Kenyataan KP RoS kini boleh difahami kerana ia membuktikan bahawa beliau selama ini bertindak mengikut skrip skuad DDD Umno/BN untuk memusnahkan DAP
Melihat pada perkembangan sekarang, kita kini boleh memahami kenyataan Ketua Pengarah Pendaftar Pertubuhan (RoS) Datuk Abdul Rahman Othman dalam The Star 26 Julai lalu yang mengingatkan anggota DAP agar tidak menaruh "harapan palsu" untuk membentuk parti baru jika pendaftaran DAP dibatalkan oleh RoS.
Kenyataan Abdul Rahman pada akhir Julai lalu membuatkan para pemimpin dan ahli DAP tercengang kerana soal penubuhan parti baru jika pendaftaran DAP dibatalkan tidak pernah dibangkitkan atau diperkatakan oleh sesiapa dalam DAP, memandangkan tiada sebab yang dapat mewajarkan pembatalan pendaftaran DAP.
Tiga dakwaan telah dikemukakan menerusi kempen skuad "DDD" (Demolish/Destroy DAP) Umno/BN dalam tujuh bulan pertama tahun ini untuk mempersoalkan kesahihan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada Kongres DAP di Pulau Pinang Disember tahun lalu, namun tiada satu pun dakwaan itu dapat dibuktikan, termasuk menerusi penerbitan risalah misteri yang memfitnah DAP dan memuatkan 100 pembohongan berkenaan parti ini.
Walaupun risalah penuh pembohongan ini telah ditulis oleh penulis hantu bernama "Father Augustus Chen", ia telah diedarkan ke seluruh negara dalam empat bahasa, iaitu Bahasa Malaysia, Inggeris, Cina, dan Tamil, dan diberikan publisiti meluas oleh media cetak, radio, dan televisyen di bawah kawalan Umno-BN "Father Augustus Chen" walaupun ia diterbitkan secara haram tanpa menyebut nama pencetak atau penerbit!
Dakwaan yang pertama dibuat tentang penipuan dan kekerutuan dalam pemilihan yang diakibatkan oleh "gangguan komputer" tidak lagi didengar dua bulan setelah perkara itu disebut-sebut kerana tidak dapat disangkal lagi bahawa gangguan komputer itu tidak menimbulkan kesilapan pada pengiraan undi, sebaliknya hanya sewaktu pengumuman keputusan-hakikat yang boleh dibuktikan kepada sesiapa jua pada bila-bila masa.
Dua dakwaan lagi, iaitu berkenaan "753 perwakilan, sebahagian besarnya berketurunan India" yang konon tidak diberi notis tentang Kongres dan kerana itu tidak dapat mengambil bahagian dalam pemilihan CEC dan "547 perwakilan hantu yang sebahagian besarnya dari Pulau Pinang," adalah dakwaan yang tidak berasas dan pembohongan yang nyata. Kerana itulah Ketua Pengarah RoS tidak sanggup menyatakan secara bertulis alasan mengapa beliau tidak berpuas hati dengan pemilihan CEC DAP dan mahu pemilihan semula diadakan.
Selama tujuh bulan, kempen DDD Umno/BN telah menyebarkan cukup banyak pembohongan dan kepalsuan mengenai DAP menerusi ratusan laporan dalam media di bawah kawalan Umno/BN, misalnya dengan menyebut bahawa "satu-satunya cara untuk Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dapat mengenepikan anggota-anggota parti yang tidak menyokongnya, khususnya ahli dari kaum India, ialah menerusi pembatalan pendaftaran parti."
Berdasarkan senario ini, "ada cakap-cakap dalam parti yang menyebut bahawa Guan Eng lebih suka jika parti ini dibatalkan pendaftarannya daripada mengadakan pemilihan semula parti."
Malah dakwaan dan pembohongan yang lebih besar lagi menyebut bahawa kepimpinan DAP cuba untuk merasuah RoS untuk membatalkan pendaftaran parti ini.
Semua pembohongan itu berguna untuk kempen jahat DDD Umno/BN, tetapi ia pada masa yang sama mendedahkan kenyataan bahawa Ketua Pengarah RoS bertindak berdasarkan skrip kempen DDD Umno/BN dan tidak bertindak secara bebas, adil, dan profesional sebagai Ketua Pengarah RoS.
Kenyataan ini terlihat apabila beliau tiba-tiba mengingatkan anggota-anggota DAP pada 26 Julai lalu untuk tidak "menaruh harapan palsu" untuk membentuk parti baru jika pendaftaran DAP dibatalkan, padahal tiada siapa dalam parti pernah berniat untuk berbuat demikian. Namun, cerita bohong seperti itu bersesuaian dengan kempen DDD Umno/BN yang mendakwa bahawa kepimpinan DAP mahu pendaftaran parti itu dibatalkan supaya sebuah parti DAP baru dapat ditubuhkan seperti Umno Baru yang penubuhannya dijadikan peluang oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk mengenepikan anggota-anggota Umno yang tidak bersetuju dengan beliau setelah Umno lama diisytiharkan tidak sah oleh mahkamah (bukan oleh RoS) pada tahun 1988.
Sebagai penegasan terhadap kenyataannya bahawa anggota DAP tidak harus "menaruh harapan palsu" untuk menubuhkan sebuah DAP baru, Abdul Rahman berkata:
"Mereka boleh memohon. Tetapi hak untuk meluluskan berada di tangan RoS. Kami tidak melayan 29 permohonan untuk menubuhkan parti baru yang dikemukakan sejak lima tahun lalu."
Abdul Rahman secara rasmi telah menyerahkan sijil pendaftaran pertubuhan kepada 20 parti politik baru pada hari Isnin, 2 September lalu (11 parti dari Sabah, lima dari Sarawak dan empat dari Semenanjung), namun jelas bahawa keputusan untuk meluluskan pendaftaran 20 parti politik itu telah diambil jauh lebih awal, iaitu sebelum beliau tidak semena-mena mengeluarkan peringatan kepada anggota DAP pada 26 Julai lalu untuk tidak "menaruh harapan palsu."
Persoalan sekarang, apakah KP RoS terus menari mengikut rentak gendang skuad DDD Umno/BN dan menjadi perkakas usaha mereka untuk memusnahkan DAP?