Rakyat Malaysia harus terus tabah, yakin dan berharap bahawa walaupun telah mengharungi satu tahun yang penuh dugaan dengan tiga nahas udara, bencana banjir terburuk serta peningkatan ekstremisme dan ketaksuban; kita harus terus membina masa depan bersama, bersatu padu, moderat dan makmur untuk semua rakyat Malaysia
Adalah mudah untuk patah semangat dengan dugaan yang telah kita harungi pada tahun 2014 dan seterusnya melupakan masa depan negara – dengan tiga nahas udara dalam setahun (MH370, MH17 dan QZ8501) yang tidak pernah dialami oleh mana-mana negara, bencana banjir terburuk dalam dekad terakhir dan bertambahnya ketaksuban dan ekstremisme menjadi ujian terhadap kompak nasional Merdeka dan Malaysia yang lahir pada 1957 dan 1963 yang menjadi oasis kepada keharmonian, toleransi dan kebersamaan pelbagai kaum, bahasa, agama dan budaya di dalam dunia yang kian berpecah dan bermasalah.
Setiap kejadian ada hikmahnya, termasuklah dugaan yang telah kita hadapi sepanjang 2014 – nahas udara dan bencana banjir terburuk dalam masa berdekad telah menggembleng seluruh rakyat Malaysia untuk menunjukkan rasa simpati, sokongan dan solidariti bersama mangsa-mangsa; serta kebangkitan para moderat dengan contoh terbaik dalam Surat Terbuka 25 Tokoh Melayu kepada Perdana Menteri serta sokongan yang kian bertambah dari kalangan moderat seluruh negara tanpa mengira kaum, agama, garius politik mahupun daerah untuk menyelamatkan Malaysia daripada para pentaksub dan ekstremis.
Rakyat Malaysia harus terus tabah, yakin dan berharap bahawa walaupun telah mengharungi satu tahun yang penuh dugaan dengan tiga nahas udara, bencana banjir terburuk serta peningkatan ekstremisme dan ketaksuban; kita harus terus membina masa depan bersama, bersatu padu, moderat dan makmur untuk semua rakyat Malaysia.
Mungkin tidak sesuai untuk saya mengucapkan selamat tahun baru dengan keadaan penghujung 2014 yang begitu mendukacitakan, tetapi adalah sangat patut bagi rakyat Malaysia untuk mendioakan masing-masing sebuah tahun baru yang penuh azam, untuk menjadikan 2015 tahun untuk mengakhiri reotrik dan politik penuh pendustaan, kebencian, ketaksuban dan sikap tidak toleran yang mengancam untuk menghancurkan bukan sahaja Malaysia tetapi juga seluruh dunia.
Moderat di Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, garis politik mahupun daerah mesti berdiri bersama-sama sebagai satu batang tubuh bukan sahaja untuk menyelamatkan Malaysia tetapi juga dunia, dan menenggelamkan suara-suara ekstremis dan fanatik yang menjadi punca keganasan dan kezaliman organisasi seperti Islamic State dan yang sewaktu dengannya.
Selepas Pilihanraya Umum ke-13 pada bulan Mei tahun lalu, DAP dan Pakatan Rakyat telah menyokong program rekonsiliasi nasional.
Ini seharusnya dijadikan sebuah program nasional untuk para moderat di Malaysia bersatu padu menyelamatkan Malaysia daripada para fanatik dan ekstremis.
Saya ingin mengulangi seruan daripada banyak pihak supaya diadakan sidang Parlimen tergempar pada bulan Januari untuk membahaskan sekurang-kurangnya empat agenda spesifik:
- Belanjawan baru bagi tahun 2015 serta pelan penyelamatan ekonomi nasional, bertepatan dengan perubahan deras ekonomi dunia.
- Plan rekonsiliasi nasional untuk menyelamatkan Malaysia dan dunia daripada para ekstremis dan fanatik
- Bencana banjir terburuk dalam tempoh beberapa dekad, dan
- Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Pendatang Tanpa Izin Sabah.
Semoga tahun 2015 menjadi tahun penuh keazaman.