MB Johor perlu menasihatkan MBJB untuk berhenti melakukan serkap jarang dan berhenti mengganggu para penyewa dan pemilik yang mempamerkan keratan gambar grafiti Zacharevic
Menteri Besar Johor Datuk Mohamed Khaled Nordin pada hari Ahad lalu menyebut bahawa jika wartawan bertanya lebih awal kepada beliau, nasib mural "jenayah tinggi" seniman kelahiran Lithuania Ernest Zacharevic di Johor Baru mungkin berbeza, kerana tiada guna bercakap tentang mural tersebut sekarang memandangkan ia telah dipadamkan oleh pihak berkuasa tempatan Johor Baru.
Kenyataan itu amat menghairankan, memandangkan mural jalanan Zacharevic telah menjadi bahan berita dalam negara selama hampir seminggu dan malah mendapat liputan media antarabangsa sebelum ia dipadamkan oleh para pekerja majlis bandaraya JB.
Khaled mungkin satu-satunya pegawai kerajaan dalam Johor yang tidak menyedari adanya kontroversi tentang mural jalanan "jenayah tinggi" Zacharevic di Johor Baru selama seminggu sebelum ia dipadamkan oleh para pekerja majlis bandaraya JB.
Apakah ini mungkin, memandangkan Ahli Dewan Undangan Negeri DAP bagi Johor Jaya Lio Cai Tong telah menyentuh tentang isu mural tersebut dalam Dewan Undangan Negeri Johor sewaktu beliau membahaskan belanjawan negeri Johor 2014 dan beliau malah telah mengusulkan supaya perbahasan dibuat tentang grafiti Zacha itu sebelum ia dipadamkan oleh para pekerja majlis bandaraya JB?
Hari ini Johor Baru dan Malaysia menerima satu lagi berita mengejutkan berkaitan dengan grafiti Zacha apabila media melaporkan bahawa Majlis Bandaraya Johor Baru (MBJB) telah memberikan tempoh seminggu kepada para penyewa dan pemilik untuk membuang keratan gambar mural jalanan Zacha yang dilekatkan pada dinding luar bangunan mereka atau akan dikenakan denda sebanyak RM500 kerana melakukan vandalisme.
Datuk Bandar JB Ismail Karim memberitahu notis telah disampaikan kepada penduduk Taman Molek beberapa hari lalu setelah keratan gambar mural Zacha dilihat telah dilekatkan di beberapa dinding di sana dan notis yang sama telah disampaikan kepada para pemilik premis di mana keratan tersebut dilekatkan, misalnya pada dinding di luar muzium kebudayaan Cina di Jalan Tan Hiok Nee dan di sebuah lorong di Jalan Maju.
Para penyewa dan pemilik kedai yang gagal menanggalkan keratan gambar berkenaan dalam tempoh seminggu akan dikenakan denda RM500 atau diheret ke mahkamah jika gagal membayar denda.
Sudah tentu Khaled mengetahui tentang perkembangan terbaru yang berkaitan dengan kontroversi mural Zacha ini dan beliau sepatutnya menasihatkan MBJB untuk berhenti melakukan serkap jarang dan mengganggu para penyewa dan pemilik berikutan kemunculan keratan gambar mural Zacharevic atas alasan vandalisme.
Tindakan MBJB itu sebaliknya hanya akan memberi nama baik kepada "vandalisme" kerana majoriti penduduk Johor Baru menyokong "vandalisme" sedemikian.
Hanya segelintir pegawai dalam badan berwajib yang menganggap mural jalanan Zacharevic sebagai "vandalisme". Saya memuji Ahli Parlimen JB, Shahrir Samad, kerana bersikap terbuka dengan menggambarkan tindakan MBJB memadamkan grafiti Zacharevic sebagai "reaksi berlebihan dan salah tafsir".
Saya yakin jika ditanya, sebahagian besar penduduk Johor Baru akan menyokong supaya grafiti Zacha itu dikekalkan dan mereka malah akan menganggapnya sebagai satu khidmat sosial yang mengingatkan tentang keperluan untuk meningkatkan keberkesanan dalam usaha membasmi jenayah di Johor Baru, menghapuskan reputasinya sebagai pusat jenayah Malaysia serta atas kemampuannya untuk menarik minat pelancong terhadap bandaraya itu.
Apakah Khaled sanggup untuk meminta MBJB menghentikan kegilaan mereka terhadap grafiti serta keratan gambar grafiti Zacha dan sebaliknya menggunakan peluang ini untuk memimpin semua pihak berkepentingan di Johor Baru ke arah menjadikan bandaraya itu sebagai bandaraya selamat dan rendah kadar jenayah?
Sepatutnya perkara ini yang menjadi tumpuan MBJB dan Kerajaan Negeri Johor, bukannya menghabiskan tenaga melakukan serkap jarang dan memadamkan mural Zacha serta menghapuskan keratan gambar mural tersebut.