Kenapa Najib menyedari bahawa banjir yang berlaku adalah sebuah bencana besar hanya pada hari keempat kepulangannya dari Hawaii, dan kenapa beliau tidak melawat dua tempat yang paling teruk terjejas di Gua Musang dan Kuala Krai pada hari Sabtu lalu?

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata selepas lawatannya ke Gua Musang dan Kuala Krai semalam bahawa banjir yang berlaku adalah sebuah bencana, malah sebuah malapetaka besar, sambil menyifatkan Gua Musang dan Kuala Krai sebagai dua tempat yang paling teruk terjejas di Kelantan.

Lama saya merenung komen Perdana Menteri sejak membacanya di portal berita petang semalam, dan soalan yang terus timbul di minda saya ialah kenapa Perdana Menteri tidak melawat dua tempat yang paling teruk terjejas ini ketika beliau bergegas pulang dari Hawaii Sabtu lalu pada 27 Disember.

Adakah Perdana Menteri telah dikelirukan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang telah memberikan taklimat khas kepada beliau mengenai situasi banjir tersebut sebaik beliau tiba di lapangan terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa Kota Bharu pada jam 1.40pm Sabtu lalu?

Saya merasakan pastilah Perdana Menteri mahu melawat kawasan yang paling terjejas teruk akibat banjir sebaik beliau bergegas pulang dari Hawaii.

Adakah MKN telah tidak memberitahu Perdana Menteri bahawa Gua Musang dan Kuala Krai adalah dua kawasan yang paling teruk terjejas, atau adakah Perdana Menteri sendiri memutuskan untuk tidak melawat dua kawasan Gua Musang dan Kuala Krai ini untuk membawa bantuan kepada mereka yang terperangkap di kedua-dua tempat?

Atau adakah MKN pada waktu itu tidak sedar bahawa Gua Musang dan Kuala Krai adalah dua tempat yang paling teruk terjejas, memandangkan MKN dalam kenyataannya semalam mengakui bahawa wujud masalah pada rantaian arahan dan komunikasinya di peringkat daerah di Kelantan dan Terengganu apabila petugas utama MKN, ketua kampung dan pegawai daerah, turut menjadi mangsa banjir?

Adakah MKN mengaku kepada Perdana Menteri sewaktu taklimat awalnya di lapangan terbang Pengkalan Chepa Sabtu lalu bahawa ia sedang mengalami masalah rantaian arahan dan komunikasi, atau adakah Perdana Menteri dimaklumkan tentang hal ini kemudiannya – sehinggakan Perdana Menteri tersalah mengaku bahawa ini adalah bencana dan malah malapetaka hanya pada hari keempat selepas pulang dari Hawaii, selepas menghabiskan tiga hari melawat kawasan banjir di Kelantan pada hari Sabtu (tetapi bukan Gua Musang dan Kuala Krai), kemudian Pahang dan Perak pada hari Ahad dan Isnin?

Ini tidak memperbaiki keyakinan orang ramai terhadap kecekapan dan profesionalisme MKN sebagai badan utama yang bertanggungjawab ke atas pengurusan bencana banjir di negara ini. Ini juga meletakkan dua kenyataan awal oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam keadaan yang berbeza – kenyataan ‘tidak apa, saya ada’ beliau sedangkan beliau tidak bertanggungjawab pun apabila rantaian arahan dan komunikasi MKN terputus; serta kenyataan susulannya bahawa ‘Putrajaya menyedari nasib mangsa banjir’ padahal mereka tidak sedar pun.

Ini adalah contoh klasik kenyataan menteri yang tidak bermakna dan mengarut, kerana menteri yang membuatnya tidak tahu pun apa yang diperkatakan – seperti dakwaan beliau bahawa sistem pendidikan di Malaysia adalah lebih baik berbanding Amerika Syarikat, Britain dan Jerman.

Muhyiddin telah berjanji semalam bahawa suatu post-mortem akan diadakan untuk menyelidik apakah faktor penyebab utama bencana banjir terburuk dalam masa beberapa dekad ini sebaik sahaja isu banjir ini selesai.

Ini sebenarnya tidak cukup bagus, bukan hanya kerana ia berbunyi seperti Muhyiddin sedang bersiap sedia untuk menyalahkan bencana ini ke atas semua pihak kecuali dirinya dan juga MKN.

Inilah sebabnya kenapa saya menggesa supaya sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan untuk menyiasat bencana banjir ini serta kesiapsiagaan pengurusan banjir yang begitu teruk termasuk terputusnya rantaian arahan dan komunikasi MKN yang begitu mengejutkan.

Adakah Muhyiddin akan bersetuju untuk membenarkan Pakatan mencalonkan Pengerusi untuk RCI tersebut bagi menunjukkan bahawa Kerajaan Persekutuan benar-benar mahukan kebenaran tentang masalah dan kelemahan kesiapsiagaan pengurusan bencana banjir negara disiasat dan didedahkan, demi memastikan pengurusan dan persediaan bencana negara tidak menjadi bahan ketawa dunia?

RCI yang sedemikian itu mesti ditubuhkan sekarang, walaupun ia boleh memulakan siasatan selepas banjir surut.

Pada hari kedua beliau pulang dari Hawaii iaitu hari Ahad, ketika melawat kawasan banjir di Pajang, Najib telah mengarahkan menteri-menteri yang sedang bercuti di luar negara untuk kembali ke tanah air untuk membantu usaha-usaha pertolongan banjir.

Tiga hari sudah berlalu. Adakah semua menteri telah pulang daripada bercuti di luar negara untuk menyertai operasi bantuan banjir| Siapakah menteri yang masih bercuti di luar negara?

Dan adakah Najib akan memberikan arahan spesifik untuk memastikan menteri dan VVIP tidak memonopoli penggunaan aset seperti helikopter sehingga menyebabkan mereka yang sakit dan cedera menggadaikan nyawa mereka, seperti yang berlaku kepada dua orang ibu dengan komplikasi semasa bersalin di klinik kesihatan Badang di Kelantan pada hari Ahad.

Bencana banjir 2014 adalah bencana alam yang bertambah parah akibat daripada kegagalan yang disebabkan manusia dan ketamakannya.

DAP dan Pakatan Rakyat bersedia untuk meletak tepi perbezaan politik dan bekerjasama dengan kerajaan Barisan Nasional untuk menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir.

Justeru adalah amat dikesali apabila Ahli Parlimen DAP Kluang Liew Chin Tong dan Adun DAP Mengkibol Tan Hong Pin dihalang oleh pihak berkuasa tempatan dan ketua kampung daripada memberikan bantuan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan di Kluang, di Kampung Bentong dan Kampung Bentong Dalam.

Terdapat juga usaha-usaha tersusun untuk membanjiri laman twitter saya dalam masa dua hari lalu dengan lebih 50 tweet dengan mesej yang tidak masuk akal, dihantar secara serentak daripada akaun-akaun robot berlainan pada masa yang sama.

Semua ini adalah usaha mengalih perhatian yang kebudak-budakan di saat negara sedang berhadapan malatapetaka yang begitu dahsyat.

Bencana banjir terburuk dalam masa beberapa dekad ini adalah masa untuk bersatu padu sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, daerah mahupun garis politik demi membantu mereka yang memerlukan dan bukan menyebarkan penipuan untuk membangkitkan kebencian dan sikap tidak toleran antara kaum dan agama.

Rakyat Malaysia, tidak kira Melayu, Cina, India dan orang Asli mesti saling membantu dalam krisis kemanusiaan, disaat negara berhadapan bencana banjir terburuk dalam tempoh beberapa dekad.

DAP dan Pakatan Rakyat bersedia untuk mengenepikan perbezaan dengan Barisan Nasional dan bekerjasama dalam usaha bantuan banjir sebagai satu pasukan untuk membantu mereka yang memerlukan dalam bencana banjir terburuk negara, dan kami berharap kesediaan kami itu akan dibalas sama.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah