Masanya sudah tiba untuk kita berusaha bersama demi merealisasikan Impian Malaysia, dan menyelamatkan rakyat daripada 'Mimpi Ngeri Malaysia' yang panjang ini

Saya bangun untuk mengambil bahagian dalam perbahasan peringkat Jawatankuasa Bajet 2014 mengenai Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan-jabatan yang lain termasuk Majlis Keselamatan Negera (MKN), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Biro Tatanegara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara, Pejabat-pejabat Setiausaha Persekutuan, Sabah dan Sarawak.

Pertama sekali, saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Mohd Raffli Abdul Malik yang mati ditembak di Kuantan, Pahang; keluarga Allahyarham Norazita Abu Talib, yang menjadi mangsa rompakan Ambank tempoh hari; serta Allahyarham Hussain Ahmad Najadi, yang turut menjadi mangsa tembakan beberapa lama dahulu.

Kesemua mangsa jenayah ini adalah korban-korban tidak berdosa akibat daripada kelalaian dan kerakusan pihak yang berkenaaan mengejar kuasa dan jawatan, sehingga mengabaikan persoalan integriti, tanggungjawab kepada negara dan impian besar rakyat Malaysia.

Saya juga ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa warga Taiwan dalam tragedi pembunuhan dan penculikan di Pulau Pum-Pum beberapa hari sudah. Ternyata Eastern Sabah Security Command (Esscom) tidaklah efektif dalam menjaga keselamatan negara sungguhpun ia ditubuhkan sebagai tindakbalas terhadap peristiwa pencerobohan di Lahad Datu. Walaupun Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri menyifatkan ini sebagai kejadian terpencil, nyawa yang hilang pasti tidak dapat diganti. Keyakinan rakyat terhadap kesungguhan pihak berkuasa dalam melaksanakan tugas menjaga keselamatan negara dan rakyat jelata sekali lagi berkecai.

Tuan Pengerusi,

Rakyat Malaysia mengimpikan negara yang aman sentosa; tanpa perlu risau dirompak atau dibunuh. Namun hakikatnya hari ini kita dapat lihat bahawa rakyat ramai hidup dalam ketakutan. Ketakutan ini tidak boleh dinafi dan disembunyikan sepertimana grafiti dan seni mural yang menampilkan kritik sosial yang benar, boleh disorok dengan selapis cat putih seperti yang bibuat pihak berkuasa tempatan di Johor.

Karya Ernest Zacharevic di sebuah dinding di Johor Bahru adalah satu peringatan buat kita semua bahawa rakyat yang memberi amanah kepada kerajaan untuk menjaga keamanan, tetapi kini harta dan jiwa mereka berada dalam keadaan diancam ketakutan dan mimpi ngeri, suatu hakikat benar yang tidak dapat dicat-putihkan.

Adalah merupakan tanggungjawab kerajaan untuk menjaga sekurang-kurangnya tiga perkara. Hartanya, jiwanya dan maruah rakyat seluruhnya. Seandainya pemimpin lalai dalam melaksanakan tugasnya, maka pemimpin itu wajar ditolak.

Dalam kes pembunuhan pegawai bank, Norazita Abu Talib; saya ingin mengucapkan tahniah kepada pihak Polis kerana telah berjaya menangkap suspek yang disyaki terlibat. Saya harap pihak yang bertanggungjawab akan dihadapkan ke muka pengadilan dan menerima hukuman setimpal.

Namun apa yang lebih merunsingkan ialah apabila suspek ini yang dilaporkan merupakan seorang warga asing dari Sulawesi, telah berjaya memintas sistem keselamatan negara dan lantas meletakkan kedaulatan negara dalam keadaan berisiko tinggi.

Bagaimana orang ini boleh mendapat MyKad, dan kalaupun MyKad itu palsu, bagaimana orang ini boleh membuka akaun bank, menerima gaji setiap bulan, malah boleh diberikan lesen senjata api oleh pihak Kementerian Dalam Negeri? Adakah orang ini turut mengundi dalam PRU ke 13 yang lalu? Adakah kerana tuan punya syarikat keselamatan itu merupakan kroni parti pemerintah maka Kementerian boleh pejam sebelah mata? Berapa ramai lagi warga asing yang mendapat kelebihan yang sama, memiliki senjata api dan boleh mengancam keselamatan rakyat pada bila-bila masa? Sampai ke hari ini, kita tidak mendapat sebarang jawapan yang memuaskan dari Menteri yang berkenaan.

Sistem yang ada inilah yang membuatkan negeri berdaulat seperti Sabah dan Sarawak semakin hilang kedaulatannya, apabila warga asing senang-senang mendapat MyKad dan mengambil alih ekonomi rakyat dan secara langsung menggugat kestabilan dan keselamatan negara. Sistem ini lah yang mencabuli hak rakyat Sabah, yang hidup dalam negeri yang sangat kaya, tetapi warganya sangat miskin; malah dilayan dengan amat berbeza sekali oleh Kerajaan Persekutuan.

Semua rakyat Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak mengharapkan supaya dapat hidup bebas daripada belenggu mimpi ngeri yang terbentuk hasil daripada kegagalan UMNO dan Barisan Nasional selama ini.

Pihak kerajaan dan Perdana Menteri seharusnya lebih serius dalam menghormati aspirasi rakyat, contohnya dalam kes Perjanjian 20 Perkara dengan Sabah dan Perjanjian 18 Perkara dengan Sarawak, yang nampaknya semakin tidak dipedulikan; sehingga Menteri Pembangunan Tanah Sarawak, Tan Sri Dr James Masing sendiri pun sudah melenting. Katanya:

"When they(UMNO) talk to us, they make themselves feel as if they are superior while we in Sarawak, are their coolies. Personally, I get irritated with those leaders who do not treat us from Sarawak as equal partners in the administration of this federation. We in Sarawak and Sabah seemed to be like an appendix to West Malaysia."

(translation) "Apabila mereka (UMNO) bercakap dengan kami, mereka buat diri mereka rasa mereka lebih hebat sementara kami di Sarawak, adalah kuli mereka. Secara peribadi, saya menyampah dengan pemimipin yang tidak melayan kami dari Sarawak sebagai rakan kongsi saksama dalam pentadbiran Persekutuan ini. Kami di Sarawak dan Sabah seolah-olah sekadar apendiks terhadap Semenanjung Malaysia."

Pernah saya bangkitkan di Dewan yang mulia ini, dan sekali lagi saya membangkitkan di sini, supaya satu Suruhanjaya Siasatan Diraja dibentuk sempena ulang tahun ke-50 pertubuhan Malaysia, untuk menkaji dan meniasat samada janji-janji yang tertera dalam Perjanjian 20 Perkara dengan Sabah dan Perjanjian 18 Perkara dengan Sarawak telah ditunaikan ataupun telah dikhianati oleh kerajaan Barisan Nasional yang selama ini menganggap kedua-dua Sabah dan Sarawak sebagai akaun simpanan tetap mereka.

Tuan Pengerusi,

Penyakit kewangan negara yang disebabkan oleh gejala rasuah yang berleluasa akhirnya dibebankan kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana. Walhal, mereka yang sebenarnya patut menanggung beban kesalahan sendiri akhirnya terlepas. Lihat sahaja bagaimana Jabatan Peguam Negara langsung tidak merayu keputusan mahkamah yang membebaskan Tun Dr Ling Liong Sik daripada tuduhan rasuah skandal PKFZ. Adakah kerana Peguam Negara sebenarnya tahu bahawa caj yang didrafnya terhadap Tun Dr Ling itu smemangnya tidak akan menyebakan beliau disabit kesalahan, malah keseluruh proses pendakwaan itu adalah satu wayang yang dipermainkan sebelum pilihnraya umum ke-13 untuk memberikan harapan kosong kepada rakyat jelata bahawa kerajaan memang berhajat menangani rasuah di peringkat tinggi.

Saya juga hairan bagaimana dengan keadaan bilangan anggota polis yang begitu ramai ini, rakyat masih rasa tidak selamat. Barangkali kerana dilaporkan juga bahawa senjata api anggota polis boleh diberi sewa kepada penjenayah, selain boleh hilang dicuri ketika tidur di dalam kereta, mahupun ketika pergi ke tandas.

Dalam keadaan itu pun, ada cadangan daripada pihak-pihak tertentu untuk memberi senjata api kepada penguatkuasa jabatan agama pula, dengan alasan supaya mereka dapat mempertahankan diri. Adakah selepas ini, jika ada wartawan yang mati ditembak, wartawan juga mahu diberi senjata api?

Dalam keadaan lanskap politik negara yang begitu rumit dengan permainan sentimen perkauman, penipuan dan kebencian yang kian meningkat; sehinggakan saya terus difitnah sebagai mempunyai kaitan dengan Illuminati dan komunis; Pejabat Perdana Menteri nampaknya masih gagal manangani masalah kesepaduan kaum mahupun mengawal puak pelampau yang menggugat usaha-usaha bersama ke arah negara yang lebih aman.

Ini semua adalah sebahagian daripada 'Mimpi Ngeri Malaysia' yang ditabur oleh pemerintahan UMNO-Barisan Nasional, yang cuba diperbetulkan oleh DAP dan Pakatan Rakyat melalui usaha ke arah merealisasikan 'Impian Malaysia' memandangkan usaha perpaduan negara melalui kempen 1Malaysia kelihatan makin tidak bermaya malah hampir sahaja gagal sama sekali.

Tuan Pengerusi,

Akar kepada permasalahan besar ini ialah ekonomi yang semakin memburuk dan akar kepada masalah ekonomi semasa, tidak lain adalah kerana urustadbir pemerintahan UMNO-Barisan Nasional yang tidak berintegriti, korup, tidak amanah serta mudah sekali membazirkan wang rakyat termasuk merompak kekayaan negara demi mengisi perut masing-masing. Sehingga kini pihak SPRM tidak berani menyentuh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud walaupun banyak aduan telah dibuat dan bukti telah didedahkan.

Inilah dia penyakit yang membarah di Malaysia sekarang ini. Barah ini perlu dibuang sebelum negara boleh dibina semula dengan nilai-nilai demokrasi, keadilan sosial, integriti, demi membentuk sebuah bangsa dan negara yang menolak ekstremisme perkauman, agama dan politik.

Usaha membina generasi akan datang maju dari aspek ekonomi, sosial dan budaya pastinya akan terbantut, jika wujud pihak-pihak seperti Biro Tata Negara di bawah Jabatan Perdana Menteri yang terus menyemai mentaliti kebencian dan ketakutan terhadap kaum-kaum di Malaysia. Usaha perpaduan dan rekonsiliasi nasional juga akan gagal seandainya kita membiarkan wujudnya pihak-pihak pelampau kaum yang sentiasa berusaha untuk mewujudkan ketegangan dalam masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum.

Saya masih berharap untuk melihat komitmen sebenar Perdana Menteri dan Jabatannya yang mempunyai dana yang begitu besar setiap tahun ntuk betul-betul melaksanakan usaha perpaduan nasional, dan bukan sekadar membuat slogan demi meraih sokongan politik.

Kekecohan di Dewan yang mulia ini pada hari Khamis lalu sepatutnya boleh dielakkan. Rakyat turut hairan dengan tingkah laku kerajaan di Parlimen yang tanpa segan silu mencadangkan sebuah usul yang sangat tidak adil terhadap seorang wakil rakyat Pakatan Rakyat. Adakah Dewan ini tidak ada kerja lain yang lebih penting? Bukankah masa sepatutunya diluangkan di Dewan ini untuk membincangkan soal siaran langsung prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang bakal berlangsung dua hari lagi dan lebih mempunyai kepentingan umum? Bukankah itu jauh lebih penting daripada tindakan membalas dendam terhadap seorang wakil rakyat yang cuba berjuang membela nasib rakyat dan menegakkan perlembagaan negara?

Masanya sudah tiba untuk kita berusaha bersama demi merealisasikan Impian Malaysia, dan menyelamatkan rakyat daripada 'Mimpi Ngeri Malaysia' yang panjang ini.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah