Pendaftar Pertubuhan harus berhenti bertindak mengikut skrip kempen 'DDD' Umno/BN
Kelmarin, Ketua Pengarah Pendaftar Pertubuhan (RoS) Datuk Abdul Rahman Othman meminta DAP menghentikan "perang" media terhadap RoS dan mematuhi prosedur.
RoS adalah pihak yang bersalah kerana menyertai "perang media" terhadap DAP sejak lapan bulan lalu, justeru itu saya meminta Abdul Rahman berhenti mengikut skrip kempen "DDD" (skuad Demolish/Destroy DAP) Umno/BN dan membuktikan bahawa ia adalah sebuah badan yang bebas, adil, dan profesional dalam menjalankan tugasnya, termasuk dengan mengemukakan sebab mengapa ia mahu pemiihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP diadakan sedangkan pemilihan CEC yang diadakan pada Disember tahun lalu berjalan secara sempurna, sah, dan mematuhi sepenuhnya Perlembagaan parti.
Dalam kempen DDD Umno/BN pada tujuh bulan pertama tahun ini, tiga alasan telah disebut-sebut untuk mempertikaikan kesahihan pemilihan CEC DAP sewaktu Kongres DAP di Pulau Pinang, Disember tahun lalu:
- Pertama, dakwaan tentang penipuan dan kekerutuan dalam pemilihan yang terjadi akibat gangguan komputer, padahal tiada kesilapan terjadi dalam pengiraan atau pejumlahan undi, sebaliknya dalam pemindahan keputusan pemilihan yang membawa kepada kesilapan dalam pengumuman keputusan.
- Kedua dakwaan bahawa 753 perwakilan DAP "kebanyakan berketurunan India" yang layak untuk mengundi dalam pemilihan CEC DAP telah tidak diberikan notis untuk hadir dan mengundi dalam Kongres DAP.
- Ketiga, dakwaan bahawa 547 "perwakilan hantu, kebanyakannya dari Pulau Pinang," telah dibenarkan untuk mengundi dalam Kongres DAP Disember lalu, menjadikan pemilihan itu tidak sah.
Ketiga-tiga alasa itu telah dibuktikan sebagai tidak berasas. Malah, dakwaan tentang penipuan dan kekerutuan dalam pemilihan yang diakibatkan oleh "gangguan komputer" tidak lagi didengar dua bulan setelah perkara itu disebut-sebut, sebaliknya serangan terhadap DAP berkenaan pemilihan CEC telah ditumpukan pada dakwaan kedua dan ketiga tentang "753 perwakilan" tidak diberikan notis Kongres dan tentang "547 perwakilan hantu."
Pada bulan Julai, sebuah risalah misteri berjudul The Equity Report (CEC Election Fraud) telah diterbitkan dalam empat bahasa, iaitu Bahasa Malaysia, Inggeris, Cina, dan Tamil, dan isinya dipetik secara bebas oleh media di bawah kawalan Umno/BN, selain disebarkan ke seluruh negara, termasuk di Sarawak, walaupun risalah itu ditulis oleh satu watak rekaan bernama "Father Augustus Chen" dan diterbitkan secara haram tanpa menyebut nama pencetak atau penerbitnya seperti yang diwajibkan oleh undang-undang Malaysia.
Saya telah mencabar "Father Augustus Chen" untuk muncul di depan umum, tetapi beliau tentunya tidak muncul kerana watak itu adalah rekaan semata-mata, seperti juga 100 kenyataan palsu tentang DAP yang dimuatkan dalam risalah setebal 12 halaman itu.
Tidak pernah berlaku dalam sejarah ini di mana sebuah penerbitan haram yang berasaskan khayalan diberikan layanan sebegitu istimewa, dipetik dalam media rasmi Umno/BN, tidak kira media cetak, radio, mahu pun TV, hampir setaraf dengan liputan yang diberikan terhadap kenyataan rasmi daripada Jabatan Perdana Menteri atau Kabinet.
Risalah penuh fitnah oleh "Father Augustus Chen" menjadi tirai penutup bagi kempen DDD Umno/BN untuk menghalalkan tindakan kerajaan Umno/BN (seperti yang disebut oleh beberapa anggota Kabinet, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak) dan RoS mengarahkan DAP mengadakan pemilihan semula CEC, khususnya berikutan dakwaan tidak berasas tentang "753 perwakilan yang kebanyakannya berketurunan India" yang kononnya tidak diberi notis tentang Kongres Parti dan "547 perwakilan, sebahagian besarnya dari Pulau Pinang" yang terlibat dalam pemilihan CEC DAP.
Sewaktu di tahap awal kempen DDD Umno/BN, Ketua Pengarah RoS menunjukkan sikap bebas, adil, dan profesional, seperti yang terlihat pada kenyataan Abdul Rahman pada bulan Januari yang menyebut bahawa pemilihan semula CEC DAP "hanya akan berlaku jika ada bukti kukuh telah berlaku percanggahan dalam proses pemilihan CEC."
Jelas sejak awal kempen DDD lagi bahawa ada tekanan hebat ke atas RoS untuk mengenepikan kebebasan, sikap adil, dan profesionalisme badan itu dan sebaliknya mematuhi skrip kempen DDD bagi menggunakan pemilihan CEC DAP bulan Disember tahun lalu untuk menjejaskan, menggoyahkan dan memusnahkan DAP dan juga Pakatan Rakyat.
Inilah yang menjadi sebab Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, mengumumkan pada 16 Januari 2013 bahawa siasatan rasmi aan dilancarkan oleh RoS ke atas pemilihan CEC yang diadakan di Pulau Pinang pada bulan Disember tahun lalu memandangkan DAP telah gagal mengemukakan laporannya dalam tempoh 60 hari yang ditetapkan, sedangkan pada hakikatnya DAP telah menyerahkan laporan berkenaan pemilihan parti pada 8 Februari.
Namun, dalam bulan-bulan seterusnya, jelas RoS bertindak mengikut skrip kempen DDD Umno/BN, diakhiri dengan arahan RoS kepada DAP agar mengadakan pemilihan semula CEC, walaupun Ketua Pengarah RoS sendiri gagal mengotakan kata-katanya sendiri yang diungkapkan di depan umum pada bulan Januari lalu, iaitu bahawa perlu ada "bukti kukuh" tentang percanggahan dalam proses pemilihan CEC sebelum arahan untuk mengadakan pemilihan semula CEC boleh dikeluarkan.
Kempen memusnahkan DAP oleh Umno/BN mempunyai agenda baru setelah BN mencatatkan prestasi buruk dalam Pilihanraya Umum ke-13, iaitu untuk melenyapkan DAP dan juga Pakatan Rakyat dari arena politik dengan apa jua cara, tidak kira dengan cara bersih atau kotor.
Agenda Umno/BN ini tidak mengejutkan sama sekali, tetapi RoS tidak seharusnya terlibat dalam agenda jahat Umno/BN ini kerana ia wajib bertindak selaku sebuah badan yang bebas, adil, dan profesional dalam menjalankan tugas memantau pertubuhan dan parti politik yang berdaftar.
Belum terlambat untuk Ketua Pengarah RoS menjalankan tugasnya menurut lunas undang-undang dan secara profesional. Langkah pertama perlu beliau lakukan ialah memberi sebab mengapa beliau tidak berpuas hati dengan pemilihan CEC DAP bulan Disember tahun lalu dan mahu DAP mengadakan pemilihan semula CEC.
Saya bersedia untuk bertemu dengan Datuk Abdul Rahman untuk mengemukakan asas bagi dakwaan saya bahawa RoS bertindak mengikut skrip kempen DDD Umno/BN setelah pada awalnya, iaitu pada beberapa minggu pertama tahun ini, badan itu menunjukkan sikap bebas, adil dan profesional.