Belum pernah wujud begitu banyak bom jangka di Malaysia yang bakal menjadi kecelakaan terhadap negara jika tidak dimatikan

Buku pertama saya ‘Time Bombs in Malaysia’ pada tahun 1978 memetik ucapan saya di Parlimen mengenai Rancangan Malaysia Ketiga pada bulan Julai 1976 apabila saya memberi amaran mengenai beberapa bom jangka yang menanti untuk meletus di Malaysia, yang sekiranya tidak dimatikan, Malaysia akan hancur berkecai.

Tidak pula saya bayangkan hari ini, lebih 36 tahun selepas edisi pertama ‘Time Bombs in Malaysia’ kita berdepan dengan keadaan mendesak yang lebih hebat yang tidak pernah disaksikan sepanjang sejarah negara, sebuah situasi di mana begitu banyak bom jangka yang bakal menjadi kecelakaan terhadap negara jika tidak dimatikan. Skandal RM42 bilion 1MDB, yang menjadi topik forum malam ini adalah satu daripada bom-bom jangka tersebut.

Skandal kewangan mega ini yang didedahkan oleh Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat Tony Pua dan Rafizi Ramli, kini turut dipersoalkan oleh pihak-pihak dalam Umno diketuai bekas perdana menteri Tun Mahathir, serta sekutunya Tun Daim, sehinggakan satu laporan polis telah dibuat oleh seorang pemimpin Umno Bahagian, menghasilkan ombak yang begitu besar dalam Umno.

Setakat tahun 70’an, ketika masih wujud rasa hormat terhadap urus tadbir yang baik, integriti awam dan kejujuran dalam hal kewangan, skandal kewangan paling besar waktu itu adalah skandal RM65 juta Bank Rakyat.

Perdana Menteri waktu itu, Tun Hussein Onn, yang tidak dapat menelan sebarang bentuk rasuah atau salahguna kuasa, terkejut dengan skandal RM65 juta Bank Rakyat dan menuntut supaya wujud kebertanggungjawaban Parlimen dan suatu Kertas Putih telah dikeluarkan selepas siasatan Price Waterhouse terhadap skandal Bank Rakyat itu – dan skandal RM65 juta Bank Rakyat menjadi tajuk perdebatan parlimen pada tahun 1979.

Sejak tahun 80’an, rasuah dan skandal kewangan bertambah secara mendadak daripada skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) bernilai RM2.5 bilion, skandal pembelian timah Maminco bernilai Rm600 juta dan skandal RM1.5 bilion Co-operatives Finance pada tahun 80’an, sehinggalah skandal tukaran wang asing Bank Negara bernilai RM30 bilion dan skandal RM11 bilion Perwaja pada tahun 90’an; serta skandal perolehan pertahanan dan skandal Scorpene bernilai berbilion ringgit dan juga skandal RM12.5 bilion PKFZ dalam dekad yang lampau.

Kini Malaysia telah melonjak ke lelangit skandal kewangan mega menuju angka puluhan bilion ringgit yang sekarang menjadi norma dan bukan lagi pengecualian, dengan skandal RM42 bilion 1MDB kini sebagai raja segala skandal – dan saya serahkan kepada Tony Pua, yang bersama Rafizi, telah menjadi autoriti tidak tercabar mengenai ibu segala skandal ini, untuk menerangkan lebih lanjut mengenainya dalam forum nanti.

Namun skandal RM42 bilion 1MDB ini bukan satu-satunya bom jangka yang sedang berdetik di Malaysia. Kita berhadapan sekumpulan bom jangka dalam aspek ekonomi, kewangan, politik, pendidikan, kaum dan agama, yang sekiranya tidak dimatikan akan membaca kecelakan kepada Malaysia.

Bom-bom jangka yang saya maksudkan termasuklah:

1. Bom jangka aliran wang haram RM1.3 trilion. Laporan tahunan terkini Golbal Financial Integrity (GFI) yang berpengkalan di Washington mendedahkan bahawa Malaysia kerugian RM171.11 bilion dalam tahun 2012 dalam aliran wang haram, atau jumlah terkumpul sebanyak RM1.38 trilion (US$394.8 bilion) dalam tempoh sepuluh tahun antara 2003 hingga 2012.

Malaysia terus berada bersama-sama lima negara teratas dalam aliran wang haram, di belakang China, Rusia, India dan Mexico. Jika dikira dalam asas per-kapita, aliran keluar wang haram Malaysia menduduki tangga pertama pada tahun 2012 pada kadar US$1,646.36 (RM5,762.26) per-kapita, mengalahkan Rusia (US$856.16 per-kapita) Mexico (US$774.81 per-kapita) China (US$183.91 per-kapita) dan India (US$47.65 per-kapita).

2. Bom jangka kejatuhan harga minyak. Harga minyak mentah dijangka jatuh sehingga kurang separuh daripada nilainya enam bulan lalu, dengan nilai penanda aras global Brent dijangka jatuh sehingga US$50 satu tong – yang akan membawa kesan buruk terhadap model ekonomi negara memandangkan 30% perbelanjaan negara bergantung kepada minyak.

3. Bom jangka krisis ekonomi – Dengan keadaan Malaysia dianggap titik lemah Asia Tenggara berikutan beberapa kejatuhan pasaran matawang asing dan ekuiti, serentak dengan kejatuhan nilai komoditi dunia, firma penyelidik ekonomi telah menyemak semula unjuran pertumbuhan Malaysia bagi tahun 2015.

4. Bom jangka rasuah – Walaupun Malaysia menduduki tangga ke 50 dalam indeks persepsi korupsi (CPI) Transparency International (TI) 2014 yang merupakan kedudukan terbaik sepanjang tempoh Najib menjadi Perdana Menteri, tidak ada apa yang boleh dibanggakan kerana pencapaian di waktu Najib ini masih lebih rendah berbanding kedudukan sewaktu dua Perdana Menteri terdahulu; kedudukan terburuk CPI sewaktu Tun Mahathir ialah 37, manakala kedudukan terburuk sewaktu Tun Abdullah ialah 47.

Tuduhan paling merosakkan terhadap pentadbiran Najib dan perangnya terhadap rasuah adalah kutukan pada hari Ahad lalu oleh bekas penjawat awam tertinggi di Suruhanjaya Pilihanraya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, yang telah berkhidmat sebagai setiausaha dan kemudiannya pengerusi suruhanjaya tersebut selama 25 tahun; beliau memberitahu Perdana Menteri supaya berhenti menipu rakyat kerana kelemahan utama Kerajaan Persekutuan ialah kegagalannya untuk menangani rasuah, dan beliau turut mendakwa bahawa sekarang orang Melayu pun pandai memberi rasuah kepada pemimpin.

5. Bom jangka ‘brain drain’ – Sekitar dua setengah juta minda-minda terbaik beserta bakat-bakat paling kreatif negara telah meninggalkan Malaysia untuk membantu negara lain menjadi lebih hebat, walhal mereka sepatutnya berada di Malaysia untuk memastikan kita mencapai impian menjadi negara yang hebat di dunia. Bukan sahaja yang bukan-Melayu malah yang Melayu turut terpaksa berhijrah ekoran daripada kerajaan dan kepimpinan yang tidak mempunyai imaginasi, tidak memberi inspirasi, tidak demokratik dan menindas.

6. Bom jangka pendidikan – Saya terkejut dengan kenyataan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melawat Shanghai awal bulan ini bahawa Malaysia mahu meniru sistem pendidikan Shanghai yang telah berjaya menghasilkan pelajar berprestasi tinggi dalam Programme for International Students Assessment (PISA).

Muhyiddin berkata Malaysia sangat tertarik untuk meniru beberapa formula kecemerlangan daripada Shanghai yang berjaya meraih tempat teratas dalam PISA berikutan prestasi cemerlang pelajarnya dalam matematik, sains dan pembacaan, dan kementeriannya akan menghantar pasukan pakar ke Shanghai untuk menyelidik hal tersebut.

Saya merasakan ini sangat mengarut kerana hanya selepas setahun baru beliau menyedari implikasi daripada keputusan PISA 2012 yang didedahkan pada Disember tahun lalu. dan setakat yang saya ingat, Muhyiddin tidak bersuara walau sepatah pun mengenai standard pendidikan yang semakin merudum di kalangan anak-anak Malaysia berusia 15 tahun dalam penilaian antarabangsa melibat tiga subjek matematik, sains dan pembacaa; sehinggakan anak-anak berusia 15 tahun di Shanghai, Singapura dan Korea Selatan menunjukkan prestasi seakan-akan menerima persekolahan antara empat hingga lima tahun lebih lama berbanding anak-anak 15 tahun di Malaysia.

Daripada keputusan PISA 2012 yang dikeluarkan Disember tahun lalu, Malaysia tersekat di kedudukan tiga terendah di kalangan negara yang diselidik dalam penilaian antarabangsa itu, dan tidak mengalami sebarang kemajuan ke peringkat tiga tertinggi di kalangan negara-negara terbabit.

Walaupun berada di tingkat tiga terendah, Malaysia turut dipintas oleh negara-negara lain dalam kumpulan tersebut, seperti Kazakhstan dalam bidang matematik dan sains.

Kalau seorang Menteri Pendidikan harus mengambil masa setahun untuk sedar dan memberi respon kepada keputusan PISA 2012 daripada bertindak serta merta, tidak hairan kenapa sistem pendidikan Malaysia di setiap peringkat – rendah, menengah dan di peringkat pengajian tinggi – telah mencapai tahap paling rendah, sehinggakan menteri Umno-BN pun tidak yakin dengan sistem pendidikan negara dan menghantar anak cucu mereka ke sekolah-sekolah antarabangsa, dengan pengakuan Tun Mahathir sendiri sebagai contoh terbaik.

Ini adalah bom jangka yang akan mempunyai gapaian luas dalam kesannya terhadap masa depan negara dalam persaingan, pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran memandangkan modal insan telah menjadi faktor penentu paling penting bagi masa depan sesebuah negara.

7. Bom jangka terorisme – Tragedi di Sydney memberi isyarat kedatangan aktiviti keganasan secara bersendirian, yang mengakibatkan kehilangan dua nyawa tidak berdosa selepas dijadikan tebusan selama 16 jam; itu dan pembunuhan beramai-ramai oleh pihak Taliban yang memakan korban 132 orang kanak-kanak di sebuah sekolah di Peshawar di Pakistan adalah peringatan jelas tentang betapa bahayanya zaman sekarang.

Ini sebabnya kenapa saya begitu terkejut dengan sikap selamba pihak polis yang menyatakan bahawa kita tidak perlu risau apabila Malaysia melonjak ke kedudukan 50 tertinggi dalam indeks Global Terrorism oleh Institute of Economic and Peace, apabila Malaysia mendaki 42 anak tangga dari kedudukan ke 91 pada tahun 2012 ke kedudukan ke 48 antara 162 negara.

8. Bom jangka SSKM – Walaupun mereka yang menyokong ‘Sabah Sarawak Keluar Malaysia’ (SSKM) ini kecil bilangannya, rasa tidak puas hati dan kemarahan rakyat Sabah dan Sarawak yang merasakan mereka tidak dilayan secara adil dalam Persekutuan Malaysia yang berusia 51 tahun semakin merebak dan perlu diberi perhatian segera.

Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Pendatang Asing di Sabah (RCIIIS) yang begitu memeranjatkan dan telah melahirkan rasa tidak percaya, kecewa dan reaksi di kalangan rakyat Sabah adalah satu contoh yang baik bahawa aduan dan suara hati orang Sabah dan Sarawak mesti diambil peduli jika tidak mahu perpaduan, keharmonian dan solidariti di Malaysia tergugat.

9. Bom jangka perkauman dan keagamaan – Polarisasi kaum dan agama di Malaysia sangat meruncing dalam beberapa tahun kebelakangan ini, hasil daripada retorik politik berunsurkan kebencian, sikap tidak moderat dan tidak toleran yang tidak tertahan-tahan bagi membangkitkan kebencian, konflik dan ketegangan di antara kaum dan agama.

Sama seperti 1Malaysia, ‘kesederhanaan’ turut menjadi slogan Perdana Menteri di forum-forum antarabangsa, tetapi tidak menjadi dasar di negaranya sendiri.

10. Bom jangka penindasan – Keyakinan dalam negeri dan antarabangsa terhadap institusi kebangsaan seperti pihak polis, kedaulatan undang-undang dan kebebasan badan kehakiman semakin merosot hasil daripada kempen momok rejim ini sepanjang beberapa bulan lalu, dengan siri tindakan terhadap pimpinan Pakatan Rakyat, para intelektual, aktivis sosial dan pemimpin mahasiswa, dengan 23 individu didakwa di bawah Akta Hasutan sejak 2009 dan ramai lagi yang disiasat dan menanti pertuduhan hasutan, termasuk Anwar Ibrahim dan saya sendiri.

Sebaliknya, pemimpin UMNO-BN dan juak-juak mereka termasuk yang secara terbuka membangkitkan kebencian serta konflik kaum dan agama seperti mengugut mahu membakar Bible atau mencipta pembohongan kononnya komuniti Cina di Kedah membakar Al-Quran helai demi helai dalam satu upacara sembahyang, menikmati kekebalan daripada sebarang tindakan undang-undang.

Ada banyak lagi bom jangka yang sedang berdetik – seperti bom jangka Iskandar di Johor, bom jangka MAS dan tragedi MH370 dan MH17; serta bom jangka dalam parti-parti politik, tidak kira di pihak Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat, seperti kontroversi mengenai pelaksanaan hudud yang menjadi bom jangka untuk semua parti BN dan Pakatan.

Kematangan, kebijaksanaan dan pertimbangan rakyat Malaysia akan diuji oleh kumpulan bom-bom jangka ini, sama ada ia boleh dimatikan demi menyelamatkan Malaysia daripada kecelakaan.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah