Seruan terhadap Najib untuk menjadikan perang terhadap jenayah sebagai agenda terpenting mesyuarat Kabinet hari Rabu ini
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mengisytiharkan ��Perang terhadap Jenayah�� ketika beliau melancarkan Hari Bersatu Menentang Jenayah di bawah anjuran Pemandu di Taman KLCC, Kuala Lumpur, pada hari Sabtu, 8 Jun yang lalu. Tetapi ternyata minggu itu juga menjadi mimpi ngeri bagi rakyat Malaysia apabila kegiatan para penjenayah semakin menjadi-jadi, termasuk dengan melakukan rompakan secara beramai-ramai ke atas para pemilik dan pelanggan beberapa buah kedai makan.
Tajuk-tajuk gah seperti ��Criminals beware: Its War�� dan ��All-out fight against crime�� (Akhbar Star, Ahad 9.6.2013) yang dipaparkan oleh media yang dimiliki/dikawal BN seperti menjadi abu apabila ternyata para penjenayah yang mengisytiharkan perang minggu lalu, bermula dengan sekumpulan 10 orang penjenayah berparang yang merompak pemilik dan pelanggan yang sedang makan lewat malam di restoran Simmei Seafood and Steamboat di Taman Taynton View, Cheras. Para penjenayah terbabit berkaya melarikan diri bersama wang tunai dan barangan berharga bernilai RM20,000.
Fenomena jenayah baru ini muncul lagi minggu lalu apabila jenayah kumpulan bersenjata yang hampir sama dilakukan ke atas para pelanggan dan pemilik kedai makan jenis terbuka di Kepong, Cheras, Kajang, dan Petaling Jaya, menyebabkan orang ramai di seluruh negara merasakan tidak lagi selamat untuk keluar makan di restoran.
Semalam saya menulis kenyataan berjudul ��Police should not be super-efficient to arrest peaceful Malaysians, including women and child while utterly helpless at worsening crime situation with new fear among Malaysians �C not safe eating out in restaurants and public eateries��. Berikut antara komen-komen (terjemahan) yang ditulis oleh para pembaca dalam blog saya:
��Jenayah dalam negara nampaknya semakin jauh meningkat selepas PRU dan telah mencapai tahap yang membimbangkan.��
��Saya rasa polis tidak menetapkan keutamaan yang betul dengan memberikan terlalu banyak perhatian terhadap perhimpunan awam yang dianjurkan Pembangkang dan pihak lain.��
��Dalam akhbar Sin Chew Daily hari ini, dalam ruangan berita nasional sahaja (tidak termasuk berita negeri), 8 kes jenayah berat dilaporkan, termasuk (i) dua perompak memasuki kawasan sekolah di siang hari untuk merompak seorang guru; (ii) di Kuala Kurau, Perak, empat perompak bersenjata telah merompak beberapa orang kampung dan salah seorang daripada penduduk berkenaan telah ditembak sehingga cedera parah; (iii) di Senai, Johor, 5 lelaki menyamar sebagai penebang pokok telah merompak sebuah rumah dan melarikan barang berharga bernilai RM10,000; (iv) di Kota Tinggi, Johor, 4 perompak bersenjata telah merompak sebuah kedai emas dan melarikan barang kemas bernilai RM1 juta; (v) di Kuantan, 5 pencuri telah mencuri sebuah lori dan kemudian gagal untuk melarikan sebuah mesin ATM milik BSN dengan menggunakan lori curi tersebut; (vii) 8 perompak berparang telah merompak 3 pengunjung kedai makan dan melarikan barang berharga bernilai RM5,100 di jalan Lapangan Terbang Lama; (viii) di Petaling Jaya, 2 perompak telah cuba merompak sebuah kedai aksesori kereta dan menembak salah seorang pekerja kedai.��
��Star hanya melaporkan dua berita rompakan hari ini. Kalau anda membaca Star, anda mungkin merasa keadaan serba aman belaka.��
��Saudara ipar saya telah diragut rantai emasnya oleh seorang peragut awal pagi ini. Bari saja semalam kami berbual tentang peningkatan jenayah kebelakangan ini.��
Sebenarnya, salah seorang pengulas di atas yang memakai nama samaran ��tuahpekkong�� telah terlepas pandang satu lagi laporan dalam Sin Chew kelmarin (halaman 2) yang melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 10 deejay sebuah saluran televisyen tempatan telah dirompak.
Mengapa setelah empat tahun melaksanakan Program Transformasi Kerajaan (GTP) baru Najib melancarkan ��perang menentang jenayah��, sedangkan program tersebut menetapkan usaha memerangi jenayah sebagai salah satu bidang pencapaiannya (NKRA) yang terpenting, terutama setelah kerajaan mendakwa yang ia telah berjaya menurunkan indeks jenayah sebanyak 26.8% sejak fasa pertama GTP dilaksanakan pada tahun 2009?
Sebabnya amat mudah �C jurang antara dakwaan polis tentang kejayaannya mengurangkan kadar jenayah dan persepsi orang ramai tentang jenayah semakin lebar, bukan saja kerana mengalami jenayah secara langsung atau tidak langsung, tetapi kerana kerajaan gagal meyakinkan orang ramai bahawa polis mampu memelihara keselamatan rakyat, pelancong dan pelabur.
Negara hari ini memerlukan Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara baru yang kedua-duanya memberikan perhatian sepenuhnya terhadap usaha memenangi perang terhadap jenayah, menjadikan Malaysia selamat untuk rakyatnya, para pelancong, dan para pelabur, selain menghapuskan kebimbangan yang telah menghantui rakyat Malaysia selama lebih sedekad.
Namun, yang kita dapat hari ini ialah Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara yang terang-terang, menerusi tindakan mereka, menunjukkan bahawa perkara paling utama bagi mereka bukanlah memerangi jenayah, sebaliknya memerangi para pemimpin Pakatan Rakyat dan aktivis sosial untuk memelihara agenda Umno/Barisan Nasional yang ingin menggunakan polis untuk melindungi rejim mereka dan bukannya memelihara nyawa, tubuh badan dan harta-benda rakyat biasa!
Kerajaan dan pasukan polis jelas telah hilang arah dalam menunaikan tugas paling asasi mereka sebagai kerajaan, iaitu untuk melindungi rakyat daripada jenayah, apabila mereka mengupah syarikat perunding antarabangsa Frost and Sullivan untuk menjalankan kajian terhadap tahap kepuasan orang ramai berkaitan keberkesanan perkhidmatan polis serta sejauh mana mereka berasa selamat dalam negara ini.
Pemimpin kerajaan dan polis yang memerlukan perunding, tidak kira perunding tempatan atau antarabangsa, bagi memberitahu mereka cara-cara untuk menjalankan tugas asasi melindungi nyawa dan harta benda rakyat, pelancong, dan pelabur di negara ini, adalah tidak layak untuk memegang jawatan mereka.
Saya menyeru Najib untuk menjadikan perang terhadap jenayah sebagai agenda terpenting mesyuarat Kabinet hari Rabu ini bagi mengupayakan polis untuk menangani jenayah yang menjadi-jadi kebelakangan ini, termasuk kes rompakan bersenjata terhadap pemilik dan pelanggan restoran.