Seruan kepada golongan moderat di Malaysia untuk bersatu dan meminggirkan ekstremis serta pengkhianat negara
Kita berkumpul pada malam ini bersempena ulang tahun ke-111 Bapa Malaysia Tunku Abdul Rahman untuk membincangkan jasa Perdana Menteri pengasas bagi negara ini.
Tunku sentiasa mahu dikenang sebagai "Perdana Menteri paling bahagia" bagi Malaysia yang berbilang kaum, agama dan budaya. Namun, kalau beliau masih hidup pada hari ini mungkin beliau akan menjadi manusia paling sedih dalam negara.
Sejak sembilan bulan lalu, sejak pilihanraya umum ke-13 pada bulan Mei tahun lepas, negara ini dilanda bermacam-macam krisis nasional pada skala yang tidak pernah dialami oleh negara ini sepanjang lebih separuh abad usianya - krisis pembinaan dan perpaduan negara; krisis ekonomi, seperti yang tercermin pada kenaikan harga barang dan kesulitan hidup kelompok berpendapatan rendah; krisis pendidikan yang menyaksikan kemerosotan mutu pendidikan; krisis keselamatan yang menjejaskan warganegara, pelabur dan pelawat; krisis urus tadbir, khususnya kegagalan membasmi rasuah.
Kita menyaksikan jurang antara kaum dan agama paling lebar dalam sejarah negara ini sepanjang sembilan bulan yang lalu - disebabkan gabungan dua faktor, iaitu kelemahan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kempen secara sistematik dan berterusan oleh kelompok yang tidak bertangunggjawab dan sanggup menjejaskan kestabilan negara ini menerusi tindakan mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan serta meningkatkan ketegangan bagi mewujudkan keadaan yang dapat membawa kepada satu lagi rusuhan kaum seperti 13 Mei.
Saya percaya sebahagian besar rakyat Malaysia, sama ada dalam DAP, PKR, atau PAS dalam Pakatan Rakyat, atau Umno, MCA, Gerakan, MIC, dan parti-parti komponen lain dalam Barisan Nasional, tidak mahu rusuhan 13 Mei berlaku sekali lagi dalam negara ini kerana, seperti Tunku Abdul Rahman juga, mereka mahu negara ini dilimpahi kasih-sayang, keamanan, keharmonian dan kemakmuran.
Justeru itu golongan moderat di Malaysia, dalam Barisan Nasional mahu pun Pakatan Rakyat, untuk bersatu dan meminggirkan ekstremis serta pengkhianat negara yang hendak menimbulkan kekacauan perkauman dan keagamaan dengan cara mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan serta meningkatkan ketegangan - jika tidak, golongan moderat pasti akan tewas di tangan segelintir manusia yang tidak bertanggungjawab dan mempunyai agenda yang pasti akan membawa negara ini jurang kemusnahan.
Cara terbaik untuk mengenang jasa Tunku Abdul Rahman yang mengimpikan sebuah Malaysia yang dilimpahi kasih-sayang, keamanan, keharmonian, dan kemakmuran untuk semua rakyat, sebuah Malaysia yang tidak memberi ruang kepada puak ekstremis dan pengkhianat yang ingin menghancurkan masyarakat majmuk Malaysia, ialah dengan melahirkan sebuah gerakan sivil yang menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha menghidupkan dan mengembangkan gagasan kasih-sayang, keamanan, dan keharmonian yang dibawa oleh Tunku dan seterusnya mematahkan rencana jahat pihak yang henak mencetuskan ketegangan dan kekacauan demi matlamat politik segelintir orang.
Saya menyarankan agar Datuk Ambiga Sreenivasan yang telah melepaskan jawatan beliau sebagai pengerusi bersama Bersih 2.0 untuk menerajui gerakan masyarakat sivil yang baru ini - sebuah komitmen patriotik untuk menggerakkan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, atau fahaman politik ke arah mencintai dan menyelamatkan Malaysia daripada rencana jahat pihak yang mahu masyarakat Malaysia terus berpecah-belah menurut garis kaum dan agama.