Bila KP RoS dilibatkan dalam kempen Demolish/Destroy DAP (DDD) Umno/BN?

Bila Ketua Pengarah Pendaftar Pertubuhan (RoS) Datuk Abdul Rahman dilibatkan dalam konspirasi dan kempen Demolish/Destroy DAP (DDD) Umno/BN dan jika kita, mengapa modus operandi KP RoS menunjukkan beliau mengikut skrip DDD Umno/BN sejak beberapa bulan lalu?

Di tahap awal kempen DDD Umno/BN, Ketua Pengarah (KP) RoS menunjukkan sikap bebas, adil, dan profesional, seperti yang terlihat pada kenyataan Abdul Rahman pada bulan Januari yang menyebut bahawa pemilihan semula CEC DAP "hanya akan berlaku jika ada bukti kukuh telah berlaku percanggahan dalam proses pemilihan CEC."

Namun, sejak beberapa bulan lalu, KP RoS tunduk kepada tekanan konspirasi DDD Umno/BN untuk menjejaskan, menggoncang, dan memusnahkan DAP seperti yang jelas pada keengganan KP RoS untuk mengemukakan secara bertulis "bukti kukuh" bagi "percanggahan dalam proses pemilihan CEC" untuk menjustifikasi arahannya supaya DAP mengadakan pemilihan semula CEC.

Kajian ke atas konspirasi dan kempen DDD Umno/BN sejak beberapa bulan lalu menunjukkan corak di mana batalion-batalion DDD Umno/BN membuat persiapan untuk menyerang kepimpinan DAP dan kemudian diikuti oleh kepimpinan Umno/BN, termasuk Perdana Menteri dan Menteri-menteri Kabinet, dan seterusnya KP RoS, menunjukkan bahawa KP RoS telah dilibatkan dalam konspirasi dan kempen DDD Umno/BN.

Selepas Pilihanraya Umum ke-13, kempen Umno/DDD mempunyai agenda baru untuk melenyapkan DAP dan juga Pakatan Rakyat dari arena politik - pada awalnya bertumpu pada risalah misteri "The Equity Report (CEC Election Fraud)" yang ditulis oleh penulis hantu bernama "Father Augustus Chen".

Walaupun risalah itu diterbitkan secara haram tanpa menyebut nama pencetak atau penerbitnya seperti yang diwajibkan oleh undang-undang Malaysia, ia diberi "layanan diraja" dan dipetik secara bebas oleh media di bawah kawalan Umno/BN dan selain disebarkan ke seluruh negara.

Berdasarkan lambakan publisiti dan propaganda terhadap DAP dalam media di bawah kawalan Umno/BN, jelas bahawa batalion-batalion dan konspirasi DDD Umno/BN sedang menjalani proses pengembangan. Pembohongan dan kepalsuan terhadap DAP kini bukan saja diterbitkan dalam media berbahasa Malaysia dan Inggeris seperti sejak tujuh bulan pertama tahun ini, malah ia telah turut diterbitkan dalam media berbahasa Cina dan Tamil, selain penubuhan batalion-batalion baru DDD Umno/BN, antaranya Jaringan Cina Malaysia.

Pembohongan dan kepalsuan terus dijana oleh DDD Umno/BN untuk memberikan gambaran palsu bahawa kepimpinan DAP sedang berpecah-belah. Terkini, Pengerusi DAP Karpal Singh dikatakan tidak bersetuju dengan beberapa perkara berkaitan penganjuran Kongres Istimewa DAP pada 29 September nanti.

Tiada kebenaran atau asas bagi pembohongan terbaru ini, seperti juga pada dakwaan sebelum ini tentang "753 perwakilan, sebahagian besar berketurunan India" tidak diberi notis tentang Kongres Parti DAP di Pulau Pinang bulan Disember lalu dan dengan itu dinafikan hak untuk hadir dan mengundi dalam pemilihan CEC.

Hakikatnya, semua perwakilan yang layak ke Kongres Parti DAP di Pulau Pinang telah diberikan notis dan tiada kebenaran pada dakwaan tentang "753 perwakilan, sebahagian besar berketurunan India" tidak diberi notis. Selain itu, hanya 100 daripada 753 perwakilan yang tidak hadir dalam Kongres DAP di Pulau Pinan itu yang berketurunan India.

Sebelum ini, DAP mengabaikan semua pembohongan tersebut, tetapi pendekatan itu telah mendorong batalion-batalion DDD Umno/BN untuk mengulang-ulang pembohongan mereka dengan berpura-pura seolah-olah DAP diam kerana ada kebenaran pada dakwaan-dakwaan palsu mereka.

Untuk makluman, keputusan untuk mengadakan Kongres Istimewa pada 29 September dan semua perkara lain tentang kongres itu telah dipersetujui secara sebulat suara oleh semua anggota CEC, termasuk Karpal.

Persoalannya sekarang, apakah KP RoS akan sekali lagi bertindak mengikut skrip kempen DDD Umno/BN dan mengambil langkah berdasarkan pembohongan terbaru ini.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah