Liow Tiong Lain hanya berminat untuk bersaing dengan Chua Soi Lek bagi mendapatkan undi perwakilan MCA dari kalangan penyokong Liong Sik

Sama ada Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai tidak faham bahasa yang mudah dan nyata atau beliau sengaja berpura-pura tidak faham kerana ada muslihat politik tertentu.

Apa muslihat politik berkenaan? Apa lagi kalau bukan untuk bersaing dengan Presiden MCA Datuk Chua Soi Lek bagi mendapatkan undi perwakilan MCA dari kalangan penyokong Tun Dr. Ling Liong Sik dalam pemilihan parti MCA bulan Disember nanti dan bukannya untuk membentuk budaya politik baru yang berintegriti dan anti-korupsi.

Saya tidak rasa kenyataan saya yang berjudul "Dua mesej Belanjawan 2014 - Malaysia terus menjadi negara yang "mempunyai jenayah besar, tetapi tiada penjenayah" dan para menteri pula kebal daripada tindakan undang-undang walaupun cuai dalam tugas" berkenaan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan Liong Sik daripada tuduhan menipu kerajaan dalam skandal Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang melibatkan berbilion-bilion ringgit itu adalah kenyataan yang rumit dan sukar untuk difahami sehingga membingungkan Tiong Lai.

Seperti yang saya sebutkan dalam kenyataan itu, "Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu membawa dua mesej yang memberi kesan langsung terhadap Belanjawan 2014, Rancangan Transformasi Nasional Najib dan arah tuju negara dan ekonomi Malaysia di masa depan," iaitu:

  • Malaysia terus menjadi negara yang "mempunyai jenayah besar, tetapi tiada penjenayah", di mana rakyat Malaysia menjadi mangsa korupsi dan skandal raksasa dalam keadaan kerajaan dan agensi pencegahan rasuah, iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, tidak mampu berbuat apa-apa untuk memerangi korupsi yang melibatkan "jerung" dan bukan hanya "ikan bilis"; dan
  • Menteri kabinet kini kebal daripada hukuman jika mereka cuai dalam menjalankan tugas rasmi, termasuk tugasan di peringkat kabinet.

Saya percaya jika 2,400 perwakilan MCA diberikan peluang untuk menyatakan pandangan secara rahsia, sebahagian besar mereka akan bersetuju dengan dua kesimpulan yang saya kemukakan berkenaan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Belanjawan 2014 itu.

Semua rakyat Malaysia yang mempunyai kesedaran penuh akan mengakui bahawa Malaysia tidak sepatutnya terus menjadi sebuah negara yang "mempunyai jenayah besar tetapi tiada penjenayah" di mana korupsi secara besar-besaran dibiarkan berlaku tanpa disekat jika negara ini benar-benar mahu membentuk budaya politik baru yang berintegriti dan anti-korupsi. Tidak dapat disangkal lagi bahawa skandal RM12.5 biion PKFZ adalah sesuatu yang amat menghampakan.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Ahmad Asnawi menyebut dalam keputusan beliau bahawa bekas Menteri Pengangkutan berkenaan tidak boleh dipertanggungjawabkan atas sebarang kesilapan serta maklumat mengelirukan atau tidak tepat yang dikemukakan di peringkat penyediaan dokumen kementerian bagi tujuan pembelian tanah PKFZ memandangkan beliau bukan orang "nombor satu" dalam kementerian, sebaliknya hanya berperanan sebagai "penghantar maklumat".

Kata beliau: "Jika ada, kesalahan hendaklah diletakkan ke atas pegawai-pegawai Kementerian Pengangkutan yang merangka dan menyediakan dokumen tersebut."

Sebagai bekas Menteri Kesihatan dan sebagai seorang yang berharap untuk kembali menjadi anggota Kabinet secepat mungkin, apakah Liow bersetuju bahawa seorang menteri bukan orang "nombor satu" dalam kementeriannya dan tidak perlu dipertanggungjawabkan atas sebarang isu yang berbangkit dalam kementeriannya sama ada di depan orang awam, Parlimen atau Kabinet?

Nampaknya di bawah slogan "Endless Possibilities" kerajaan Najib, Barisan Nasional sedang mencipta prinsip baru bagi tanggungjawab kementerian, iaitu bahawa seorang menteri bukan orang "nombor satu" dalam kementeriannya dan tidak perlu dipertanggungjawabkan atas sebarang pengabaian tugas!

Jika Liew berpandangan bahawa menteri bukanlah orang "nombor satu" dalam kementeriannya dan berpegang dengan prinsip kementerian yang tidak bertanggungjawab, apakah beliau berpandangan bahawa Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail perlu menangkap dan mendakwa para "pegawai Kementerian Pengangkutan" di bawah peringkat Menteri Pengangkutan yang bertanggungjawab atas skandal RM12.5 bilion PKFZ?

Atau apakah Liew menganggap skandal PKFZ tersebut termasuk dalam kategori "jenayah besar tanpa penjenayah" yang hanya wujud di Malaysia dan justeru itu tidak perlu dikenalpasti siapa orang yang terlibat dalam skandal PKFZ itu?

Apakah ini pendirian rasmi MCA dan Barisan Nasional, iaitu bahawa skandal RM12.5 bilion PKFZ itu adalah "jenayah besar tanpa penjenayah" dan tidak perlu diselidiki siapa yang bertanggungjawab atas "ibu segala skandal" itu?

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah