Sidang DUN khas Kelantan pada 29 Disember untuk melaksanakan hudud akan menjadi titik penentu bagi kedua-dua Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat

Sidang DUN khas Kelantan pada 29 Disember untuk melaksanakan hudud akan menjadi titik penentu bagi kedua-dua Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.

Pendirian tiga Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Tun Hussein Onn sangat jelas, bahawa undang-undang hudud adalah bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular.

Ini juga merupakan pendirian pendiri-pendiri parti MCA dan MIC, Tun Tan Cheng Lock, Tun Tan Siew Sin dan Tun VT Sambanthan - dan juga Tun Dr Lim Chong Eu yang merupakan presiden MCA kedua pada tahun 1958 namun kemudiannya meninggalkan MCA dan menjadi Presiden kedua Parti Gerakan antara tahun 1969 hingga 1980.

Tidak dapat dinafikan juga, ini adalah pendirian semua pengasas negara Malaysia dari Sabah dan Sarawak.

Sekiranya Adun UMNO Kelantan dibenarkan mengundi untuk menyokong cadangan pelaksanaan hudud di sidang DUN khas negeri Kelantan pada 29 Disember, seluruh watak dan asas Barisan Nasional akan melalui transformasi paling radikal dalam sejarah parti pemerintah.

Apatah lagi, sekiranya ini dilakukan tanpa sebarang mesyuarat atau resolusi oleh Majlis Tertinggi Barisan Nasional mahupun sebarang usaha oleh parti-parti komponen BN yang lain, sama ada MCA, MIC, Gerakan atau parti-parti komponen BN di Sabah dan Sarawak untuk meminta UMNO supaya setia dengan komitmen pengasas-pengasas UMNO dan juga negara, serta mematuhi konsensus terbabit yang wujud sebelum pembentukan Malaysia pada tahun 1963 kerana ia terhasil pada zaman Merdeka 1957, bahawa undang-undang hudud tidak sesuai kerana bertentangan dengan Perlembagaan dan prinsip-prinsip asas pembentukan negara.

Tetapi ini bukan sahaja akan menjadi titik penentu bagi Barisan Nasional, tetapi juga titik penentu bagi Pakatan Rakyat, kerana tidak ada jalan bagi Pakatan Rakyat untuk terus hidup dalam keadaannya sekarang sekiranya salah satu daripada parti komponennya boleh bertindak secara unilateral dan sewenang-wenangnya sehingga kelihatan menghina parti-parti komponen Pakatan, Dasar Bersama Pakatan Rakyat serta prinsip Pakatan untuk beroperasi secara konsensus.

Adalah salah untuk berhujah bahawa Pakatan Rakyat telah mencapai kata sepakat bahawa PAS dan DAP telah ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’ mengenai isu hudud, dan membiarkan PAS untuk melanjutkan langkahnya dalam isu hudud di Parlimen.

Tidak pernah wujud persetujuan yang semacam itu.

Malah dalam kenyataan bersama Pakatan Rakyat pada 28 September 2011 yang telah menyelamatkan Pakatan Rakyat daripada krisis pertamanya, sekali lagi berikutan isu hudud, telah jelas disebut bahawa enakmen hudud di Kelantan dan Terengganu mendahuluo pembentukan Pakatan Rakyat manakala DAP dan PAS bersetuju untuk tidak bersetuju tentang hudud, bahawa hudud bukanlah sebahagian daripada Dasar Bersama Pakatan Rakyat sehinggalah semua parti bersetuju.

Maksud dan implikasinya adalah sangat jelas - yakni PAS tidak akan melanjutkan usahanya untuk melaksanakan hudud secara unilateral tanpa persetujuan daripada kesemua parti-parti Pakatan Rakyat.

Sekarang kita dimaklumkan bahawa Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pun tidak akan dimaklumkan tentang perincian sidang DUN Khas Kelantan pada 29 Disember untuk melaksanakan hudud - ini menimbulkan persoalan tentang apa sebenarnya nilai Pakatan Rakat di mata pimpinan PAS.

Carta berikut menunjukkan tiga belas pilihanraya umum yang telah dijalankan di negara ini sejak 1959; ia menunjukkan tahun-tahun 1999, 2008 dan 2013 sebagai penanda aras tinggi bagi parti-parti pembangkang di Semenanjung Malaysia berikutan prestasi terbaik mereka dalam tiga PRU ini - ketika wujud Barisan Alternatif pada tahun 1999, kerjasama pra-Pakatan pada tahun 2008 dan Pakatan Rakyat pada tahun 2013.

Parlimen - Jumlah
Tahun PAS DAP PKR S46 Jumlah
1959 13 13
1964 9 9
1969 12 13 25
1974 PAS menyertai BN 9 9
1978 5 15 20
1982 5 9 14
1986 1 24 25
1990 7 20 8 35
1995 7 9 6 22
1999 27 10 5 42
2004 6 12 1 19
2008 23 28 31 82
2013 21 38 30 89
DUN - Semenanjung Malaysia
Tahun PAS DAP PKR S46 Jumlah
1959 42 42
1964 25 25
1969 40 31 71
1974 PAS menyertai BN 23 23
1978 11 25 36
1982 18 12 30
1986 15 37 52
1990 35 46 17 98
1995 33 11 12 56
1999 98 11 4 113
2004 35 15 0 50
2008 83 72 40 195
2013 85 91 42 218

PAS dan PKR telah mencapai prestasi terbaik dalam pilihanraya pada tahun 1999, 2008 dan 2013 manakala DAP pula pada tahun 2008 dan 2013.

Saya telah katakan bahawa sekiranya hudud menjadi isu kontroversi pada PRU ke-13 pada bulan Mei 2013, Barisan Nasional bukan sahaja akan mendapat kembali dua-pertiga majoriti Parlimen untuk melakukan persempadanan semua kawasan pilihanraya secara sesuka hati, Pakatan Rakyat juga mungkin kehilangan Selangor selain Kedah, dan Johor akan kembali menjadi kubu kuat negeri ‘deposit tetap’ Barisan Nasional.

Daripada memenangi sejumlah 89 kerusi Parlimen (40% daripada 222 kerusi Parlimen) yang terdiri daripada 21 kerusi PAS, 30 PKR dan 38 DAP, keputusan tersebut mungkin berkurang sehingga 46 kerusi sahaja (21% kerusi Parlimen) dengan 16 kerusi PAS, 7 PKR dan 23 DAP.

Sejumlah 229 kerusi DUN Pakatan Rakyat di Semenanjung Malaysia (45% daripada 444 kerusi) dalam PRU ke-13 yang terdiri daripada 85 kerusi PAS, 45 PKR dan 95 DAP pula mungkin berkurang sehingga sekadar 134 kerusi DUN (30% daripada jumlah kerusi) dengan 62 kerusi PAS, 15 PKR dan 57 DAP.

Pakatan Rakyat mungkin telah mengalami kekalahan teruk di kerusi-kerusi DUN, kehilangan Selangor dan Kedah, manakala apa yang diraih PAS di Johor (empat Adun) dan seorang di Melaka boleh sahaja habis kesemuanya.

Adalah sangat menyedihkan dan menyayat hati sekiranya senario politik demikian terjadi, terutamanya bagi rakyat Malaysia yang telah berharap untuk melihat perubahan ke arah kebaikan yang nampaknya sangat hampir; namun rakyat Malaysia nampaknya terpaksa bersedia untuk berhadapan sesuatu yang tidak boleh dielak.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah