Saya mahu bertemu dengan Zahid menjelang tamat tempoh 480 jam pada 18 Disember untuk mengetahui kenapa Menteri Dalam Negeri telah gagal menepati janjinya bahawa pihak polis akan memulakan siasatan dalam jangka masa 24 jam sesuatu laporan dibuat terhadap seseorang individu berkaitan isu sensitif
Pemimpin dan perwakilan Umno bukan sahaja sudah hilang akal waras sepanjang berlangsungnya Perhimpunan Agung Umno minggu lalu, tetapi juga selepas ia selesai, sehinggakan menteri-menteri Umno tidak mampu menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan baik bukan hanya kepada Umno malah lebih penting lagi kepada negara dan rakyat Malaysia.
Saya mahu bertemu dengan Zahid menjelang tamat tempoh 480 jam pada 18 Disember untuk mengetahui kenapa Menteri Dalam Negeri telah gagal menepati janjinya bahawa pihak polis akan memulakan siasatan dalam jangka masa 24 jam sesuatu laporan dibuat terhadap seseorang individu berkaitan isu sensitif.
Sudah lebih seminggu sejak dua Ahli Parlimen DAP, Teo Nie Ching (Kulai) dan Kasthuri Patto (Batu Kawan), bersama setiausaha politik saya Dyana Sofya Mohd Daud dan aktivis DAP Syefura Othman membuat laporan polis terhadap bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim mengenai ucapan penuh kebenciannya di persidangan Wanita Umno yang boleh dikira berniat membangkitkan ketakutan antara kaum dan agama, ketegangan dan konflik dengan pembohongan besar kononnya orang Cina di Kedah telah melakukan perbuatan cemar membkar Al-Quran ‘helai demi helai dalam satu upacara sembahyang’.
Semalam, bersama-sama Ahli Parlimen DAP Zairil Khir Johari (Bukit Bendera), Steven Sim (Bukit Mertajam) dan Vincent Wu (Penolong Setiausaha Organisasi Kebangsaan), setiausaha politik saya Dyana Sofya beserta dua Adun DAP dari Kedah, Tan Kok Yew (Derga) dan Teoh Boon Kok @ Teoh Kai Kok (Kota Darul Aman) dan juga Adun PAS Kubang Rotan, Mohd Naasir Mustafa; saya telah melawat medan selera Taman Anggerik di Alor Setar, tempat di mana menurut Mashitah, perbuatan cela oleh masyarakat Cina itu kononnya dilakukan.
Dalam perbualan kami bersama pemilik gerai dan orang ramai di tempat tersebut, telah disahkan bahawa Mashitah benar-benar bersalah kerana telah mengeluarkan ucapan berbaur kebencian dengan mengada-adakan penipuan yang begitu berbahaya dalam sebuah masyarakat yang berbilang kaum dan agama kononnya orang Cina di tempat tersebut telah membakar Al-Quran ‘helai demi helai dalam satu upacara sembahyang’.
Insiden yang sedemikian itu tidak pernah berlaku, dan penemuan kami dalam misi pencarian fakta tersebut menyokong kenyataan yang dikeluarkan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir pada 24 November bahawa insiden di kawasan tersebut pada 20 November melibatkan seorang lelaki Melayu tidak siuman yang telah mengoyak-ngoyakkan Al-Quran. Beliau kini dirawat di wad psikiatrik. Tidak ada insiden orang Cina membakar Al-Quran ‘helai demi helai dalam satu upacara sembahyang’.
Sekiranya Zahid tidak senang hati dengan kenyataan Mukhriz dan juga penemuan kami dalam misi mencari kebenaran semalam, saya cadangkan beliau melawat medan selera Taman Anggerik dan mencari tahu tentang fakta kejadian tersebut.
Amat mengejutkan bahawa seorang bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri boleh menjadi begitu tidak bertanggungjawab menyebarkan ucapan kebencian sedemikian demi membangkitkan rasa tidak senang antara kaum dan agama, rasa tegang dan konflik; dan walaupun didepani fakta menggunung, Mashitah tetap tidak bersedia menarik balik penipuannya dan meminta maaf secara terbuka di atas ucapannya yang begitu tidak bertanggungjawab.
Tetapi apa yang lebih memeranjatkan ialah sikap membisu dan tidak bertindak para pemimpin Umno menunjukkan bahawa mereka bersedia bersekongkol dengan kesalahan Mashitah itu.
Mashitah bukanlah satu-satunya perwakilan Umno yang bersalah mengeluarkan ucapan berbaur kebencian dengan niat membangkitkan ketakutan sesama kaum dan agama, serta ketegangan dan konflik; kerana perwakilan Pulau Pinang Datuk Mohd Zaidi Mohd Said juga adalah seorang lagi yang telah secara serius menjejaskan keamanan dan keharmonian antara kaum dan agama di negara ini dengan ucapan kononnya kejayaan Pulau Pinang adalah disebabkan aktiviti haram dan jenayah secara terbuka yang dilakukan oleh orang Cina di negeri tersebut.
Berapa lama lagi Zahid perlukan sebelum pihak polis akan bertindak terhadap demikian banyak laporan polis yang telah dibuat terhadap Mashitah dan Zaidi? 48 jam, 96 jam, 240 jam atau 480 jam?
Saya akan memberi Zahid 480 jam, atau 20 hari sehingga 18 Disember sebelum saya meminta untuk bertemu dengannya untuk mengenalpasti apa sebabnya beliau gagal menunaikan janji bahawa pihak polis akan memulakan siasatan dalam masa 24 jam sesuatu laporan dibuat terhadap mana-mana individu yang bermain dengan isu sensitif.