Pemimpin baru MCA diterajui oleh Tiong Lai dan Ka Siong melakukan tindakan paling merugikan kaum Cina di Malaysia dan negara ini secara umum dengan membantu mengukuhkan persepsi bahawa Melayu dan Islam sedang terancam kerana video Teresa Kok

Wee Ka Siong telah memberikan reaksi paling tidak memuaskan terhadap nasihat saya kepada pemimpin baru MCA Liow/Wee supaya berhenti menjadi xiaoren (penjahat) dan menyuarakan kebenaran kepada pihak berkuasa dengan mengisytiharkan bahawa video Teresa Kok tidak anti-Melayu, anti-Islam atau anti-Raja.

Kalai Liow Tiong Lai dan Wee Ka Siong benar-benar berpandangan bahawa video Teresa Kok anti-Melayu, anti-Islam, dan anti-Raja, maka mereka perlu menyatakannya secara terbuka dan saya akan menghormati tindakan mereka itu - namun, mereka mesti membuktikan bahawa video Teresa Kok berkenaan anti-Melayu, anti-Islam dan anti-Raja.

Sehingga kini, kedua-dua mereka tidak sanggup untuk menyatakan bahawa video Teresa Kok itu anti-Melayu, anti-Islam, dan anti-Raja. Pada masa yang sama mereka juga tidak berani untuk menyatakan bahawa menteri-menteri Umno telah mendapat maklumat salah sehingga percaya bahawa video Teresa Kok itu anti-Melayu, anti-Islam dan anti-Raja.

Jika para pemimpin MCA tidak bertanggungjawab menimbulkan salah faham di kalangan menteri Umno tentang video Teresa Kok, apa yang menghalang mereka daripada mengisytiharkan secara terbuka bahawa kelima-lima menteri Umno yang menyerang dan menuduh video itu sebagai anti-Melayu, anti-Islam, dan anti-Raja, serta bahawa tindakan menyerang Teresa Kok adalah salah kerana video beliau tidak anti-Melayu, anti-Islam dan anti-Raja?

Perkara ini boleh difahami sekalipun oleh kanak-kanak, namun nampaknya ia membingungkan para pemimpin MCA yang berpendidikan tinggi!

Dalam keadaan terdesak untuk menyangkal dakwaan bahawa pemimpin MCA telah menyebabkan menteri-menteri Umno salah faham, Wee memberi alasan bahawa video Teresa Kok mempunyai sarikata berbahasa Inggeris dan tentunya menteri-menteri Umno terbabit bergantung pada sarikata berbahasa Inggeris.

Jika kelima-lima menteri Umno itu bergantung pada sarikata berbahasa Inggeris dan bukan khabar angin daripada MCA untuk menyerang video Teresa Kok sebagai anti-Melayu, anti-Islam, dan anti-Raja, mengapa sehingga kini tiada siapa di kalangan mereka berani menyatakannya?

Sebabnya mudah. Kelima-lima Menteri Umno terbabit tidak bergantung pada sarikata berbahasa Inggeris tetapi pada pemimpin-pemimpin MCA dan Gerakan yang memainkan peranan sebagai xiaoren yang membisikkan perkara-perkara bohong dan dusta bahawa video Teresa Kok itu anti-Melayu, anti-Islam dan anti-Raja.

Menteri-menteri Umno akan dikecam sebagai ahli-ahli politik yang tidak bertanggungjawab serta tidak layak menjadi menteri kerana tiada bahagian dalam sarikata Inggeris video itu menunjukkan ia anti-Melayu, anti-Islam dan anti-Raja.

Saya ingin mengambil langkah lebih jauh dan menuduh para pemimpin baru MCA, diterajui oleh Tiong Lai dan Ka Siong, membuat tindakan paling merugikan Malaysia dan kaum Cina Malaysia dengan membantu mengukuhkan persepsi bahawa Melayu dan Islam sedang terancam kerana video Teresa Kok anti-Melayu, anti-Islam dan anti-Raja.

Saya ingin bertanya secara langsung kepada Liow dan Wee - apakah mereka setuju bahawa Melayu dan Islam di Malaysia sedang terancam dan salah satu sebabnya ialah video Teresa Kok yang kononnya anti-Melayu, anti-Islam dan anti-Raja?

Jika tidak, mengapa mereka terus membiarkan pembohongan dan pendustaan disebarkan - iaitu sejak Pilihanraya Umum ke-13 lagi apabila MCA menimbulkan gambaran bahawa ada konfrontasi antara dua kaum di Malaysia, iaitu Melayu dalam kerajaan dan Cina dalam pembangkang.

Apakah Liow dan Wee setuju dengan teori bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir bahawa saya bertanding di Gelang Patah dalam PRU13 untuk melaga-lagakan Melayu dengan Cina, selain bahawa keputusan PRU 13 adalah bukti kaum Cina di Malaysia mahu merampas kuasa politik Melayu?

Pemimpin MCA harus sedar bahawa tindakan mereka mendiamkan diri ketika Barisan Nasional bermain dengan teori politik yang sebegitu berbahaya dan tidak bertanggungjawab adalah sama seperti bersetuju dengan pandangan politik yang sedemikian rasis dan ekstrem.

Bilakah pemimpin MCA akan menyangkal secara terbuka dan menjauhkan diri mereka daripada pandangan-pandangan melampau kelompok yang cuba menimbulkan gambaran bahawa Melayu dan Islam terancam di Malaysia selepas Pilihanraya Umum ke-13?

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah