DAP, PAS dan PKR mencapai keputusan terbaik di peringkat parlimen dan negeri menerusi kerjasama ketiga-tiga parti dalam pilihanraya umum tahun 1999, 2008 dan 2013

Dalam pilihanraya umum tahun 1999, ketika berdepan dengan cabaran empat parti Barisan Alternatif yang terdiri dari DAP, PAS, PKR, dan Parti Rakyat, juru strategi dan propaganda Umno/BN menggunakan pendekatan lidah bercabang dalam kempen mereka dengan memberi amaran kepada orang Melayu bahawa "DAP + PAS = Islam Hancur" dan pada masa yang sama mereka memberitahu Cina bahawa undi untuk DAP sama dengan undi untuk PAS dan Negara Islam, sebuah negara yang tidak mempunyai babi, alkohol, kuil, gereja, karaoke, dan sekolah Cina; semua perempuannya perlu menutup kepala; perempuan cantik tidak akan mendapat kerja; dan hukuman potong tangan dan kaki akan dilaksanakan.

Umumnya, pengundi Melayu dalam pilihanraya tahun 1999 tidak terpedaya dengan helah tersebut, sedangkan pengundi Cina menjadi mangsa pembohongan dan gertakan Barisan Nasional. PAS lalu muncul sebagai pemenang terbesar dalam Barisan Alternatif apabila ia berjaya memenangi 27 kerusi parlimen, 98 kerusi negeri, dan membentuk kerajaan negeri Terengganu selain Kelantan yang memang telah dikuasainya, manakala DAP berdepan kekecewaan besar apabila berjaya mendapatkan hanya 10 kerusi parlimen dan 11 kerusi DUN. PKR memenangi 5 kerusi parlimen dan 4 kerusi DUN.

Dalam Pilihanraya Umum 2013, berdepan dengan cabaran Pakatan Rakyat, penyusun strategi dan propaganda Umno/BN kembali menggunakan pendekatan lidah bercabang dan menyebarkan pembohongan. Mereka mengingatkan Melayu bahawa PAS akan menjadi boneka DAP, manakala Cina pula diingatkan bahawa DAP akan menjadi alat PAS.

Tidak seperti Pilihanraya Umum 1999, pengundi Cina tidak termakan umpan Umno/BN dalam pilihanraya tahun 2013. Bagaimanapun, tidak seperti Pilihanraya Uum ke-10, pembohongan yang disebarkan oleh Umno telah memberi dampak pada pengundi Melayu.

Natijahnya, Umno berjaya mendapat keputusan lebih baik dalam PRU13 berbanding tahun 2009 dengan menambah 9 lagi kerusi, iaitu dari 79 kepada 88 kerusi, hasil daripada perubahan undi di kalangan pengundi Melayu luar bandar.

Berdasarkan sempadan kawasan pilihanraya sekarang, dengan mengambil kira undi 55 peratus sebagai "kerusi selamat", BN kini mempunyai 82 kerusi selamat dan 51 kerusi majoriti tipis, manakala Pakatan Rakyat mempunyai 60 kerusi selamat dan 29 kerusi tipis.

82 kerusi selamat BN itu merangkumi lima kerusi bandar dan 77 kerusi luar bandar, atau 53 kerusi majoriti Melayu, 0 kerusi majoriti Cina, empat campuran dan 25 kawasan bumiputera.

51 kerusi majoriti tipis BN merangkumi 30 kerusi majoriti Melayu, 0 kerusi majoriti Cina, 9 kerusi campuran dan 12 bumiputera.

60 kerusi selamat PR merangkumi 16 kerusi majoriti Melayu, 25 majoriti Cina, 18 campuran dan 1 bumiputera.

29 kerusi majoriti tipis PR merangkumi 20 kerusi majoriti Melayu, 4 majoriti Cina, 5 campuran dan 0 bumiputera.

Keputusan PRU13 yang menghasilkan 89 ahli parlimen Pakatan Rakyat, merangkumi 38 ahli parlimen DAP, 30 PKR dan 21 PAS telah dieksploit dan diseleweng oleh konspirator Umno/BN untuk menyebarkan pembohongan, antaranya dengan membuat tuduhan tidak berasas bahawa PAS adalah boneka DAP.

Saya tidak hairan apabila cybertrooper Umno menyelewengkan kenyataan saya selepas Muktamar PAS ke-59 untuk menonjolkan seolah-olah saya telah mengisytiharkan bahawa PAS tidak mungkin berkembang tanpa Pakatan Rakyat, sedangkan saya telah menyebut bahawa setiap parti dalam Pakatan Rakyat, DAP, PAS, dan PKR, telah mendapat manfaat daripada kerjasama mereka.

PAS telah berkembang daripada sebuah parti yang lebih berpengaruh di negeri-negeri utara, iaitu Perlis, Kedah, Kelantan, dan Terengganu, menjadi sebuah "parti nasional" dalam PRU13 apabila berjaya memenangi kerusi parlimen dan negeri di setiap negeri dalam Semenanjung Malaysia, kecuali Negeri Sembilan.

Bagi DAP pula, penglibatan dalam Pakatan Rakyat telah membolehkannya memenangi 38 kerusi parlimen dan 107 kerusi DUN, termasuk 16 kerusi parlimen di Semenanjung Malaysia yang mempunyai kurang dari 60 peratus pengundi Cina (sembilan daripadanya mempunyai kurang dari 50 peratus pengundi Cina) dan 44 kerusi DUN yang mempunyai kurang dari 60 peratus pengundi Cina (15 daripadanya mempunyai kurang dari 50% pengundi Cina).

Prestasi PKR (1999 hingga 2013)

PKR memanfaatkan kekuatan Pakatan di kawasan "campuran"

Seperti DAP dan PAS, PKR juga telah mendapat manfaat daripada kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

"Kawasan campuran" - di mana tiada pengundi dari sesuatu kaum lebih dari 60% - dulunya merupakan kubu BN. Bagaimanapun, kecenderungan Umno terhadap isu perkauman dan rekod buruk BN dalam urus tadbir telah dimanfaatkan oleh pembangkang untuk menawan majoriti kerusi campuran di Semenanjung Malaysia.

PKR memanfaatkan mesej Pakatan yang inklusif serta keupayaan bergerak setiap parti dalam Pakatan untuk memenangi kerusi campuran sejak dua pilihanraya umum lalu.

Pada tahun 1999, satu-satunya kerusi parlimen dimenangi PKR yang mempunyai kurang dari 70% pengundi Melayu adalah Permatang Pauh (67% Melayu). Satu-satunya kerusi negeri dimenangi PKR yang mempunyai kurang dari 70% pengundi Melayu adalah Penanti (68% Melayu) yang terletak dalam parlimen Permatang Pauh.

Tsunami Abdullah Badawi pada tahun 2004 telah merebahkan PKR sehingga tinggal satu kerusi parlimen - Permatang Pauh.

Pada tahun 2008, PKR muncul sebagai parti pembangkang terbesar dengan memenangi 31 kerusi parlimen. 20 dari 31 kerusi parlimen yang dimenanginya (65%) itu adalah kerusi campuran di mana pengundi Cina atau Melayu kurang dari 60%. Dari 40 kerusi negeri yang dimenangi PKR pada tahun 2008, 29 (73%) adalah kerusi campuran.

Pada tahun 2013, PKR memenangi 28 kerusi parlimen di Semenanjung Malaysia. 22 (79%) daripadanya adalah kerusi campuran. 29 (69%) dari 42 kerusi negeri yang dimenangi oleh PKR pada tahun 2013 adalah kerusi campuran (lihat Jadual 1).

Jadual 1: Bilangan kerusi parlimen dan DUN yang dimenangi PKR (1999 hingga 2013) termasuk angka dan % kerusi yang mempunyai kurang dari 60% pengundi Melayu dan Cina (Semenanjung Malaysia).

PKR Semenanjung 1999 2004 2008 2013
Parlimen 5 1 31 28
Negeri 4 0 40 42
Parl, < 60%M, <60%C 0 0 20 22
Negeri, < 60%M, < 60%C 0 0 29 29
Parl Campuran % 64.5% 78.6%
Negeri Campuran % 72.5% 69.0%

Dari 4 kerusi parlimen yang dimenangi oleh PKR dalam PRU tahun 2013 dan tidak dimenanginya dalam PRU tahun 2008, 3 daripadanya boleh disifatkan sebagai kerusi campuran - Lumut, Bukit Katil dan Batu Pahat. Kerusi keempat, Alor Setar, tidak termasuk dalam kategori campuran, tetapi hanya 61% daripada pengundinya adalah Melayu (lihat Jadual 2 di bawah).

Jadual 2: Kerusi parlimen baru dimenangi PKR dalam PRU 2013

Negeri Kod Parlimen Kerusi Parlimen % Melayu % Cina % India % Lain-lain
KEDAH P009 ALOR SETAR 61.2% 33.6% 4.6% 0.5%
PERAK P074 LUMUT 51.1% 35.4% 12.0% 1.5%
MELAKA P137 BUKIT KATIL 52.6% 40.8% 5.7% 1.0%
JOHOR P150 BATU PAHAT 51.5% 45.6% 1.4% 1.5%

Ini adalah sebahagian daripada rumus kemenangan PKR, iaitu kemampuannya untuk mengumpul sokongan pengundi dari semua kaum dengan memanfaatkan daya tarikan dan keupayaan mobilisasi ketiga-tiga parti Pakatan.

Rumus kemenangan ini paling menguntungkan PKR, namun ia boleh juga diterapkan kepada PAS dan DAP. Malah, dalam pilihanraya umum 2013, Pakatan telah memenangi 41 (66%) dari 62 kerusi parlimen yang mempunyai pengundi Melayu dan Cina kurang dari 60%. 22 dari 41 kerusi itu dimenangi PKR, 16 DAP dan 3 PAS.

Cabaran Pakatan dalam PRU akan datang ialah untuk mengambangkan rumus kemenangan ini ke 21 lagi kerusi parlimen campuran.

Johor memerlukan perhatian khusus memandangkan 12 dari 21 kerusi parlimen itu terletak di Johor.

Pakatan kalah tipis di beberapa kerusi campuran dalam PRU13, termasuk Cameron Highlands, Bentong, Labis, dan Pasir Gudang. Semua kawasan itu dimenangi BN dengan perbezaan undi kurang dari 1000.

Empat lagi kerusi - Setiawangsa, Segamat, Ledang, Tebrau - dimenangi oleh BN dengan perbezaan undi antara 1000 hingga 2000.

Satu lagi cara untuk menunjukkan bahawa ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat telah mendapat manfaat daripada kerjasama dalam pakatan ini ialah menerusi jadual di bawah yang menunjukkan keputusan pilihanraya sejak tiga belas pilihanraya umum yang lalu. Jadual di bawah menunjukkan bahawa kerjasama ketiga-tiga parti dalam pilihanraya umum tahun 1999, 2008, dan 2013 telah membolehkan DAP, PAS, dan PKR mencapai keputusan terbaik di peringkat parlimen dan negeri.

Parlimen DAP DAP PAS PAS PKR PKR Jumlah kerusi
menang bertanding menang bertanding menang bertanding
1959 - - 13 58 - - 104
1964 - - 9 53 - - 104
1969 13 24 12 62 - - 144
1974 9 46 - - - - 154
1978 16 53 5 88 - - 154
1982 9 63 5 82 - - 154
1986 24 64 1 98 - - 177
1990 20 57 7 30 - - 180
1995 9 50 7 45 - - 192
1999 10 38 27 62 5 58 193
2004 12 44 6 86 1 59 219
2008 (1+) 28 47 (1+) 23 66 31 97 222
2013 38 21 30 222
DUN DAP DAP PAS PAS PKR PKR Jumlah kerusi
menang bertanding menang bertanding menang bertanding
1959 - - 42 200 - - 282
1964 - - 25 158 - - 282
1969 31 57 40 185 - - 360
1974 23 120 - - - - 360
1978 25 127 9 204 - - 276
1982 12 131 18 223 - - 312
1986 37 118 15 265 - - 447
1990 45 87 33 114 - - 447
1995 11 103 33 171 - - 394
1999 11 88 98 234 4 70 394
2004 15 104 36 265 0 121 505
2008 73 102 84 232 40 176 505
2013 95 103 85 236 49 172 505

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah