Ayuh semua menyokong respon nasional yang diketuai Perdana Menteri terhadap bencana banjir di seluruh negara dengan bilangan mangsa yang sudah melebihi 120,000 di tujuh buah negeri

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tiba di Kelantan hari ini untuk mengetuai gerak kerja bencana banjir selepas memendekkan percutiannya di Hawaii.

Saya menyeru supaya orang ramai memberikan sokongan kepada usaha respon nasional yang diketuai Perdana Menteri terhadap bencana banjir di seluruh negara dengan bilangan mangsa yang sudah melebihi 120,000 orang dan sekurang-kurangnya lapan kes kemalangan jiwa di tujuh negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Johor, Perlis dan Kedah.

Usaha menangani bencana banjir terburuk dalam sejarah negara ini tidak boleh menjadi tanggungjawab kerajaan semata-mata, tetapi mestilah melibatkan usaha kesemua rakyat Malaysia, namun ia mesti diketuai oleh Kerajaan Persekutuan; dan melihat magnitud bencana ini, hanya Perdana Menteri lah yang mesti menggerakkan apa sahaja sumber yang ada untuk memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan, dengan secepat mungkin.

Ada benarnya kata-kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim di Kelantan semalam bahawa bekalan makanan adalah mencukupi, begitu juga dengan aset untuk menghantar bekalan tersebut kepada mangsa, namun masih lagi sukar untuk menghantar barang-barang keperluan ini kepada mereka yang terperangkap – seperti pengkisahan menyayat hati 100 orang mangsa yang mencari perlindungan di sebuah sekolah di Kuala Krai tanpa makanan, air bersih, elektrik dan apa sahaja bantuan selama lebih 40 jam; atau mereka yang tinggal kawasan-kawasan yang jauh dan tidak boleh diakses.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapha Mohamad turut menceritakan pengalamannya pada Khamis malam tempoh hari, bagaimana rasanya untuk meraba-raba di dalam gelap sambil meranduk air bah di paras pinggang, mencari tempat selamat, menyedari bahawa malang boleh menimpa sekiranya tersilap langkah; dan bagaimana perjalanan 10km dari Keroh ke pejabat Pegawai Daerah di Kuala Krai mengambil masa empat jam, sambil beliau dan kumpulan penyelamat yang bersamanya tiba di sana dalam suasana gelap gelita dengan bekalan elektrik yang terputus.

Sepertimana yang diakui oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pengkalan Chepa semalam, walaupun kerajaan telah dapat mengagak ini adalah banjir paling teruk tahun ini, keadaan dan skala banjir sebenar telah mengejutkan pihak berkuasa kerana ia lebih teruk daripada jangkaan dan mengalahkan semua plan pengurusan dan persediaan.

Masalah birokratik sedemikian hanya boleh diperbetulkan dengan cepat apabila Perdana Menteri mengambil tanggungjawab ke atas operasi bantuan bencana dan memintas semua kerumitan birokrasi.

Inilah sebabnya kenapa fokus saya sepanjang beberapa hari ini ialah tiga objektif:

Pertamanya ialah untuk memujuk Perdana Menteri supaya memendekkan percutiannya di Hawaii dan pulang ke Malaysia untuk mengambil tanggungjawab memimpin operasi bantuan banjir;

Kedua, untuk menggesa mesyuarat khas Kabinet dalam masa 24 jam bencana terjadi supaya menteri seperti Mustapha yang mempunyai laporan mengenai kelemahan-kelemahan plan pengurusan bencana dan persiapan, dapat memberikan laporan segera supaya dapat diperbetulkan segera, daripada menunggu sehingga mesyuarat Kabinet seterusnya, yang barangkali dijadual berlangsung pada hari Rabu pertama tahun baru, 7 Januari – dua minggu lagi.

Ketiga, untuk memujuk Perdana Menteri dan juga Kabinet mengisytiharkan darurat bagi menangani bencana banjir paling teruk dalam sejarah negara supaya supaya tenaga bantuan bencana di semua peringkat persekutuan, negeri dan setempat dapat dikerah dengan sokongan penuh orang ramai. Apa yang jelas, sebelum ini syarat untuk pengisytiharan darurat bencana yang memerlukan ratusan ribu mangsa dan gangguan penuh bekalan elektrik dan air wajar dipinda, memandangkan syarat yang begitu ketat tidak pun digunakan untuk mengisytiharkan darurat bencana banjir di lain-lain tempat di dunia.

Inilah yang saya maksudkan dalam Twitter semalam bahawa ramai yang melakukan provokasi kebudak-budakan, kenapa saya tidak turun padang ke Kelantan untuk membantu mangsa banjir. Padahal saya sedang melakukan sesuatu yang mereka tidak dapat lakukan.

Saya tidak kata bahawa saya tidak akan melawat Kelantan atau mana-mana tempat yang dilanda banjir, kerana apabila berhadapan sebuah bencana, semua rakyat Malaysia tanpa mempedulikan kaum, agama, jantina, umur dan parti politik mesti bersatu sebagai sebuah bangsa Malaysia dan membantu semua mangsa.

Inilah sebabnya kenapa DAP di bawah kepimpinan Setiausaha Organisasi Anthony Loke telah melancarkan kempen mengumpul sumbangan di seluruh negara untuk mangsa-mangsa banjir dengan sokongan penuh daripada semua DAP negeri, dan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat di Selangor dan Pulau Pinang telah bingkas bertindak untuk membantu mangsa banjir.

Marilah kita mengutamakan mangsa-mangsa banjir.

Kita berharap dan berdoa supaya objektif kedua saya akan dijadikan kenyataan – sebuah mesyuarat khas Kabinet mengenai bencana banjir terburuk dalam sejarah kini dalam masa 24 jam dan juga pengisytiharan darurat bagi menangani bencana tersebut.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah