Apakah Malaysia mempunyai Menteri Dalam Negeri yang 'kurang siuman' kerana sanggup membiarkan dan memaafkan tindakan jenayah orang yang cuba meningkatkan ketegangan perkauman dengan menawarkan ganjaran RM1,200 kepada sesiapa yang berjaya menampar Ahli Parlimen wanita Teresa Kok?

Pagi ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang memegang portfolio perpaduan nasional, Tan Sri Joseph Kurup, menyifatkan pihak yang cuba meningkatkan ketegangan perkauman dengan menawarkan ganjaran kepada siapa yang berjaya menampar Naib Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Seputeh Tersa Kok sebagai orang yang "kurang siuman".

Persoalan lebih relevan ialah sama ada Malaysia mempunyai Menteri Dalam Negeri yang "kurang siuman" kerana sanggup membiarkan dan memaafkan tindakan jenayah kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai "Majlis NGO Islam" yang cuba meningkatkan ketegangan perkauman dengan menawarkan ganjaran sebanyak RM1,200 kepada sesiapa yang berjaya menampar Ahli Parlimen wanita Teresa Kok.

Sekitar 30 orang pengikut enam kumpulan Muslim yang terlibat dalam demonstrasi "tampar Teresa" yang telah menyembelih ayam dan melumur darah haiwan itu pada sepanduk yang memaparkan wajah pemimpin DAP dan Pakatan Rakyat adalah orang-orang "kurang siuman", namun, lebih mengejutkan apabila Menteri Dalam Negeri membuat kenyataan yang menyebabkan kita tertanya-tanya sama ada beliau juga "kurang siuman" sehingga sanggup membela tindakan "kurang siuman" 'Majlis NGO Islam' itu.

Berkat publisiti yang diberikan oleh NGO ekstremis dan para penaja mereka dalam Umno, video "Onederful Malaysia CNY 2014" Teresa kini telah mencatatkan 450,000 tontonan dalam YouTube.

Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal adalah mentri kabinet pertama menuntut supaya tindakan diambil terhadap Teresa dengan dakwaan video beliau mempersendakan pasukan keselamatan dan tragedi pencerobohan ke atas Lahad Datu.

Bagaimanapun, apabila diberitahu bahawa video Teresa tidak menyebut tentang pasukan keselamatan atau insiden Lahad Datu, Shafie menyepikan diri.

Dua lagi menteri kabinet dan pemimpin Umno telah turut menyerang video Teresa secara terbuka, iaitu Menteri Dalam Negeri Zahid dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Ahmad Shabery Cheek, namun kedua-dua mereka belum mampu menunjukkan atau membuktikan pada bahagian mana video itu anti-Melayu dan anti-Islam.

Saya membuat jemputan terbuka lebih seminggu lalu untuk mana-mana pihak menunjukkan kepada saya pada bahagian mana video Teresa anti-Melayu dan anti-Islam, dan jemputan ini masih laku - kerana saya benar-benar ingin tahu bagaimana video Teresa boleh dianggap sebagai anti-Melayu dan anti-Islam.

Saya sanggup menyatakan secara terbuka bahawa kalau benar Teresa menerbitkan video anti-Melayu dan anti-Islam, maka beliau telah bertindak bertentangan dengan prinsip dan dasar DAP, memandangkan DAP sentiasa memperjuangkan Malaysia untuk semua warga Malaysia, tanpa mengira kaum atau agama.

Ketika Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat tindakan yang berlawanan dengan dasar utama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, iaitu dasar 1Malaysia, pada awal tahun 2010, dengan mengisytiharkan bahawa beliau menganggap dirinya pertama sekali sebagai Melayu dan seterusnya sebagai warga Malaysia, saya dengan berbesar hati mengisytiharkan di Parlimen bahawa saya menganggap diri saya pertama sekali sebagai warga Malaysia dan seterusnya sebagai seorang Cina.

Prinsip asas ini tidak berubah dan tidak goyah - seperti yang telah saya sebut berkali-kali, pimpinan DAP, tidak kira anggota Parlimen atau DUN, perlu menganggap diri mereka pertama sekali sebagai warga Malaysia dan seterusnya sebagai anggota sesuatu kaum atau agama - kerana peranan kita yang utama ialah sebagai pejuang Malaysia dan bukannya juara kaum!

Sesuai dengan prinsip dan matlamat DAP untuk menjadi sebuah parti bagi semua warga Malaysia, Teresa Kok tidak akan teragak-agak untuk menarik balik dan meminta maaf atas video "Onederful Malaysia" jika ada bahagian dalam video itu yang benar-benar anti-Melayu dan anti-Islam.

Teresa dan pemimpin-pemimpin DAP menanti untuk seseorang membuktikan dakwaan bahawa video Teresa itu anti-Melayu dan anti-Islam, namun belum ada seorang pun berjaya membuktikan dakwaan itu sepanjang dua minggu yang lalu.

Jika benar videoTeresa anti-Melayu dan anti-Islam, mengapa susah sangat untuk seseorang membuktikan perkara tersebut secara terbuka?

Walaupun sesetengah pihak - terutamanya daripada MCA, Gerakan, dan parti-parti komponen DAP - menganggap tindakan menerbitkan video Tahun Baru Cina yang mengkritik keras kegagalan kerajaan Barisan Nasional membantu rakyat mengatasi kesulitan hidup berikutan peningkatan harga barangan, jenayah, dan korupsi, selain kemerosotan mutu pendidikan, sebagai tindakan kurang molek, ia tidak boleh dianggap sebagai anti-Melayu dan anti-Islam.

Saya mempunyai sangkaan bahawa para menteri dan pemimpin Umno telah "diracun" oleh para pemimpin Cina dalam MCA, Gerakan, dan parti-parti komponen BN yang lain, memandangkan mereka tidak memahami dialog berbahasa Mandarin dan Kantonis, sehingga mereka salah faham dan percaya bahawa video Teresa itu menyerang Melayu dan Islam.

Saya mencabar para pemimpin Cina tertinggi dalam MCA, Gerakan, dan parti-parti komponen BN yang lain untuk berhenti "meracuni" dan memperdaya para menteri dan pemimpin Umno bahawa video Teresa anti-Melayu dan anti-Islam kerana tiada unsur anti-Melayu atau anti-Islam dalam video itu.

Saya menyeru pemimpin MCA, Gerakan, dan parti-parti komponen BN yang lain untuk keluar dari persembunyian mereka dan menunjukkan bagaimana video Teresa itu anti-Melayu dan anti-Islam atau mengisytiharkan secara terbuka bahawa tiada unsur anti-Melayu atau anti-Islam dalam video itu dan bahawa menteri dan pemimpin Umno telah diperdayakan.

Pada masa ini, para pemimpin tertinggi MCA hanya sibuk dengan satu persoalan - bagaimana hendak kembali menyertai Kabinet dan kerajaan setelah sembilan bulan tersisih.

Sepatutnya mereka lebih peduli tentang prinsip politik dan maruah - serta meminta Perdana Menteri dan Kabinet untuk membantah dan menegur Zahir kerana membiarkan "Majlis NGO Islam" bergelumang dalam jenayah, termasuk jenayah ancaman dan hasutan agar kekerasan dilakukan ke atas wanita dan ke atas Ahli Parlimen, serta mengisytiharkan bahawa tiada guna untuk MCA kembali menteri dan menjadi anggota kerajaan jika Perdana Menteri dan Kabinet tidak sanggup untuk membantah dan menegur Zahid atas pendiriannya yang tidak bertanggungjawab itu.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah