Nazri mempersendakan kebenaran dan menyelewengkan sejarah dengan mendakwa filem Tanda Putera dibuat berasaskan penyelidikan yang lengkap
Nazri mempersendakan kebenaran dan menyelewengkan sejarah dengan mendakwa filem Tanda Putera dibuat berasaskan penyelidikan yang lengkap dan bahawa rusuhan kaum 13 Mei 1969 disebabkan oleh kaum Cina.
Filem yang berasaskan penyelidikan dan sejarah tidak akan memuatkan adegan berasaskan khayalan liar seperti adegan pemuda Cina mengencingi tiang bendera di depan kediaman Menteri Besar Selangor yang dikawal ketat dan menonjolkan tindakan itu sebagai salah satu sebab tercetusnya rusuhan kaum 13 Mei - tanpa mengambil kira salah faham, kebencian, dan ketegangan antara kaum yang boleh timbul kini akibat daripada adegan yang direka-reka itu.
Filem yang berasaskan penyelidikan dan sejarah juga tidak akan memaparkan pembohongan seperti yang diperhatikan oleh wartawan Free Malaysia Today K. Pragalath dan diulas beliau dalam rencana "Tanda Putera falls flat":
"Tanda Putera opens with a dramatic scene of an incident where DAP campaign workers kill an Umno campaign helper two weeks prior to the general election then." (Tanda Putera dibuka dengan babak dramatik yang menggambarkan insiden pembunuhan seorang pembantu kempen politik Umno oleh penggerak-penggerak kempen DAP dua minggu sebelum pilihanraya umum ketika itu.)
Ini tidak lain adalah khayalan sepenuhnya, bukan sejarah - malah ia adalah pembohongan dan dongeng yang berbahaya dan penuh khianat, kerana insiden "pembunuhan seorang pembantu kempen politik Umno oleh penggerak-penggerak kempen DAP" sedemikian tidak pernah berlaku sama sekali pada tahun 1969.
Nazri membuat tindakan yang merugikan negara menerusi dakwaan tidak berasas beliau bahawa rusuhan kaum 13 Mei telah dicetuskan oleh kaum Cina. Ini adalah fitnah dan kenyataan tidak bertanggungjawab, sama seperti jika ada pihak yang menyalahkan kaum Melayu atas rusuhan 13 Mei itu.
Rusuhan 13 Mei tidak disebabkan oleh kaum Cina atau Melayu, sebaliknya oleh beberapa individu tidak bertanggungjawab yang telah menjerumuskan negara ini ke dalam babak paling tragis dan kelam dalam sejarah negara.
Siapa dalang rusuhan 13 Mei 1969? Subjek ini mengundang banyak pendapat yang saling bercanggahan.
Kerana itulah dalam ucapan pertama saya di Parlimen 42 tahun lalu, pada 23 Februari 1971, saya menyeru agar ditubuhkan sebuah suruhanjaya untuk menyiasat kejadian 13 Mei 1969 bagi menyelidik puncanya dan menilai sejauh mana buruknya hubungan antara kaum di negara ini, selain untuk mengemukakan saranan-saranan bagi mencegah kejadian 13 Mei 1969 daripada berulang dan juga memastikan jurang antara kaum tidak melebar.
Saranan saya agar ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat kejadian 13 Mei masih relevan untuk hari ini, bukan dengan tujuan untuk menyalahkan atau menghukum pihak yang menjadi dalang, memandangkan 44 tahun telah berlalu sejak peristiwa itu, tetapi untuk mengenalpasti punca sebenar. Dengan cara ini kita boleh mencatatkan kebenaran yang boleh dijadikan iktibar oleh generasi sekarang dan generasi masa depan serta merawat luka lama yang paling parah bagi negara ini, selain membantu membebaskan kita daripada terus dibayangi oleh jembalang 13 Mei.
Langkah penubuhan suruhanjaya ini lebih wajar dan membina daripada membelanjakan wang rakyat untuk membolehkan seorang pengarah filem menggunakan "lesen kreatif" beliau untuk mereka-reka peristiwa tentang rusuhan 13 Mei 1969 yang dapat memburukkan lagi hubungan kaum dan melebarkan jurang antara kaum di negara ini.