Pengiraan Detik 35 Hari ke PRU13 – Tiga soalan utama untuk Najib di dalam “Conversation with the PM”
Terdapat satu muka penuh iklan di New Straits Times hari ini tentang “Conversation with the PM” dengan jemputan: “Adakah anda mempunyai sebarang soalan tentang isu semasa untuk Perdana Menteri” dan pengumuman:
“Sila emailkan soalan anda kepada [email protected] paling lewat 8 Mac, 2013. Dato’ Sri Najib Razak akan muncul ‘secara langsung’ dalam satu program TV khas yang akan ditayangkan tidak lama lagi, yang mana beliau akan menjawab beberapa soalan anda sebelum Pilihan Raya Umum ke-13”.
Saya mempunyai tiga soalan untuk Najib bersempena dengan ulangtahun kelima Parlimen ke-12 pada 8 Mac, 2013, yang memperlihatkan “tsunami politik 308” Pilihan Raya Umum ke-12, yakni:
Soalan 1: Kerajaan sementara. Adakah Najib menerima konsep dan kebiasaan sebuah kerajaan sementara untuk pentadbiran harian kerajaan yang telah luput tempoh Parlimennya, paling ketara di antara pembubaran Parlimen dan pembentukan kerajaan baru selepas pilihan raya umum?
Soalan ini amat penting dalam kes Najib yang bakal menjadi Perdana Menteri tidak diundi paling lama dalam percubaan tanpa mandatnya sendiri daripada pengundi – untuk hampir empat tahun penuh!
Apakah Najib bersedia untuk menghormati dan mematuhi Konvensyen Kerajaan Sementara dan amalan terbaik di negara lain yang mempunyai demokrasi berparlimen yang berfungsi, termasuklah:
Tiada keputusan dasar yang utama boleh dibuat oleh Kerajaan Sementara melainkan dalam hal-hal mendesak dan selepas rundingan rasmi dengan Oposisi.
Tiada perlantikan signifikan pegawai awam utama, melainkan sebagai pemangku atau tempoh masa pendek.
Tiada kontrak atau akujanji sepanjang tempoh menjadi kerajaan sementara. Jika tidak mungkin untuk menangguhkan komitmen sehingga selepas tempoh pentadbiran sementara, untuk tujuan perundangan, komersil dan lain-lain sebab, akan terdapat rundingan dengan Oposisi untuk memastikan bahawa kontrak turut menyediakan fasal bagi menamatkannya jika kerajaan yang baru tidak mahu meneruskan. Syarat yang sama termasuk di dalam memberikan tender.
Tiada rundingan dan lawatan antarabangsa.
Tiada penglibatan penjawat awam di dalam aktiviti pilihan raya dengan penjawat awam mengambil pendirian neutral sementara terus menasihati Kerajaan.
Melihat kepada dua fakta iaitu Najib sebagai Perdana Menteri tidak diundi paling lama dalam percubaan yang tidak berani mendapatkan mandatnya sendiri dari pengundi dan ulangtahun kelima Pilihan Raya Umum ke-12 pada 8 Mac, 2008, moraliti umum dan politik menuntut Najib supaya menganggap dirinya pada 8 Mac esok sebagai Perdana Menteri Sementara dan Kabinetnya sebagai Kabinet Sementara, dan mereka tidak sepatutnya membuat sebarang keputusan substantif sama ada berkenaan dasar, perlantikan, kewajipan berkontrak atau penyalahgunaan perkhidmatan awam, sama ada pegawai, hasil dan dana awam tanpa berunding dengan Oposisi.
Biar Najib secara terbuka – menyatakan sama ada beliau bersedia untuk menerima konsep dan kebiasaan sebagai Kerajaan Sementara apabila Parlimen ke-12 secara rasminya terbubar; dan tambahan lagi, sama ada beliau bersedia untuk menerima moraliti politik bahawa secara moralnya, beliau hanyalah Perdana Menteri Sementara bermula 8 Mac, 2013 – ulangtahun terakhir “tsunami politik” 308?
Soalan No.2 – Ikrar Integriti Pilihan Raya. Adakah Najib menerima bahawa Ikrar Integriti Pilihan Raya Transparency International-Malaysia yang beliau tandatangani pada Febuari 20 tidak menggerakkan perjuangan dan prinsip integriti, tatalaku beretika, akauntabiliti, ketelusan dan tadbir urus baik berkenaan Pilihan Raya Umum ke-13 tetapi mencapai sesuatu yang sebaliknya?
Setiap kali saya menghadiri ceramah, ketika saya bertanya sama ada saya patut menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya TI-M selepas Perdana Menteri telah menandatanganinya, jawapan yang saya terima adalah lauangan “Tidak! Tidak! Tidak!”
Ketika saya meminta untuk menunjukkan tangan sama ada mereka mahu saya tandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya TI-M sebagaimana Perdana Menteri telah tandatangani, secara sepakat mereka mengangkat tangan tidak mahu saya menandatanganinya seperti yang dizahirkan oleh ribuan hadirin sama ada di ceramah DAP UBAH Dream Truck di Petaling Jaya pada Isnin atau di Taman Sentosa di Johor Bahru pada malam Selasa.
Dalam tinjauan pandangan di Facebook sama ada saya perlu menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya, hanya empat peratus atau lima daripada 116 responden menyokong saya menandatangani, sementara 96% tidak menyokong saya menandatangani ikrar itu atau sekurang-kurangnya mahu Ikrar Integriti Pilihan Raya untuk mengandungi lima syarat, yakni:
Pengisytiharan Umum Aset oleh semua Menteri;
Tidak melakukan politik wang;
Tiada ugutan 13 Mei atau menggunakan politik ketakutan atau kebencian untuk menakut-nakutkan pengundi.
Pilihan raya bebas, adil dan bersih; dan
Berikrar untuk menerima keputusan pengundi di dalam PRU13 dan memudahcara peralihan kuasa di Putrajaya.
Soalan No.3 – Kegagalan dasar Transformasi. Adakah Najib akan mengaku bahawa semua inisiatif dan dasar “transformasi” utamanya sejak empat tahun lalu telah gagal, sama ada:
Dasar 1Malaysia yang mana beliau tidak mampu pun mendapat sokongan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, atau oleh Jemaah Menteri, Majlis Tertinggi UMNO atau Majlis Tertinggi Barisan Nasional;
Slogan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”, diperlihatkan melalui pencerobohan 26 hari kumpulan militant Sulu, meragut nyawa lapan komando polis yang tidak sepatutnya berlaku sekiranya mereka yang bertanggungjawab melindungi kedaulatan negara dan keselamatan rakyat Sabah dan pegawai keselamatan telah diberikan ruang untuk melaksanakan tugas mereka secara profesional dan cekap; dan
Program NKRA terutamanya untuk memerangi rasuah, mengurangkan jenayah dan meningkatkan kualiti pendidikan.