Saya tidak perlu hadir ke mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat akan datang sekiranya PAS terus memaksa untuk melaksanakan hudud pada Sidang Khas DUN Kelantan pada 29 Disember

Saya menyokong penuh apa yang disebut Menteri Besar Selangor yang juga Timbalan Presiden PKR Azmin Ali semalam, bahawa hudud bukan sebahagian daripada Dasar Bersama Pakatan Rakyat, justeru PAS mesti membawa isu tersebut kepada Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat untuk dibincangkan.

Azmin merujuk mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 28 September 2011 di ibu pejabat PAS yang dihadiri lebih 30 orang pimpinan tertinggi DAP, PKR dan PAS; dan turut dihadiri oleh Pengerusi Kebangsaan DAP pada waktu itu, mendiang Sdr Karpal Singh, dan ahli-ahli Exco Kelantan. Dan konsensus pada waktu itu ialah hudud adalah bukan sebahagian daripada Dasar Bersama Pakatan Rakyat dan semua parti bersetuju dengan konsensus itu.

Seperti yang dikatakan Azmin: “Sekiranya ada pendapat baru atau cadangan, ia mesti dibawa semula kepada konsensus asas yang dipersetujui oleh Pakatan, maksudnya ia mesti kembali kepada Majlis Pimpinan.”

Tetapi PAS tidak pernah membawa hal ini kepada Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

Malah, tajuk berita The Malaysian Insider yang melaporkan berkenaan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan pada 28 September 2011 itu berbunyi, “Pakatan: Hudud only if all parties agree.” (Hudud hanya apabila semua parti bersetuju, kata Pakatan).

Sekiranya Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat tidak mencapai kata sepakat pada 28 September 2011 bahawa hudud bukanlah sebahagian daripada Dasar Bersama Pakatan Rakyat dan PAS tidak akan meneruskan rancangan melaksanakan hudud secara unilateral tanpa konsensus parti-parti Pakatan Rakyat, tiga perkara boleh berlaku:

  1. PAS akan terus mendesak pelaksanaan hudud tanpa mempedulikan pandangan DAP dan PKR.
  2. Pakatan Rakyat akan hancur.
  3. Kerajaan UMNO/Barisan Nasional tidak akan menjadi kerajaan minoriti dengan hanyan 47% undi popular, malah ia akan mendapat semula majoriti dua pertiga yang ia hilang sewaktu PRU tahun 2008.

Adalah sangat memeranjatkan bahawa wujud beberapa pimpinan PAS yang mendakwa bahawa tiada salahnya mengelirukan pengundi Malaysia pada PRU ke-13 bulan Mei tahun lalu untuk menyokong Pakatan Rakyat dan calon-calon PAS, namun selepas PRU mereka memungkiri janji bahawa PAS akan patuh kepada Dasar Bersama Pakatan Rakyat dan tidak akan meneruskan rancangan untuk melaksanakan hudud secara unilateral tanpa persetujuan ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah telah berkata bahawa menang Putrajaya adalah soal nombor dua berbanding pelaksanaan hudud, bahawa ia hanyalah suatu cara untuk menuju sebuah tujuan.

Saya tidak optimis bahawa Sidang Khas DUN Kelantan pada 29 Disember akan menjamin bahawa PAS akan kembali mentadbir Kelantan dalam PRU yang akan datang, kerana korban hasil PAS memungkiri janjinya kepada Pakatan Rakyat dan rakyat Malaysia adalah kedua-dua Putrajaya dan Kerajaan Negeri Kelantan. Namun kita harus menanti sehingga PRU ke 14 untuk melihat kesan penuh daripada keingkaran ini.

Pimpinan DAP telah bersetuju untuk tidak bersetuju dengan pimpinan PAS mengenai isu hudud kerana kami percaya bahawa DAP dan PAS berkongsi cita-cita untuk mendukung keadilan, kebebasan, demokrasi, urustadbir yang baik, kalis rasuah dan kesederhanaan di Malaysia.

Kami percaya bahawa kami mesti menjadi ahli politik yang jujur dan tidak menggunakan cara yang tidak jujur dan licik untuk mengelirukan dan menipu pengundi untuk calon-calon Pakatan Rakyat di bawah andaian yang penuh kepura-puraan.

Seperti yang saya katakan semalam, sidang khas DUN Kelantan pada 29 Disember untuk melaksanakan hudud adalah titik penentu bagi kedua-dua Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.

Sekiranya pemimpin Umno tertentu, seperti juga pemimpin PAS tertentu, boleh bertindak secara unilateral dan sewenang-wenang bertentangan dengan prinsip-prinsip asas Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat dengan cara yang licik dan tidak amanah, maka akan jahanamlah kedua-dua Pakatan Rakyat dan juga Barisan Nasional.

Sekiranya Sidang Khas DUN Kelantan meneruskan untuk melaksana hudud (yang Jawatankuasa PAS Pusat pun tidak tahu menahu) diadakan, saya rasa tidak ada sebab lagi untuk saya hadir ke mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, dan menyerahkan kepada pihak parti untuk memutuskan tindakan selanjutnya.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah