UMNO Johor sepatutnya mengisytiharkan apakah mereka menyokong Ghani untuk dilantik sebagai Senator supaya beliau boleh menjadi Menteri yang bertanggungjawab terhadap Unit Perancangan Ekonomi?

Bukan saja pemimpin UMNO/BN diam membisu terhadap cadangan saya bahawa bekas Menteri Besar empat penggal Johor Datuk Abdul Ghani Othman sepatutnya dianugerahkan dengan jawatan kanan kerajaan, tetapi juga kelihatan seperti terdapat seperti penolakan rasmi apabila MUBARAK, pertubuhan bekas-bekas Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional, keluar dengan kenyataan mengisytiharkan mereka yang kalah dalam pilihan raya umum kali ini tidak sepatutnya dilantik menjadi Senator atau Menteri.

Presiden MUBARAK Tan Sri Abdul Aziz Rahman sudah tentu merujuk kepada Ghani kerana saya secara khusus telah mencadangkan Ghani, selepas mempertimbangkan sumbangan dan pengalamannya di Johor, sepatutnya dilantik sebagai Senator dan dijadikan Menteri, dan jawatan Kabinet yang sesuai untuknya ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab dalam Unit Perancangan Ekonomi, menggantikan Nor Mohamad Yakcop.

Penolakan tersurat kepada cadangan menjadikan Ghani Senator dan perlantikkannya sebagai menteri telah mengesahkan apa yang disyakki selama ini bahawa Ghani adalah mangsa perebutan kuasa di dalam UMNO, terutamanya di Johor, dan Ghani dipaksa untuk bertanding di Gelang Patah bagi menamatkan karier politiknya sekiranya beliau gagal, meminjam kata-kata Tun Mahathir, menjadikan gelang patah ��kubur�� saya.

Pertempuran Gelang Patah tidak pernah menjadi pertempuran peribadi antara Ghani dan saya, memandangkan saya telah secara terbuka mengakui sumbangan beliau untuk membangunkan dan memajukan Johor sepanjang 18 tahun beliau menjadi Menteri Besar.

Itulah sebabnya saya mencadangkan Ghani, walaupun beliau kalah di Gelang Patah, boleh terus berkhidmat untuk negara dengan melantiknya sebagai Senator dan Menteri, kerana pertempuran Gelang Patah tidak sepatutnya dianggap sebagai pertempuran kalah mati yang mana Ghani perlu menamatkan karier politiknya meskipun tewas di Gelang Patah.

Nampaknya kami di dalam DAP dan Pakatan Rakyat lebih bersedia memperakui bakat tanpa mengira parti namun UMNO/BN tidak begitu.

Saya tidak faham atau bersetuju dengan sikap bahawa Ghani sepatutnya diketepikan hanya kerana kekalahannya di Gelang Patah.

Saya menyeru UMNO Johor, semua bahagian dan cawangannya, termasuklah pemimpin UMNO Johor, untuk mengisytiharkan apakah mereka menyokong Ghani untuk dilantik sebagai Senator supaya beliau boleh menjadi Menteri yang bertanggungjawab terhadap Unit Perancangan Ekonomi.

Beranikah MCA Johor memberikan sebarang pandangan tentang Ghani ini?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Gelang Patah