Mahathir mahu saya mati tetapi saya berdoa Mahathir akan hidup sehingga 100 tahun untuk menyaksikan kemerosotan dan berakhirnya Mahathirisme
Mahathir mahu saya mati, kerana itu beliau menjalankan misinya dalam Pilihanraya Umum ke-13 dengan berkempen di Gelang Patah untuk menjadikan kawasan itu "kubur" politik saya.
Sebelum pilihanraya umum ke-13, Mahathir menyeru rakyat Johor untuk mengerah tenaga bagi memastikan negeri Johor menjadi "kubur" saya. Seruan beliau itu diberi sambutan hangat oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengisytiharkan bahawa saya "terperangkap" di Gelang Patah dan kerjaya politik saya telah "tamat".
Persaingan di Gelang Patah dalam PRU13 adalah pertempuran politik "hidup dan mati" bagi saya kerana saya berdepan bukan saja dengan Datuk Abdul Ghani Othman yang telah menjadi Menteri Besar selama empat penggal, tetapi juga kerana saya terpaksa berdepan dengan tiga lagi orang kuat Umno - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin dan Perdana Menteri yang paling lama memegang jawatan di Malaysia, iaitu Tun Mahathir sendiri.
Tetapi saya bersedia mempertaruhkan nasib, meninggalkan kerusi parlimen selamat bagi saya, iaitu Ipoh Timur, yang telah saya menangi pada tahun 2008 dengan majoriti lebih dari 21,000 undi, untuk bertanding di Gelang Patah di mana MCA/BN telah menang hampir 9,000 undi majoriti pada tahun 2008 dan 21,666 undi majoriti pada tahun 2004.
Saya mahu berterimakasih kepada ahli-ahli parti, para penyokong dan semua pihak yang mendoakan kejayaan saya pada malam 5 Mei 2013 lalu. Menerusi lawatan saya ke seluruh negara sepanjang beberapa bulan lalu, saya mendapat tahu bahawa mereka bimbang tentang kedudukan parlimen Gelang Patah ketika pilihanraya umum dan bahawa mereka, seperti juga saya, sama sekali tidak dapat menjangkakan keputusan pilihanraya di kawasan parlimen itu. Ketika itu, saya menggantungkan masa depan politik saya sepenuhnya di tangan para pengundi di Gelang Patah.
Pada malam 5 Mei 2013 itu Mahathir kalah dan saya menang. Saya telah membuktikan Mahathir telah berbuat silap kerana bekas Perdana Menteri itu telah bermain politik rendah yang jelek dan tidak bermoral dengan menyebarkan pembohongan dengan mendakwa saya bertanding di Gelang Patah untuk meninbulkan ketegangan antara kaum Cina dan Melayu dan bahawa saya mahu Cina membenci Melayu dan menolak kerjasama dengan Melayu.
Sedangkan hakikatnya berlawanan. Sepanjang kempen saya telah menggesa semua pengundi, tanpa mengira kaum, untuk bekerjsama sebagai satu bangsa Malaysia untuk mengejar Impian Malaysia dan menyokong Pakatan Rakyat sebagai pakatan politik pelbagai kaum dan agama yang terdiri daripada DAP, PKR dan PAS.
Dalam semua ceramah saya di Gelang Patah sepanjang kempen pilihanraya selama tiga minggu itu, saya telah menegaskan bahawa saya mahu menang bukan saja dengan undi Cina, tetapi juga dengan sokongan Melayu dan India.
Saya merasa lega pada malam keputusan pilihanraya kerana saya tidak mungkin menang di Gelang Patah dengan majoriti lebih 14,000 undi tanpa sokongan para pengundi Melayu - ini adalah bukti nyata bahawa orang Melayu di Johor tidak semudah itu menjadi mangsa pembohongan Mahathir yang mahu mewarnakan kempen Gelang Patah dengan unsur perkauman.
Kegagalan Mahathir dalam PRU13, khususnya di Gelang Patah, Shah Alam, dan Pasir Mas, di mana bekas Perdana Menteri itu telah mempertaruhkan seluruh reputasi politiknya atas keupayaannya untuk mempengaruhi keputusan pilihanraya, bukan satu-satunya petanda kuasa dan pengaruh Mahathir dan Mahathirisme tidak lagi sehebat dan seperkasa yang cuba ditonjolkan.
Sebenarnya, telah ada beberapa tanda awal kemerosotan tersebut, misalnya kegagalan Mahathir pada tahun 2006 untuk menjadi perwakilan Umno Bahagian Kubang Pasu ke Perhimpunan Agung Umno. Rentetan daripada itu beliau telah keluar daripada Umno dan meningkatkan kempen beliau untuk menjatuhkan Perdana Menteri ketika itu, iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Tetapi kegagalan Mahathir dalam PRU13, khususnya di Gelang Patah, Shah Alam, dan Pasir Mas adalah petanda pertama daripada tiga petanda penting kemerosotan pengaruh Mahathir dan Mahathirisme sejak enam bulan lalu.
Dua petanda lain:
- Kegagalan anak beliau, Mukhriz Mahathir, untuk merebut salah satu dari tiga kerusi Naib Presiden Umno dalam pemilihan Umno bulan lalu, walaupun Mahathir menyalahkan politik wang sebagai punca kekalahan Mukhriz; dan
- Kegagalan beliau untuk membawa kemenangan kepada Muhkriz sebagai Menteri Besar Kedah dalam pilihanraya kecil Sungai Limau (kawasan yang termasuk dalam parlimen Kota Setar Selatan yang Mahathir adalah Ahli Parlimennya di tahun 1964 hingga1969) walaupun beliau turun berkempen di sana.
Mungkin kerana menyedari kemerosotan pengaruhnya, Mahathir menunjukkan kekecewaan dengan menulis dalam blog beliau bahawa saya takut pada "bayang" beliau dan bertanya: "When will Kit Siang retire? When he is dead?" (Bila Kit Siang hendak bersara? Setelah mati?)
Tiada sebab untuk sesiapa pun takut dengan "bayang" Mahathir dalam keadaan bayang itu sendiri telah mula pudar.
Rakyat Malaysia sepatutnya lebih bimbang dengan kesan buruk daripada Mahathirisme - warisan Mahathir setelah 22 tahun menjadi Perdana Menteri.
Kesan buruk Mahathirisme paling besar ialah apabila Mahathir sendiri meminggirkan Wawasan 2020 dan dasar Bangsa Malaysia beliau (selain dasar 1Malaysia Najib) dengan menjadi Godfather gerakan Ku Klux Klan Malaysia yang sarah dengan khutbah pemecah-belah dan politik kebencian dalam menjuarai ketuanan kaum dan bukannya ketuanan bangsa Malaysia. Ini menghasilkan jurang perkauman paling lebar dalam sejarah Malaysia.
Kesan buruk Mahathirisme yang lain:
- Terjejasnya kebebasan badan kehakiman dan prinsip kedaulatan undang-undang;
- Merosotnya keyakinan pihak di dalam dan luar negeri terhadap kecekapan, mutu, profesionalisme dan integriti institusi-institusi negara yang utama;
- Kemerosotan sistem pendidikan yang dulunya bertaraf antarabangsa - di peringkat sekolah rendah, menengah dan pengajian tinggi; dan
- Berleluasanya korupsi, kronisme, dan penyalahgunaan kuasa di jabatan politik tertinggi
Mahathirisme akan terus memberi kesan buruk kepada Malaysia dan tidak akan membantu negara ini mencapai cita-cita untuk menjadi sebuah negara yang rakyatnya bersatu, berjaya, dan berdaya saing di peringkat dunia.
Mahathir mahu saya mati, tetapi saya berdoa Mahathir akan hidup sehingga 100 tahun untuk menyaksikan kemerosotan dan berakhirnya Mahathirisme.
Untuk menjawab pertanyaan "Bila Kit Siang hendak bersara? Setelah mati?", izinkan saya memetik kata-kata terkenal Wen Tianxiang, seorang sarjana dan panglima Dinasti Sung, untuk direnung oleh Mahathir: "Semua manusia akan mati, tetapi kesetiaanku akan menyinari catatan sejarah selama-lamanya."
Untuk makluman Mahathir, "kesetiaan" yang saya maksudkan di sini adalah kesetiaan kepada Malaysia.