu.
Di tengah-tengah semakin banyak peristiwa buruk yang dicetuskan oleh segelintir pihak yang anti-Malaysia dan berniat jahat untuk menimbulkan ketegangan perkauman dan keagamaan, majoriti rakyat Malaysia perlu bersatu untuk menyokong "Gerakan Ungu" bagi menolak kekerasan, keganasan, ketaksuban, dan diskriminasi, serta menyokong sikap bertolak-ansur, keamgaan dan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum.
Saya dengan ini menyeru sebahagian besar rakyat Malaysia yang moderat dari pelbagai kaum, agama, dan fahaman politik untuk menyokong "Gerakan Ungu" ke arah hubungan kaum yang toleran, aman dan harmoni serta menolak golongan yang menjaja kebencian dan kekerasan di kalangan kita.