Fasa kedua Impian Malaysia – Seruan buat semua rakyat Malaysia, tanpa mengira parti politik, kaum, agama, daerah, jantina dan usia untuk bersama-sama berdiri sebagai patriot dan moderat Malaysia demi mengamalkan politik inklusif bagi menyelamatkan negara daripada ekstremisme, sikap tidak toleransi dan kefanatikan
Ketika saya bertanding di Gelang Patah pada bulan Mei tahun lalu dalam Pilihanraya Umum ke-13, ia adalah dalam rangka menggapai Impian Malaysia yang mencita-citakan Malaysia sebagai sebuah masyarakat majmuk di mana semua rakyatnya bersatu-padu sebagai satu bangsa, melampaui perbezaan etnik, agama, budaya, bahasa dan daerah sebagai asas sekata untuk menyatukan mereka dalam satu kewarganegaraan yang melampaui perbezaan yang mengasing-asingkan mereka menurut perbezaan etnik, agama, bahasa, budaya dan daerah.
19 bulan selepas PRU ke 13, Impian Malaysia tersebut semakin relevan dan signifikan berbanding sebelumnya.
Perhimpunan Agung Umno pada minggu terakhir November adalah contoh klasik politik eksklusif yang memecahbelah dan merosakkan di Malaysia, yang menekankan dan menambah kepada perbezaan di kalangan warga Malaysia terutamanya berkait agama dan kaum, yang akan menjadikan Malaysia senasib dengan negara-negara yang telah gagal sekiranya trend ini tidak ditangani dan dihentikan, sementelah perpaduan yang semakin berkecamuk di samping polarisasi kaum dan agama yang semakin menular sejak 19 bulan berkahirnya PRU-13.
Di Perhimpunan Agung Umno, dan juga di beberapa persidangan yang mendahuluinya, rakyat Malaysia telah melihat contoh-contoh terburuk politik ketakutan, kebencian dan pembohongan; mengada-adakan bayang ketakutan dan melawan musuh-musuh imaginatif – kononnya Melayu dan Islam sedang diancam, kononnya orang Cina akan merampas kuasa politik orang Melayu, kononnya ‘jika Umno kalah, Melayu akan hilang kuasa’, kononnya orang Melayu telah menjadi hamba di tanah sendiri, kononnya orang Melayu akan mengalami nasib yang sama seperti kaum Red Indian di Amerika Syarikat; dan juga ‘ibu segala penipuan’ ini, kononnya ada orang Cina di Kedah yang membakar Al-Quran ‘helai demi helai dalam satu upacara sembahyang’.
Tetapi apabila saya mencabar tiga perdana menteri Umno yang masih hidup, Tun Mahathir yang menjadi PM paling lama berkhidmat selama 22 tahun sejak 1981 sehingga 2003, Tun Abdullah yang menjadi PM selama lima tahun lima bulan, dan juga Datuk Seri Najib Razak yang setakat ini menjadi PM selema lima tahun 8 bulan; untuk menjelaskan bagaimana Melayu dan Islam di Malaysia sedang diancam dan berdepan pergelutan antara hidup dan mati selepas 57 tahun berada di bawah kerajaan Umno dan enam perdana menteri Umno, dan lebih spesifik lagi selepas 33 tahun Mahathir, Abdullah dan Najib menjadi Perdana Menteri; langsung tiada yang berani menjawab!
Jika selepas 57 tahun pentadbiran Umno di bawah enam Perdana Menteri Umno, Melayu dan Islam di Malaysia masih boleh diancam dan berdepan pergelutan antara hidup dan mati, adakah Umno dan para propagandisnya mengandaikan bahawa pentadbiran 57 tahun Umno dengan enam Perdana Menteri Umno adalah kegagalan total yang begitu hina?
Sekiranya mereka tidak mengandaikan bahawa 57 tahun pentadbiran Umno di bawah enam perdana menteri Umno suatu kegagalan total, justeru ia pastinya sangat melulu, tidak bertanggungjawab malah ia adalah anti-nasional sekiranya mereka cuba untuk membangkitkan rasa takut dan rasa benci di kalangan orang Melayu dan Islam, dengan mencuba untuk membuat mereka percaya bahawa Melayu dan Islam sedang diancam di Malaysia hari ini.
Ini adalah soalan yang perlu ditanyakan bukan sahaja oleh orang Melayu tetapi semua warga Malaysia, dan jawapannya mesti dituntut daripada menteri-menteri, pemimpin dan wakil-wakil Umno/BN samada ada benar Melayu dan Islam sedang diancam dan diserang, dan jika benar siapakah musuh-musuh yang sedang menyerang Melayu dan Islam ini; jika tidak, kenapa pemimpin parti Umno/BN begitu bersikap anti-nasional, cuai dan tidak bertanggungjawab sehingga boleh menciptakan momok-momok ini di kalangan rakyat serta merelakan taktik politik yang begitu kotor dan tercela ini?
Semua warga bukan-Melayu dan bukan-Islam merasakan bahawa merekalah yang menjadi sasaran ucapan ektremis, melampau dan tidak toleran dan berasaskan kaum dan agama di Perhimpunan Agung Umno.
Malah, politik eksklusif dalam Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini bukan sahaja membuktikan bahawa Umno sudah berhenti menjadi parti untuk semua rakyat Malaysia, malah ia bukan parti untuk semua orang Melayu tetapi hanya untuk pemimpin Umno dan kroni mereka sahaja yang mempunyai kepentingan politik dan kewangan.
Isu sebenar rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, parti politik, daerah, gender atau kaum seperti isu-isu urustadbir yang baik, akauntabiliti, ketelusan, demokrasi dan hak asasi manusia, kos dan kualiti sara hidup, pembanterasan rasuah tanpa sebarang kompromi, kesenjangan ekonomi antara kaya dan miskin, sistem ekonomi yang kompetitif, mahupun reformasi pendidikan demi memastikan sistem pendidikan bertaraf dunia di peringkat rendah, menengah dan universiti; semua ini langsung tidak ditangani.
Malaysia memerlukan politik baru – politik inklusif untuk menyatupadu dan memberi inspirasi kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira parti politik, kaum, agama, kawasan, gender atau usia, bersatu padu di dalam Impian Malaysia bersama-sama, yang tidak dilihat sebagai anti-Melayu, anti-Cina, anti-India, anti-Kadazan, anti-Iban mahupun anti-Islam, anti-Buddha, anti-Kristian, anti-Hindu, anti-Sikh ataupun anti-wanita atau anti-anak muda kerana ia mestilah secara total dan tanpa syarat bersifat ‘pro-Malaysian’.
Ini sangat mencabar terutamanya pada hari ini memandangkan para ekstremis, golongan tidak moderat dan tidak toleran telah mula memunculkan diri dan memulakan usaha menentang para moderat – yang melemahkan keharmonian kaum dan agama, serta persefahaman dan citra murni dalam negara yang telah dibina selama puluhan tahun.
Surat Terbuka yang tersiar dua hari lalu oleh 25 orang Melayu terkemuka yang boleh saya sifatkan sebagai ‘Towering Malay/Malaysians’ yang terdiri daripada bekas-bekas penjawat awam termasuk bekas-bekas Ketua Setiausaha, Ketua Pengarah, duta dan tokoh Melayu terkemuka yang telah banyak menyumbang kepada masyarakat Malaysia adalah satu batu tanda yang amat penting dalam sejarah pembinaan negara ini.
Perdana Menteri Najib Razak telah berjalan-jalan ke seluruh dunia dalam masa empat tahun lampau untuk menyeru para moderat seluruh dunia menuntut kembali agama mereka dan merintis jalan menuju damai demi mengasingkan para ektremis semua agama; namun tempoh jawatan beliau sebagai Perdana Menteri selama lima tahun di dalam negara sendiri telah disifatkan sebagai kegagalan politiknya dan kebaculan untuk duduk bersama para moderat di Malaysia bagi menyekat dan mengalahkan para ekstremis picisan yang nampaknya kian bertambah agresif dalam ekstremisme, sikap tidak toleran dan tidak moderatnya seperti yang digambarkan dalam Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini, yang telah dirampas dan dijadikan bahan untuk mempamerkan sikap politik eksklusif memecahbelah dan merosakkan, oleh Umno di negara ini.
Kerunsingan 25 tokoh Melayu ini terhadap kesan retorik yang begitu tajam terhadap hubungan kaum dan kestabilan politik di negara ini memperlihatkan betapa meningkatnya kerisauan majoriti rakyat Malaysia – majoriti senyap golongan moderat di Malaysia.
Masanya sudah tiba untuk majoriti moderat senyap di Malaysia bersuara dan mendokong politik inklusif serta menolak politik eksklusif yang dilakukan oleh kumpulan-kumpulan picisan ekstremis agama dan kaum ini.
Atas sebab ini, saya ingin mengambil kesempatan di majlis makan malam DAP Gelang Patah ini untuk mengumumkan fasa kedua Impian Malaysia, yang dimulakan dengan ‘Battle of Gelang Patah’ dalam PRU ke-13; untuk menyeru ke arah pakatan moderat Malaysia, tanpa mengira parti politik, kaum, agama, daerah, jantina dan usia untuk bersama-sama berdiri sebagai patriot dan moderat Malaysia demi mengamalkan politik inklusif bagi menyelamatkan negara daripada ekstremisme, tidak toleransi dan kefanatikan akibat politik eksklusif.
Tidak ada sebab kenapa ahli biasa Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional, termasuk daripada Umno, MCA, Gerakan, MIC dan parti-parti BN di Sabah dan Sarawak, tidak boleh bersatu-padu bersama-sama ahli-ahli biasa DAP, PKR dan PAS dalam barisan moderat Malaysia untuk mengalahkan suara-suara ekstremisme, tidak tolernasi dan kefanatikan demi menyelamatkan Malaysia supaya kita boleh menjadi contoh kepada dunia bagaimana politik inklusif berfungsi dalam sebuah masyarakat majmuk.