Perutusan Hari Merdeka ke-57
Seruan kepada semua rakyat Malaysia untuk menjadikan tragedi dua nahas udara sebagai permulaan membentuk perpaduan nasional, meskipun dalam keadaan negara mengalami polarisasi dan perpecahan terburuk sejak Merdeka.
Setiap tahun kita menyambut Hari Kemerdekaan, kita diingatkan bahawa negara sudah bebas merdeka daripada cengkaman penjajah. Tidak ada lagi kuasa asing yang menentukan nasib anak bangsa, melainkan kuasa yang dilantik dan dipilih dari kalangan anak bangsa sendiri.
57 tahun sejak Merdeka dilaungkan, Bangsa Malaysia telah melalui begitu banyak fasa dan peringkat; selain mendepani begitu banyak dugaan dan cabaran yang mematangkan dan melahirkan sebuah bangsa yang sedar dan insaf akan hak sebagai manusia dalam masyarakat yang berbilang kaum, agama dan latar budaya.
Apa ertinya perayaan Hari Merdeka ke-57?
Adakah kita benar-benar bangsa yang bebas merdeka atau adakah kita lalai dan leka dengan ilusi kemerdekaan dan kebebasan yang dijaja oleh media tradisional arus perdana yang dikawal oleh kerajaan?
Sejak minggu lalu terdapat satu trend di laman sosial Twitter menggunakan ‘hashtag’ #IfMerdekaAdsWereReal atau ‘Kalau iklan-iklan Merdeka itu benar’.
Ia menyaksikan demikian ramai pengguna internet meluahkan kekecewaan mereka terhadap ilusi keamanan, perpaduan dan kemakmuran yang digambarkan melalui iklan-iklan di kaca televisyen.
Iklan-iklan ini cuba menampilkan kehidupan yang seakan sebuah lakonan, sedangkan rakyat Malaysia tetap hidup dalam ketakutan dan rasa saling tidak senang antara satu sama lain, disebabkan perbezaan warna kulit, serta toleransi dan kesefahaman silang budaya yang rendah.
Setelah 57 tahun Merdeka, Malaysia masih lagi merangkak dalam usahanya membina sebuah masyarakat yang harmonis tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan fahaman politik.
Salah satu tweet menggunakan hashtag tersebut menulis, ‘seandainya iklan Merdeka itu benar, pastilah kerajaan tidak perlu membazir wang mempromosikan 1Malaysia’.
Setakat sekarang, slogan yang dilaungkan oleh Perdana Menteri ternyata sekadar penjenamaan, dan hakikatnya tidak membawa maksud apa-apa.
Kita dapat melihat seolah-olah pendekatan pecah dan perintah warisan penjajah British masih lagi terjadi.
Kita masih lagi terpecah-pecah dan tidak bersatu.
Malah kita masih lagi menggunakan undang-undang British untuk menafikan hak bersuara dan berpendapat seperti Akta Hasutan 1948 dan pelbagai lagi undang-undang yang menindas, sepertimana yang boleh dilihat dari beberapa pendakwaan terpilih dan berniat jahat terhadap pemimpin Pakatan Rakyat dalam masa sepuluh hari lalu.
Pada Hari Merdeka yang ke-57 ini, saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menjadikan tragedi dua nahas udara sebagai permulaan membentuk perpaduan nasional, meskipun dalam keadaan negara mengalami polarisasi dan perpecahan terburuk sejak Merdeka pada tahun 1957.
Ini adalah cabaran terbesar bukan sahaja untuk rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, daerah dan pandangan politik tetapi juga bagi pemimpin-pemimpin dalam pelbagai ruang di seluruh negara.