Apakah Najib akhirnya mengenepikan Model Ekonomi Baru (MEB)?
Apakah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mengenepikan Model Ekonomi Baru (MEB) yang beliau sendiri perkenalkan tiga tahun lalu, pada 30 Mac 2010, berikutan pengumuman Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera pada hari Sabtu lalu?
MEB mengakui bahawa "penumpuan berlebihan terhadap pengagihan sumber berasaskan etnik telah meningkatkan jurang dan perselisihan antara kaum."
MEB menyebut dalam Bab 6:
"Program dan pelaksanaan tindakan afirmatif yang sedia ada akan diteruskan dalam MEB, tetapi selari dengan pandangan para pemegang kepentingan yang utama, ia akan dirombak untuk menghapuskan amalan rent-seeking dan ciri-ciri yang mengganggu pasaran yang telah menjejaskan keberkesanan program ini. Tindakan afirmatif akan mempertimbangkan semua kelompok etnik secara saksama dan setara selagi pendapatan isi rumah mereka berada pada kadar 40% terendah. Program tindakan afirmatif yang akan dilaksanakan bersifat mesra-pasaran, selain mengambil kira keperluan dan merit pemohon. Suruhanjaya Kesaksamaan Peluang akan dibentuk untuk memastikan tindakan afirmatif dijalankan secara saksama dan mampu menangani diskriminasi yang kadang kala mungkin dilakukan oleh kelompok yang dominan."
Setelah mendapat tentangan daripada puak rasis dan cauvinis, Najib meminggirkan rancangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Kesaksamaan Peluang.
Apakah beliau kini telah mengenepikan MEB dan untuk mengubah program afirmatif agar menjadi program yang berasaskan keperluan dan merit bagi membina keupayaan serta memberi tumpuan kepada kelompok yang pendapatan mereka berada pada tahap 40% terendah?
Bab 7 MEB memperingatkan bahawa "Telah sampai masa untuk berubah - keadaan Malaysia sepatutnya lebih baik."
Ketika MEB dilancarkan pada Mac 2010, negara ini telah diingatkan tentang akibat-akibat buruk yang akan menimpa jika kita gagal melaksanakan transformasi ekonomi.
Menurut MEB: "Kelemahan yang ada pada kita sekarang menghalang kita daripada untuk keluar daripada perangkap pendapatan menengah. Semua negara Asia Tenggara yang lain sedang berada pada kedudukan yang baik untuk mencapai pertumbuhan ekonomi lebih tinggi dalam dekad ini. Tetapi Malaysia berdepan dengan risiko kemerosotan dan kekakuan ekonomi."
MEB telah mengenalpasti "kemahuan dan kepimpinan politik untuk meleraikan rintangan yang ditimbulkan oleh kelompok-kelompok berkepentingan diri serta menyiapkan rakyat untuk menyokong perubahan-perubahan penting dalam arah tuju ekonomi" sebagai "pendorong terpenting" MEB.
Ia menyeru kepimpinan politik agar memberikan penekanan terhadap usaha menjelaskan secara koheren wawasan dan agenda MEB serta proses transformasi dan "membentuk langkah-langkah penting" untuk "mencipta gelombang sokongan yang kuat daripada semua segmen masyarakat terhadap wawasan ini."
Ia juga mengingatkan bahawa:
"Kerajaan mesti mengambil langkah segera apabila rintangan timbul dan terus berada di landasan yang telah ditetapkan."
Najib perlu menyatakan sama ada beliau kini mengenepikan MEB dan tidak lagi mempunyai kesanggupan serta daya kepimpinan politik untuk mempertahankan MEB dan terus berada di landasannya agar negara ini dapat keluar daripada perangkap pendapatan menengah ketika berdepan dengan penentangan dan rintangan yang ditimbulkan oleh para pengikut beliau sendiri dalam UMNO.