Parlimen patut mengkhaskan sidang Khamis depan untuk perbahasan khas mengenai tragedi MH370
Tragedi kehilangan pesawat MAS, MH370 Boeing 777-200 bersama 239 penumpang dan anak kapal yang masuk hari ke 28 adalah bukan sahaja sebuah tragedi bagi negara malah suatu tragedi antarabangsa. Ini sebabnya kenapa ia telah mencetuskan misi pencarian yang paling lama dan paling besar, melibatkan pencarian di permukaan laut, laut lepas, bawah laut dan pencarian satelit; yang pada satu-satu masa melibatkan 26 buah negara.
Hari ini, sebuah drone dasar laut Amerika Syarikat telah turut serta dalam perlumbaan mengatasi masa dalam misi carian 8 negara yang melibatkan 14 pesawat udara, sepuluh kapal dan sebuah kapal selam di kawasan seluas 86,000 batu persegi sejauh 1,000 batu di Barat-Barat Laut Perth, Australia; memandangkan hanya dua hari sahaja lagi yang berbaki untuk mendapatkan semula kotak hitam MH370 kerana bateri yang menghidupkan isyaratnya hanya bertahan selama 30 hari.
Dalam sebuah sidang media di Parlimen semalam, saya telah mengajak kesemua ahli parlimen, tidak kira dari Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional untuk berfikir segara sama ada Parlimen wajar ditangguhkan Khamis hadapan dengan keadaan buntu dan tanpa sebarang keputusan seandainya semakin malap kemungkinan untuk menjumpai kotak hitam pesawat MAS MH370 dalam minggu dan bulan akan datang.
Memandangkan sidang Parlimen kali ini bakal ditangguhkan 10 April, Khamis depan, saya mencadangkan supaya Parlimen mengkhaskan Khamis depan untuk perbahasan khas mengenai nahas MH370 dan apa peranan ahli parlimen untuk membantu mengembalikan keyakinan negara dan masyarakat antarabangsa terhadap ketelusan, urustadbir dan reputasi Malaysia.
Walau bagaimanapun, ini akan memerlukan persetujuan Perdana Menteri yang merupakan Ketua Dewan Rakyat, memandangkan sudah menjadi mustahil bagi Ahli Parlimen Pakatan Rakyat untuk memperkenalkan sebarang usul berkaitan MH370 yang memerlukan notis 14 hari di bawah Peratusan Mesyuarat.
Ini sebabnya kenapa usul Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke untuk menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai MH370 ditolak oleh Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, kerana ia tidak menepati syarat notis 14 hari yang diperlukan untuk sebarang usul dari ahli parlimen biasa.
Namun, peruntukan Aturan 27(3) daripada Peraturan Mesuarat Dewan Rakyat menyatakan “…jika Tuan Yang di-Pertua puas hati setelah diterangkan kepadanya oleh seseorang Menteri iaitu bagi faedah orang ramai sesuatu usul itu mustahak dibahaskan dengan seberapa segeranya maka memadailah dikeluarkan pemberitahu itu satu hari sahaja terlebih dahulu.”
Oleh itu adalah menjadi kewajipan Perdana Menteri untuk membentangkan usul yang akan dicadang dan dibahaskan sepanjang hari Khamis berkenaan tragedi kehilangan MH370, yang telah mencuri perhatian dan keresahan bukan sahaja ahli keluarga mangsa 239 penumpang dan anak kapal serta seluruh warga Malaysia, malahan seluruh dunia.
Sebagai negara tuan punya pesawat yang hilang bersama 239 penumpang dan anak kapal dari 14 negara, tanpa sebarang dapatan atau petunjuk selepas empat minggu, ia pastinya memalukan seandainya Parlimen Malaysia kurang peduli berbanding Parlimen atau badan legislatif negara lain terhadap tragedi kehilangan MH370.
Saya menyeru Perdana Menteri supaya setuju mengkhaskan keseluruhan sidang hari Khamis minggu depan untuk membahaskan tragedi kehilangan pesawat MH370, termasuk sama ada sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai MH370 wajar ditubuhkan.
Ahli-ahli Parlimen juga patut membincangkan pada hari Khamis depan tentang sama ada Parlimen Malaysia patut memulakan siasatan parlimen antarabangsa terhadap nahas MH370 memandangkan mangsa tragedi tersebut turut terdiri daripada warga 14 negara lain, di mana 153 daripadanya warga China, 38 Malaysia, 7 Indonesia, 6 Australia, 5 India, 4 Perancis, 3 Amerika, dan 2 setiap satu dari New Zealand, Ukraine, Kanada dan Iran serta seorang dari Rusia, Taiwan dan Belanda.