Dua lagi sebab kenapa perlunya RCI menyiasat kesiapsiagaan pengurusan bencana banjir dan kenapa hal ini mesti menjadi agenda utama mesyuarat khas Kabinet berkenaan bencana banjir
Perkembangan terbaru bencana banjir kali ini telah memberi dua lagi sebab tambahan kenapa mesti ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja terhadap kesiapsiagaan pengurusan bencana banjir dan kenapa ia harus menjadi agenda utama mesyuarat khas Kabinet berkenaaan bencana kali ini.
Pertamanya adalah laporan Malay Mail mengenai misi pemindahan medevac (medical evacuation) untuk dua orang ibu dengan komplikasi yang sangat serius ketika bersalin telah tertangguh pada hari Ahad selama hampir dua jam di klinik kesihatan Badang disebabkan ada VVIP mahu melawat kawasan yang dilanda banjir.
Dr Afiq Rahim yang bertugas di klinik kesihatan Badang telah menceritakan hal ini di laman Facebooknya (http://www.facebook.com/affick) yang kini menjadi profil yang paling diikuti di rangkaian sosial mengenai dugaan yang dihadapi oleh petugas perubatan dan penjawat awam yang bertugas dalam situasi sukar ketika bencana.
Dr Afiq sewajarnya menjadi contoh ikutan semua rakyat Malaysia, termasuklah di kalangan anggota Kabinet, bagaimana sikap yang patut diambil oleh rakyat Malaysia ketika berhadapan bencana; iaitu mengutamakan nyawa orang lain berbanding diri sendiri.
Pesakit pertama seorang ibu sarat mahu bersalin tiba di klinik kesihatan Badang pada hari Ahad jam 3.30 pagi. Pada jam 6 pagi doktor memutuskan beliau memerlukan penjagaan tertiari serta perlu dipindahkan.
Namun helikopter yang dipanggil hanya tiba pada jam 8 pagi, dua jam lewat kerana helikopter tersebut ‘ditahan’ kerana ada VVIP yang mahu melawat kawasan yang dilanda banjir.
Pesakit kedua yang tiba selepas jam 8 pagi dan turut sarat mengandung juga berhadapan masalah yang sama, dan setelah kehilangan banyak darah, pesakit kerap tidak sedarkan diri.
Dr Afiq berhak untuk berang dengan penangguhan terbabit kerana pihak berkuasa telah mengutamakan lawatan rasmi berbanding pesakit yang berada dalam keadaan kritikal.
Beliau dilaporkan berkata semalam, dua nyawa mungkin sahaja hilang semalam akibat sikap acuh tak acuh pihak berkuasa.
“Amat mengecewakan dan menghampakan bagi kami yang cuba memastikan keselamatan dan kesihatan mangsa”
Adakah ini bertepatan dengan SOP pengurusan bencana, bahawa lawatan VVIP diberi keutamaan berbanding keadaan kritikal seseorang pesakit?
Kes-kes sebegini patut disiasat oleh RCI supaya ia tidak berulang lagi, di mana VVIP meletakkan nyawa rakyat biasa dalam bahaya hanya kerana mereka mahu melawat kawasan yang dilanda banjir.
Bolehkah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan secara terperinci siapa sebenarnya VVIP ini yang telah membahayakan nyawa dua orang ibu dengan komplikasi ketika bersalin di klinik kesihatan Badang pada hari Ahad, atau adakah kita perlu bertanya kepada Perdana Menteri sendiri?
Insiden kedua adalah kenyataan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam mempertahankan usaha-usaha bantuan banjir oleh Putrajaya, menjawab kritikan oleh pemimpin-pemimpin DAP, terutamanya Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua dan Naib Pengerusi Kebangsaan M Kula Segaran, bahawa pelan pengurusan bencana pihak berkuasa telah dikalahkan oleh skala dan jangkauan bencana banjir kali ini.
Alasan lemah yang diberikan MKN adalah banjir kali ini luar biasa, dan ‘tidak kira betapa bersedia pun kita, akan ada bencana lebih besar dan lebih dahsyat yang akan akan menguji kebolehan dan sumber-sumber negara’.
Sebagai contoh, kenyataan MKN memberitahu bahawa walaupun kerajaan Jepun telah melaburkan berbilion dolar dalam mitigasi bencana dan pelan siap-sedia, perancangan ini turut tewas di tangan tsunami yang melanda daerah Tohoku pada tahun 2011.
Menurut MKN, ini adalah kerana persiapan yang disediakan adalah untuk suatu situasi yang berlaku sekali dalam seratus tahun, tetapi apa yang berlaku adalah situasi yang berlaku sekali dalam seribu tahun.
MKN terus cuba melepaskan dirinya dengan mendakwa bahawa apa yang sedang terjadi di Malaysia dalam hal banjir ini, terutamanya di Kelantan, ada keadaan yang serupa.
Kenyataan MKN dan dakwaannya sangat mengejutkan dan mementingkan diri, terutamanya apabila apabila Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah telah menyebut bahawa banjir yang melanda Kelantan kali ini tidak seteruk yang terjadi pada tahun 1967 – yang tidak mencapai tahap banjir paling teruk yang melanda Kelantan pada Januari 1926, yang dikenali sebagai ‘bah merah’, membanjiri hampir seluruh negeri dengan air bah berwarna merah, tidak seperti warna teh-susu atau berwarna perang akibat banyak tanah runtuh berikutan hujan tanpa henti selama sepuluh hari.
Jadi siapa yang betul; MKN atau Timbalan Menteri Besar Kelantan?
Walau bagaimanapun, kenyataan MKN adalah sumber pendedahan tidak dijangka bahawa MKN yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya bermesyuarat sekali sahaja tahun ini mengenai pengurusan bencana banjir dan kesiapsiagaan, sebelum negara dilanda banjir paling teruk dalam dekad terakhir ini beberapa hari sebelum perayaan Krismas – iaitu pada 3 Januari 2014, hampir 12 bulan yang lalu.
Mesyuarat kedua MKN di bawah kelolaan Muhyiddin diadakan pada 27 Disember, selepas banjir melanda negara!
Menurut kenyataan MKN lagi yang terus membuat pendedahan tanpa niat; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim ada mempengerusikan ‘mesyuarat kedua’ MKN mengenai bencana banjir pada 13 Oktober 2014 untuk menambahbaik kekurangan dalam koordinasi dan persediaan, yang kemudian diikuti ‘mesyuarat ketiga’ di peringkat jawatankuasa kerja pada hari yang sama, dipengerusikan Setiausaha MKN.
Jika inilah sahaja mesyuarat dan kesiapsediaan yang ditunjukkan MKN dalam mendepani bencana banjir terburuk negara dalam dekad terakhir ini, maka seluruh MKN mesti dikecam, malah dipecat dan diganti – kerana ia tidak memperlihatkan rasa kebertanggungjawaban mahupun keseriusan dalam menguruskan persediaan negara untuk menghadapi banjir yang telah mengakibatkan suku juta rakyat menjadi mangsa.
Saya menggesa Muhyiddin untuk memperjelaskan sama ada kenyataan MKN itu benar, bahawa setakat ini, MKN hanya bermesyuarat sekali sahaja bersama beliau sebagai pengerusi tentang persediaan menghadapi banjir pada 3 Januari 2014; dan mesyuarat kedua dilakukan selepas bencana banjir berlaku pada 27 Disember, dan bahawa mesyuarat di peringkat menteri bersama Shahidan pun hanya berlangsung sekali pada 13 Oktober 2014, diikuti mesyuarat jawatankuasa kerja pada hari yang sama dipengerusi Setiausaha MKN – dan itulah sahaja persediaan yang dilakukan oleh MKN untuk menghadapi bencana banjir.
Jika benar, maka sepatutnyalah sebuah mesyuarat Kabinet diadakan untuk merombak MKN.
Bolehkah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memperjelaskan sama ada Kabinet akan bermesyuarat esok, atau adakah ini tidak akan berlaku kerana ramai Menteri masih lagi bercuti di luar negara?