Seruan terhadap rakyat Malaysia untuk mengukuhkan sokongan terhadap Impian Malaysia yang tidak anti-Melayu, anti-Cina, anti-India, atau anti-Dayak, sebaliknya pro-semua warga Malaysia
Pemilihan parti Umno telah menggoncang negara dengan kenyataan-kenyataan perkauman dan malah hasutan oleh calon-calon yang bertanding dalam pemilihan itu, berlawanan dengan peringatan bekas Timbalan Perdana Menteri dan bekas Timbalan Presiden Umno Tun Musa Hitam kepada calon-calon Umno agar tidak mengeluarkan kenyataan-kenyataan sedemikian, seperti yang disebutkan dalam sebuah wawancara baru-baru ini:
"...sering, untuk menunjukkan kemelayuannya, sesetengah pihak menjadi anti-kelompok lain atau menuduh kaum lain bersikap anti-Melayu. Hanya dengan berbuat demikian mereka menjadi hero. Keadaan tidak sepatutnya begini."
Dua ahli politik Umno yang secara terang-terangan dan tidak bertanggungjawab telah menggunakan helah perkauman tanpa mempedulikan kesan buruk yang mereka lakukan terhadap usaha pembinaan negara yang telah berjalan selama 56 tahun adalah Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kempen mereka untuk merebut kerusi naib presiden Umno pada 19 Oktober nanti.
Ali Rustam terus-terusan menghentam kaum Cina dan menyalahkan para pengundi Cina atas kekalahannya di kawasan majoriti Melayu parlimen Bukit Katil, Melaka, tanpa menghiraukan hakikat bahawa beliau tidak mungkin kalah dalam pilihanraya umum Mei lalu jika tidak kerana turut hilang sokongan para pengundi Melayu terhadap beliau di kawasan parlimennya sendiri.
Apakah Ali Rustam sekali lagi akan menyalahkan kaum Cina jika beliau kalah dalam pertandingan Naib Presiden Umno pada hari Sabtu berikutnya nanti?
Bebelan perkauman Zahid yang bersifat mengapi-apikan dan menghasut adalah lebih serius kerana ia menjejaskan kedudukannya sebagai Menteri Dalam Negeri.
Jika Ketua Polis Negara melanggar undang-undang, Menteri Dalam Negeri dengan sokongan Perdana Menteri boleh melaksanakan tindakan terhadap anggota polis nombor 1 dalam negara ini. Perkara sebegini pernah dilakukan apabila Tun Dr. Mahathir menyalahgunakan kuasanya dan melaksanakan tindakan yang terbukti bertentangan dengan perlembagaan dengan memecat orang nombor 1 dalam bidng kehakiman pada tahun 1988, iaitu Tun Salleh Abas, Ketua Hakim ketika itu.
Jika Menteri Dalam Negeri melakukan jenayah, apa yang boleh dilakukan oleh Ketua Polis Negara sebagai pegawai tertinggi polis untuk memelihara undang-undang dan ketertiban dalam negara ini jika beliau tidak mendapat sokongan Perdana Menteri dan Peguam Negara?
Inilah persoalan yang diajukan oleh banyak rakyat Malaysia setelah Zahid membuat ucapan kontroversi dalam "upacara taklimat keselamatan bersama pemimpin-pemimpin masyarakat" di Melaka, Sabtu lalu, bahawa polis mengamalkan dasar "tembak dulu" dalam menangani pihak yang disyaki sebagai penjenayah.
Ali dan Zahid adalah contoh terburuk bagi perkara yang diingatkan oleh Musa kepada calon-calon Umno, iaitu agar mereka tidak cuba menjadi "hero" Melayu dengan menunjukkan sikap "anti-kelompok lain atau menuduh kaum lain bersikap anti-Melayu."
Tindakan mereka cuba sama sekali bertentangan dengan dasar 1Malaysia yang dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, walaupun beliau sendiri tidak lagi menyebut tentang dasar ini sejak lima bulan lalu, iaitu selepas pilihanraya umum ke-13.
Sambil negara ini, malah dunia, menanti respons dan pendirian Perdana Menteri terhadap kenyataan-kenyataan perkauman dan menghasut oleh para pemimpin Umno, termasuk oleh Menteri Dalam Negeri beliau sendiri, untuk melihat sama ada beliau sanggup menjarakkan diri daripada tindakan mereka yang secara terbuka melanggar undang-undang tanahair, rakyat Malaysia perlu mengukuhkan sokongan terhadap Impian Malaysia yang tidak anti-Melayu, anti-Cina, anti-India, atau anti-Dayak, sebaliknya pro-semua warga Malaysia.
Sesuatu yang amat dikesali apabila sejak lima bulan selepas pilihanraya umum yang digerakkan bukannya usaha untuk menyatukan semua rakyat Malaysia di sebalik Impian Malaysia, sebaliknya pembohongan dan pendustaan perkauman semakin ditingkatkan untuk melebarkan lagi jurang perkauman dan keagamaan dalam negara - daripada pembohongan yang disebarkan sebelum pilihanraya umum tentang penyertaan saya dalam pilihanraya di Gelang Patah yang kononnya untuk menimbulkan ketegangan antara kaum Cina dan Melayu sehinggalah pembohongan selepas keputusan pilihanraya umum 5 Mei yang menyebut kononnya DAP "mahu kaum Cina yang sudah pun menguasai ekonomi untuk turut menguasai politik Malaysia."
Keadaan ini bersesuaian dengan agenda Umno dan MCA, iaitu agenda pimpinan Umno untuk memainkan helah perkauman dengan menimbulkan perasaan terkepung di kalangan Melayu dan agenda pimpinan MCA untuk mendakwa bahawa Malaysia sedang berdepan dengan pertembungan antara dua kaum dan bukannya berdepan dengan sistem dua pakatan politik yang bertujuan memelihara keadilan, kebebasan dan peluang saksama untuk semua rakyat Malaysia.
Sebelum, ketika, dan selepas Pilihanraya Umum ke-13 pada 5 Mei, DAP telah mengemukakan Impian Malaysia yang telah saya perjelaskan pada 8 April sebagai keinginan untuk mewujudkan "sebuah masyarakat majmuk yang anggota-anggotanya bersatu sebagai satu bangsa yang diikat oleh satu kewaganegaraan, melampaui perbezaan suku kaum, agama, budaya, dan bahasa" dengan rakyatnya "memberikan kesetiaan tidak berbelah-bagi kepada negara...untuk membangunkan sebuah negara yang hebat bersandarkan pada kepelbagaian kaum, agama, dan budaya yang telah lama bertapak di negara ini, agar Malaysia akan menjadi negara terulung di dunia dalam semua bidang kegiatan manusia."
Pada masa ini, di ketika ahli-ahli politik Umno secara tidak bertanggungjawab memainkan isu perkauman, semakin penting untuk rakyat Malaysia menolak sikap perkauman dan keagamaan yang ekstrem serta tidak bertolak-ansur serta mengukuhkan sokongan terhadap Impian Malaysia yang tidak anti-Melayu, anti-Cina, anti-India, atau anti-Dayak, sebaliknya pro-semua warga Malaysia, untuk membina sebuah negara yang boleh dibanggakan oleh semua rakyat Malaysia.