Lawatan empat Ahli Parlimen PR ke Semporna dalam misi pencarian fakta untuk memastikan sama ada Esscom adalah ‘harimau tanpa taring’ atau ‘gajah putih’ dan sama ada ia patut dibubarkan kerana langsung tidak berkesan

Saya akan melawat Semporna hari ini bersama-sama Pengerusi DAP Sabah dan Ahli Parlimen Kota Kinabalu Jimmy Wong Sze Phing, Timbalan Pengerusi Stephen Wong Tien Fatt (MP Sandakan) dan Ahli Parlimen PKR Lumut Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abdul Hamid dalam misi pencarian fakta bagi memastikan apa yang boleh dilakukan kerajaan Malaysia untuk meningkatkan kecekapan Esscom serta keselamatan di Pantai Timur Sabah.

Langkah membuat lawatan ini diambil setelah mengambil kira sidang parlimen yang berakhir Khamis lalu telah meletakkan perhatian seluruh negara kepada keberkesanan Esscom dan tahap keselamatan di sana.

Dalam sidang Parlimen minggu lalu, Ahli Parlimen DAP Sandakan Stephen Wong mencatat sejarah apabila berjaya membawa usul tergempar di parlimen bagi membahaskan ‘kepentingan awam yang memerlukan perhatian segera’, iaitu untuk membangkitkan soal ketidakcekapan Pusat Kawalan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan kegagalan Esscom mengawal keselamatan di sana berikutan penculikan pelancong warga China 2 April lalu – insiden kedua dalam masa lima bulan dan kurang 24 jam selepas sambutan ulang tahun pertama Esscom.

Saya menggambarkan sambutan pada 1 April lalu itu sebagai ‘lawak April Fool’ kepada rakyat Sabah dan Malaysia kerana Pengarah Esscom Datuk Mohammad Mentek ketika itu bercakap besar bahawa badan itu “berjaya menghentikan percubaan orang luar untuk masuk Sabah secara haram dan melakukan jenayah seperti, penculikan pelancong Taiwan di Pulau Pom Pom pada 15 November 2013”, namun, tidak sampai 24 jam setelah itu, berlaku penculikan kedua terhadap seorang pelancong warga China dan seorang pekerja Singamata Reef Resort, Semporna!

Ahli Parlimen, sama ada daripada Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional, tidak ingin Esscom menjadi ‘lawak April Fool’ yang mahal, menghabiskan lebih RM300 juta hanya untuk menjadi “harimau tanpa taring” atau, lebih teruk, projek “gajah putih” yang tidak dapat memainkan peranan bermakna dan berkesan bagi memastikan keselamatan di Timur Sabah.

Dalam perbahasan tergempar di Parlimen tentang kegagalan Esscom itu, bukan sahaja Ahli Parlimen Pakatan Rakyat seperti Stephen Wong dan Jimmy Wong yang bercakap tentang penyusunan semula Esscom, malah Ahli Parlimen Barisan Nasional seperti Datuk Seri Panglima Abdul Ghapur bin Salleh (Kalabakan) telah mendesak pembubaran badan itu.

Tidak keterlaluan jika dikatakan perbahasan tergempar Stephen Wong tentang Esscom itu berjaya menonjolkan terbaik Ahli-Ahli Parlimen Sabah sepanjang 50 tahun sejarah Sabah dalam Malaysia, kerana perbahasan itu menyatukan suara rakyat negeri Sabah dalam badan perundangan tertinggi negara.

Namun sidang parlimen itu juga membangkitkan sisi terburuk pada Ahli-ahli Parlimen Sabah – perkara ini akan saya sentuh nanti.

Lawatan empat Ahli Parlimen ke Semporna hari ini akan memberi tumpuan terhadap soal sama ada Esscom benar-benar ‘harimau tanpa taring’ atau ‘gajah putih’ dan sama ada ia patut dibubarkan kerana tiada apa-apa sumbangan kepada keselamatan di Timur Sabah.

Sejurus sebelum ulang tahun pertama Esscom, Mohammad Mentek secara berlebihan menyebut kejayaannya menggabungkan peranan empat komponen di Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esszone) – Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan agensi-agensi awam. Tetapi Ketua Komunikasi Korporat Esscom Newmond Tibin mengakui, selepas penculikan 2 April lalu, bahawa Esscom ‘tiada kuasa’ untuk bertindak ke atas insiden itu kerana ia tiada “kuasa untuk mengeluarkan apa-apa arahan dan perintah.”

Dalam jawapan Parlimen Khamis lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata bahawa persoalan sama ada Pengarah Esscom akan diberikan kuasa eksekutif dan bukan hanya tugas penyelarasan perlu diputuskan Kabinet.

Jika Esscom ingin dipertanggungjawabkan atas soal keselamatan – bukan sahaja untuk serangan seperti insiden Lahad Datu, tetapi juga untuk kegiatan jenayah oleh orang luar yang memasuki Sabah – maka Pengarah Esscom perlu diberikan kuasa eksekutif dan bukan hanya kuasa penyelarasan yang tugasnya seperi posmen antara empat komponen Esscom dalam Esszone.

Pada hari terakhir sidang Parlimen Khamis lalu, saya menyeru Kabinet untuk memberikan kuasa itu kepada Pengarah Esscom. Adakah ia sesuai dilaksanakan dan penyelesaian terbaik kepada permasalahan Esscom?

Inilah jawapan yang saya cari dalam lawatan hari ini.

Saya katakan tadi bahawa sidang parlimen kali ini membuatkan Ahli-ahli Parlimen Sabah menunjukkan sisi terbaik dan terburuk di Dewan Rakyat.

Saya sudah sentuh tentang sisi yang terbaik. Apakah yang terburuk?

Tidak syak lagi ‘gelaran’ itu jatuh kepada Ahli Parlimen Kudat Datuk Abdul Rahim Bakri yang juga Timbalan Menteri Pertahanan. Beliau melakukan kesalahan yang sangat besar iaitu mengelirukan Parlimen apabila mengatakan dalam Dewan Rakyat pada 26 Mac lalu bahawa Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tidak memintas pesawat MH370 ketika ia dikesan oleh radar tentera di Selat Melaka pada 8 Mac kerana menyangka pesawat itu berpatah balik selepas menerima arahan daripada menara kawalan.

Abdul Rahim melakukan kesalahan itu ketika beliau didesak Ahli Parlimen PKR Lumut agar menjelaskan reaksi TUDM ketika MH370 dikesan radar tentera keluar dari laluan penerbangan ke Beijing.

Walaupun Abdul Rahim mengeluarkan kenyataan keesokannya di luar Parlimen bahawa beliau tersilap dalam kenyataan awalnya di Parlimen kerana membuat andaian sendiri, bukannya maklumat daripada TUDM, dan segera ‘dibersihkan’ speaker Tan Sri Pandikar Amin bahawa tiada percubaan untuk mengelirukan Dewan, beliau tidak muncul di Parlimen dua minggu berikutnya bagi mengemukakan permohonan maaf berhubung tindakannya yang memalukan itu di Parlimen.

Kegagalan Abdul Rahim untuk hadir ke Parlimen dalam tempoh dua minggu terakhir sidang kali ini untuk memohon maaf atas kesalahannya serta dolak dalik Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk memberikan taklimat kepada Ahli Parlimen Pakatan Rakyat berhubung tragedi MH370 sememangnya berpunca dari sebab yang sama – ketidakupayaan TUDM untuk memberikan keterangan yang tersusun dan boleh dipercayai tentang tindakannya ketika saat-saat awal kehilangan MH370 untuk menghalang atau mengurangkan kesan tragedi itu!

Salah satu topik kegemaran Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan adalah Malaysia perlu meningkatkan sistem pertahanan untuk mengukuhkan keselamatan negara pada masa hadapan – kononnya inilah pengajaran paling penting daripada tragedi MH370.

Saya bersikap terbuka dalam persoalan sama ada Malaysia perlu mengeluarkan lebih banyak dana untuk mendapatkan aset pertahanan yang lebih canggih ekoran tragedi ini.

Namun, sebelum Hishammuddin atau ketua-ketua tentera mula melobi agar lebih banyak aset dan dana diperuntukkan untuk tujuan ketenteraan, mereka sepatutnya terlebih dahulu memberikan keterangan yang tersusun dan boleh dipercayai tentang apa yang TUDM lakukan ketika hari-hari pertama tragedi ini.

Imran selaku bekas Panglima Pertama TUDM yakin bahawa tiada apa yang kurang pada kemampuan radar tentera kita. Namun, beliau percaya bahawa ada sesuatu yang sangat tidak kena pada kakitangan dan kepimpinan angkatan tentera kita.

Hishammuddin perlu terlebih dahulu membuktikan bahawa pendapat itu salah sebelum bercakap tentang keperluan meningkatkan sistem ketenteraan kita.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah