Kepura-puraan terbesar MCA sepanjang 65 tahun sejarahnya – mengancam untuk mengumpul ribuan orang dan mengepung Parlimen bagi menentang hudud, namun gagal membuatkan walau pun hanya seorang, iaitu Presiden MCA, untuk berkata ‘Tidak’ kepada Najib
Rakyat Malaysia sedang menyaksikan kepura-puraan terbesar MCA sepanjang 65 tahun sejarahnya – Parti itu mengancam untuk mengumpul ribuan orang dan mengepung Parlimen bagi menentang hudud, namun gagal membuatkan walau pun hanya seorang, iaitu Presidennya MCA sendiri, untuk berkata ‘Tidak’ kepada Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak tentang isu itu.
Berdasarkan tafsiran salah dan menyeleweng ke atas kenyataan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat tentang hudud pada 28 September 2011, MCA melancarkan kempen agresif namun tidak jujur di seluruh negara ke atas DAP hingga akhirnya hanya menunjukkan kepura-puraan terbesar MCA sepanjang kewujudannya.
Sangat menyedihkan untuk menyaksikan kepura-puraan itu – kerana ia hanya berjaya secara terus-menerus menelanjangkan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan pimpinan MCA sebagai pemimpin tanpa keyakinan, prinsip, dan maruah – perkara-perkara yang menyebabkan MCA ditolak sepenuhnya oleh pengundi Malaysia pada Pilihanraya Umum ke-13 Mei lalu, dan akhirnya menjadi parti politik “7-11” di negara ini.
Liow dan pimpinan MCA kini di bawah ujian sukar – adakah mereka sanggup untuk memberitahu Najib yang parti itu tidak bersedia untuk kembali ke Kabinet Barisan Nasional sehinggalah prinsip muafakat dipulihkan dalam BN, dan Najib menarik balik pengumuman yang dibuatnya secara sembarangan dan sepihak pada Khamis lalu bahawa kerajaan persekutuan tidak pernah menolak hudud?
Atau adakah pangkat menteri dan timbalan menteri serta faedah daripada jawatan itu lebih penting kepada Liow dan pimpinan MCA berbanding prinsip dan keteguhan politik, termasuk paling penting, iaitu BN bergerak menurut muafakat semua parti komponennya, bukan sekadar di bawah telunjuk Umno?
Ketika Najib membuat pengumuman mengejutkan itu di Alor Star, Khamis lepas, bahawa kerajaan persekutuan tidak pernah menolak hudud, mengapa tiada bantahan daripada MCA Presiden?
Begitu juga, mengapa Majlis Presiden MCA yang mengadakan pertemuan semalam tidak berkata apa-apa tentang pengumuman Najib, yang jelas bertentangan dengan prinsip muafakat BN. Atau apakah Liow secara rahsia atau bersendirian telah memberikan persetujuan kepada kenyataan Najib, sebelum atau selepas kenyataan itu dikeluarkan?
Apakah mesyuarat tergempar Jawatankuasa Pusat MCA akan dipanggil untuk membantah dan menolak kenyataan Najib itu?
Atau apakah tiada keperluan untuk berbuat demikian kerana apa yang diumumkan Najib di Alor Setar telah secara automatik menjadi dasar BN, yang mana tidak akan dibantah atau dikritik secara terbuka oleh pemimpin MCA kerana itu akan mengancam peluang Liow dan pemimpin MCA lain untuk kembali ke Kabinet dan Kerajaan BN sebagai menteri dan timbalan menteri?
Tunggu sahaja Liow dan pimpinan MCA menjelaskan isu yang amat mudah ini, yang kini timbul dalam benak semua rakyat Malaysia yang berfikir.