Tubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat kesiap-siagaan pengurusan bencana memandangkan Kerajaan Persekutuan nampaknya bingung dengan skala bencana banjir ini, dengan bilangan mangsa yang meningkat 1000% menjadi suku juta orang dalam masa kurang sepuluh hari

DAP mahu sebuah Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk menyiasat kesiap-siagaan pengurusan bencana negara memandangkan Kerajaan Persekutuan nampaknya jelas bingung dengan skala bencana banjir ini, dengan bilangan mangsa yang meningkat 1000% menjadi hampir suku juta orang dalam masa kurang sepuluh hari.

Bukti-bukti keadaan bingung Kerajaan Persekutuan hasil magnitud dan skala bencana banjir kali ini banyak sekali, seperti yang dapat dilihat daripada contoh-contoh berikut:

  1. Pengakuan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa bencana banjir ini lebih teruk dari yang disangka.
  2. Pengakuan Muhyiddin bahawa prosedur operasi mitigasi banjir mesti disemak semula supaya kita lebih bersedia pada masa akan datang;
  3. Cadangan Muhyiddin supaya Malaysia belajar tentang pengurusan bencana daripada negara-negara lain terutamanya Jepun dan Korea Selatan yang terkenal dengan sistem pengurusan bencana terbaik di dunia - suatu penemuan yang lambat dan mahal harganya oleh sebuah koalisi politik yang telah berkuasa selama 57 tahun
  4. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terpaksa menyingkatkan percutian beliau untuk mengambil tanggungjawab penuh usaha menguruskan bencana banjir di peringkat nasional - walaupun kerajaan telah memberi amaran berhari-hari dan berminggu sebelum banjir terjadi.
  5. Arahan Perdana Menteri semalam untuk memanggil pulang menteri-menteri yang sedang bercuti di luar negara supaya kembali bekerja bagi segera membantu menguruskan krisis banjir.
  6. Arahan lanjut kepada penjawat awam tertinggi dan ketua-ketua agensi untuk pulang daripada bercuti untuk membantu mangsa-mangsa banjir.

Seperti yang telah saya sebutkan sebelum ini, fokus saya sehinggalah saya melawat Kota Bahru semalam untuk menyertai misi bantuan kepada mangsa banjir, adalah untuk mencapai tiga objektif:

Pertamanya untuk memujuk Perdana Menteri memendekkan percutiannya ke Hawaii dan pulang ke tanah air untuk mengetuai operasi bantuan bencana.

Kedua, untuk meminta supaya mesyuarat khas Kabinet mengenai bencana banjir diadakan;

Dan ketiga, memujuk Perdana Menteri mengisytiharkan darurat bencana bagi menangani bencana banjir paling teruk dalam sejarah negara.

Objektif pertama daripada tiga objektif ini telah pun tercapai.

Ada ditanya sama ada perlu untuk Perdana Menteri memendekkan percutiannya ke Hawaii bagi mengetuai sendiri operasi bantuan bencana.

Jawapannya pastilah ya. Satu bukti ialah pengumuman Najib untuk memberi peruntukan RM500 juta sebagai bantuan khas kepada mangsa banjir di negeri-negeri yang terkesan akibat bencana tersebut, apabila hanya dua hari sebelumnya, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah hanya mampu mengumumkan peruntukan RM50 juta sahaja untuk negeri-negeri yang dilanda banjir.

Insiden ini sahaja cukup untuk mengabsahkan seruan DAP supaya Najib memendekkan percutiannya ke Hawaii dan mengetuai operasi bantuan banjir; kerana tidak Muhyiddin mahupun Husni mempunyai kuasa untuk mengumumkan peruntukan RM500 juta tersebut.

Persoalannya ialah sama ada pengumuman peruntukan RM500 juta oleh Najib adalah tambahan kepada peruntukan RM50 juta yang telah diumumkan oleh Husni; atau adalah ia termasuk peruntukan yang diumumkan Husni. Bolehkah Husni memperjelaskan hal ini, atau mungkin kita perlu bertanya kepada Najib?

Saya mengalu-alukan arahan Najib supaya menteri-menteri Kabinet pulang daripada bercuti di luar negara di saat negara dan rakyat sedang berhadapan banjir terburuk dalam masa beberapa dekad.

Ia mengingatkan saya kepada tindakan Presiden Rusia Validmir Putin membatalkan percutian menteri-menteri dan pegawainya di saat Rusia berhadapan krisis ekonomi terburuk dalam masa lebih satu dekad.

Pastilah tidak mungkin dilakukan sebarang mesyuarat Kabinet mengenai bencana banjir sekiranya masih ramai menteri Kabinet terus bercuti di luar negara.

Tetapi adakah Najib boleh mengadakan mesyuarat khas Kabinet mengenai bencana ini sebelum 31 Disember, atau adakah beliau akan menunggu sehingga 7 Januari kerana beliau tidak dapat mengumpulkan semua menteri Kabinet sebelum tarikh tersebut?

Objektif ketiga saya ialah supaya Perdana Menteri mengisytiharkan darurat bencana bagi membolehkan mobilisasi usaha-usaha bantuan dengan cepat dan secara menyeluruh di peringkat persekutuan, negeri dan setempat dengan sokongan penuh daripada semua pihak.

Namun, alasan Najib untuk tidak mengisytiharkan darurat ialah ia akan membebaskan syarikat insuran daripada membayar pampasan akibat kerosakan terhadap harta benda dan kenderaan.

Alasan Najib ini langsung tidak meyakinkan dan saya menggesa Perdana Menteri untuk mempertimbangkan semula keputusan ini, atau membentangkan isu ini sebagai agenda mesyuarat khas Kabinet serta mengambil kira reaksi orang ramai sehingga hari ini daripada pengusaha insuran dan juga orang awam.

Pendapat agen insuran berikut, yang mewakili pendapat orang ramai, wajar diberikan pertimbangan serius oleh Perdana Menteri dan juga Kabinetnya.

“Saya banyak menerima soalan yang berkaitan isu darurat yang dikatakan tidak dapat diisytiharkan supaya mangsa-mangsa banjir dapat membuat tuntutan insurans.

“Katanya, jika darurat diisytiharkan maka syarikat insurans berhak menolak tuntutan yg dibuat.

“Ini pandangan saya:

+ Betul, memang dalam banyak polisi insurans seperti insurans kenderaan, insurans perniagaan, insurans bangunan, insurans kemalangan meletakkan darurat sebagai salah satu situasi yang dikecualikan untuk dibuat tuntutan.

+ Tapi dalam masa sama, berdasarkan pengalaman saya sebenarnya majoriti pelanggan sangat jarang mengambil coverage tambahan bencana banjir yang membolehkan mereka membuat tuntutan jika kerosakan akibat banjir. Jadi, sama ada isytihar darurat atau pun tidak, majoriti besar pengguna memang tidak dapat membuat tuntutan kerana tidak mengambil insurans yang cover banjir.

+ Banjir sudah masuk hari ke-5 dan sekiranya darurat diisytiharkan hari ini 27/12/2014, mangsa-mangsa banjir masih boleh membuat tuntutan sebab kerosakan berlaku SEBELUM darurat diisytiharkan. Jadi, syarikat insurans / takaful dan ejen serta staff boleh memberi pengetahuan (educate) kpd pelanggan supaya meletakkan tarikh berlaku kerosakan SEBELUM tarikh darurat diisytiharkan.

+ Situasi sekarang sangat genting memandangkan majoriti yang terlibat dari kalangan orang-orang kampung, orang-orang miskin, rakyat marhaen yang melibatkan nyawa. Jadi menjadikan alasan insurans sebagai penghalang darurat diisytiharkan bukanlah tindakan terbaik kerana nyawa majoriti rakyat lebih penting berbanding kerosakan bangunan / kenderaan utk claim insurans.

+ Statistik menunjukkan kadar penembusan insurans takaful hanya sekitar 15% sahaja di kalangan rakyat bumiputera. Dan majoriti penduduk Kelantan adalah Melayu Bumiputera. Maka alasan "insurans tak boleh claim kalau darurat" hanya menjaga kepentingan minoriti berbanding kepentingan majoriti rakyat yang langsung tidak memiliki insurans. Apatah lagi insurans melibatkan coverage banjir.

+ Situasi-situasi di atas hanya melibatkan claim yg berkaitan insurans / takaful am seperti kenderaan, bangunan, isi rumah dan sebagainya. Manakala jika insurans hayat atau takaful keluarga, pemegang polisi tetap boleh claim sekiranya berlaku musibah.

“KESIMPULAN: Menggunakan alasan "insurans tidak boleh claim kalau isytihar darurat", bukanlah alasan yang kukuh utk tidak mengisytiharkan darurat.”

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah