Perlu ada rombakan menyeluruh ke atas sistem pilihan raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya
Pilihan Raya Umum ke-13 menunjukkan dengan jelas bahawa negara ini mempunyai sistem pilihan raya yang amat tidak berkesan dan tidak cekap sehingga pilihan raya yang bersih, bebas, adil, dan demokratik tidak dapat dijalankan di negara ini, menyebabkan buat pertama kali dalam tempoh 56 tahun sejarah negara ini keabsahan Perdana Menteri dan kerajaan diragui secara meluas.
Masa telah tiba untuk membuat rombakan menyeluruh ke atas sistem pilihan raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya yang ketiga-tiga fungsinya sepatutnya dijalankan oleh tiga badan yang berlainan.
Menurut Perlembagaan, Suruhanjaya Pilihan Raya mempunyai tiga fungsi, iaitu:
(i) Menjalankan pilihan raya bagi Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri;
(ii) Menyediakan daftar pemilih dan menjalankan urusan pendaftaran dan penyemakan daftar pemilih;
(iii) Menjalankan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya.
Di negara-negara lain yang mengamalkan demokrasi, ketiga-tiga fungsi ini dijalankan oleh badan-badan yang berlainan dan pendekatan ini boleh kita contohi jika ia membawa kepada sistem pilihan raya yang lebih saksama dan adil.
Sejak empat dekad yang lalu saya selalu menyebut dalam Parlimen bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya mempunyai tanggungjawab menurut perlembagaan untuk mengadakan pilihan raya yang bersih, bebas, serta adil dan bukan hanya mengendalikan proses pilihan raya secara mekanikal.
PRU13 yang baru selesai mempamerkan kepada kita betapa politik wang diamalkan secara meluas untuk membeli undi dan mempengaruhi pengundi, tetapi sikap tidak peduli dan tidak ambil endah, atau ketidakmampuan Suruhanjaya Pilihan Raya untuk mengekang salah laku sedemikian mencerminkan suatu keadaan yang menyedihkan di mana Suruhanjaya Pilihan Raya gagal dan tidak mampu untuk menjalankan pilihan raya yang bersih, bebas dan adil.
Beribu-ribu kesalahan pilihan raya, termasuk salah laku yang terhasil daripada politik wang, telah dilakukan dalam setiap pilihan raya umum, tetapi tiada siapa pernah didakwa atas kesalahan-kesalahan sedemikian.
Begitu juga keadaan media yang tidak bebas, terutamanya apabila kepemilikan dan kawalan kerajaan ke atas saluran-saluran radio dan televisyen disalahgunakan, menunjukkan satu lagi kegagalan utama Suruhanjaya Pilihan Raya dalam menjalankan tangungjawabnya untuk mengadakan pilihan raya yang bersih, bebas dan adil.
Kita mahu melihat sebuah Suruhanjaya Pilihan Raya yang telah dirombak sepenuhnya dan diberikan kuasa dan tanggungjawab penuh untuk menjalankan pilihanraya yang bersih, bebas, dan adil, termasuk mengambil tindakan untuk mengekang kesalahan-kesalahan pilihan raya seperti politik wang dan liputan media yang tidak seimbang dalam tempoh pilihan raya.
Mungkin telah sampai masanya Suruhanjaya Pilihan Raya di Malaysia diberikan tugas tunggal untuk menjalankan pilihan raya yang bersih, bebas, dan adil, manakala tugas mendaftar para pemilih, menyediakan daftar pemilih dan membuat persempadanan kawasan pilihan raya diberikan kepada badan-badan lain.
Di negara-negara lain, proses pendaftaran pemilih adalah mudah, sedangkan di Malaysia prosesnya amat rumit dan renyah. Mengapa perkara ini harus terjadi?
Di New Zealand, para pengundi boleh mendaftar pada hari sebelum hari mengundi bagi membolehkan mereka mengundi pada keesokannya; tetapi di Malaysia, Suruhanjaya Pilihan Raya mengambil masa tiga hingga enam bulan untuk mendaftarkan seseorang pengundi baru ke dalam daftar pemilih dan daftar ini pula dicemari oleh pengundi yang diragui atau pengundi hantu.
Menerusi penggunaan teknologi maklumat, telah sampai masa untuk Malaysia memperkenalkan pendaftaran pengundi secara automatik sebaik saja mereka mencecah umur layak mengundi.
Negara-negara lain juga mempunyai suruhanjaya yang berlainan untuk persempadanan kawasan pilihan raya. Ini akan membantu Suruhanjaya Pilihan Raya mengekalkan sifatnya yang bebas, tidak berpihak, dan profesional memandangkan Anggota-anggota Suruhanjaya tidak akan terlibat dalam komplot politik seperti amalan penentuan sempadan (gerrymandering) kawasan pilihan raya untuk menguntungkan parti pemerintah.
Rombakan sistem pilihan raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya perlu dijadikan diletakkan pada urutan keutamaan teratas dalam sidang pertama Parlimen ke-13 yang akan diadakan pada 24 Jun nanti.
Malah, Suruhanjaya Penyiasatan Diraja harus dibentuk untuk menyiasat perjalanan Pilihan Raya Umum ke-13 dan salah satu tugas utama yang harus ditetapkan baginya ialah untuk melihat mengapa PRU13 gagal mencapai tahap pilihan raya yang bersih, bebas, dan adil, serta mencadangkan langkah-langkah segera yang perlu diambil untuk memulihkan keyakinan orang ramai terhadap sistem pilihan raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya.