Apakah Malaysia boleh terbentuk 50 tahun lalu jika keputusan Mahkamah Rayuan berkenaan isu kalimah Allah merupakan undang-undang umum negara ini

Belum sampai sebulan selepas sambutan ulangtahun ke-50 pembentukan Malaysia, keputusan tentang isu kalimah Allah yang baru-baru ini dibuat membangkitkan banyak persoalan penting tentang pembentukan serta masa depan negara kita.

Poin pertama daripada 18 poin perjanjian Sarawak dan 20 poin perjanjian Sabah (ketika itu bernama Borneo Utara) menekankan tentang kebebasan beragama yang mesti dikekalkan untuk Sarawak dan Sabah sebagai tuntutan minimum bagi pembentukan Persekutuan Malaysia.

Perlu diingat bahawa bagi Laporan Suruhanjaya Cobbold 1962, Pengerusi dan anggota-anggota suruhanjaya itu yang terdiri daripada pegawai British berpandangan bahawa satu peruntukan perlu diwujudkan dalam perlembagaan Sabah dan Sarawak, iaitu peruntukan yang menjamin kebebasan beragama.

Perlu diingat juga bahawa anggota-anggota Suruhanjaya dari Malaya, iaitu Ghazali Shafie dan Wong Pow Nee, kedua-duanya bersetuju bahawa walaupun Islam adalah agama rasmi Persekutuan, status berkenaan "sama sekali tidak menjejaskan kebebasan beragama dalam Persekutuan yang akan terus bersifat sekular."

Melihat betapa pentingnya kebebasan beragama bagi rakyat Sabah dan Sarawak, apakah mereka dulu mungkin memberi sokongan meluas terhadap pembentukan Malaysia jika ketika itu keputusan Mahkamah Rayuan berkenaan isu kalimah Allah merupakan undang-undang umum negara ini?

Bagaimanakah rakyat Sabah dan Sarawak dulu akan memberi reaksi terhadap keputusan menegah penggunaan kalimah "Allah" dalam Herald dan apabila keputusan itu menyebut bahawa penggunaan nama Allah "bukan merupakan satu bahagian penting daripada kepercayaan dan amalan agama Kristian?"

Mungkinkah Malaysia yang kita kenal sekarang, yang terdiri daripada Semenanjung Malaysia, Sabah, dan Sarawak, tidak akan wujud jika keputusan tentang penggunaan kalimah Allah itu dibuat di masa lalu?

Apakah pengasas Malaya - Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Dr. Ismail, Tun Tan Siew Sin dan Tun V. T. Sambanthan - dan juga pemimpin-pemimpin utama Sarawak dan Sabah - antaranya Temenggung Jugah, Ong Kee Hui dan Donald Stephens - akan bersetuju dengan asas bagi tindakan yang dikenakan terhadap akhbar Herald berkenaan penggunaan kalimah "Allah" oleh Kementerian Dalam Negeri?

Tidakkah mereka akan melihat tindakan itu sebagai sesuatu yang bertentangan dengan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan yang memelihara kebebasan beragama bukan saja di Sabah dan Sarawak, malah juga bagi seluruh Malaysia?

Persoalan-persoalan di atas menyingkap sejauh mana keputusan Mahkamah Rayuan berkenaan isu penggunaan kalimah Allah memberi kesan terhadap hak keperlembagaan rakyat Malaysia dan juga semangat yang menjadi asas pembentukan Persekutuan Malaysia, kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia dan hak-hak yang dimiliki oleh rakyat Sabah dan Sarawak seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan dijelaskan dalam Laporan Suruhanjaya Cobbold.

Inilah masanya untuk semua rakyat Malaysia menunjukkan sikap tanggungjawab dan kepimpinan bagi menyatukan semua warga Malaysia tanpa mengira latar kaum, agama, atau kedaerahan secara harmoni dan bersatu-padu, bukannya terus memecah-belahkan masyarakat.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah