Muhyiddin perlu meminta maaf kerana melatah dengan menyalahkan sikap tidak peduli terhadap sensitiviti Islam dan Muslim yang ditunjukkan oleh non-Muslim berikutan kontroversi terbaru berkaitan video sepanjang 1.44 minit
Dua hari lalu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yassin telah meluahkan kebimbangan beliau berkenaan jurang perkauman di negara ini kerana "tidak ada persefahaman dan pengertian mendalam tentang keharmonian berasaskan agama dan kaum di negara ini."
Kebimbangan Muhyiddin benar, tetapi beliau sendiri yang menjadi salah satu punca masalah dan bukannya penyelesaian terhadap masalah jurang perkauman.
Perkara ini paling jelas dapat dilihat apabila kelmarin Muhyiddin mengecam sikap tidak peduli sebahagian pihak terhadap sensitiviti Islam dan Muslim yang menurutnya boleh menimbulkan kekacauan dan perpecahan di kalangan orang ramai.
Menurutnya, beliau hairan mengapa sesetengah pihak bersungguh-sungguh hendak memperlekehkan Islam dan Muslim.
Ujar beliau: "Adakah ini manifestasi dan tanggapan sesetengah pihak bahawa kini ini lemah, mudah diperkotak-katikan atau pun tidak tegas dan berani untuk bertindankan ke atas perkara yang mencemarkan kesucian agama kita.
"Atau sengaja mereka ini adalah orang yang bodoh dan tidak faham dengan nilai agama dan kehormatan kepada agama lain?
Penganut Islam tidak mempersendakan agama Kristian, Hindu dan sebagainya."
Muhyiddin merujuk kepada video sepanjang 1.44 minit yang menunjukkan seorang individu membawa tiga ekor anjingnya berjalan berhampiran masjid ketika takbir raya sedang dialunkan.
Muhyiddin mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas untuk mencegah perkara sedemikian berulang dan berharap "gejala buruk menghina agama Islam yang sedang melanda di negara ini tidak sampai ke tahap tercetusnya situasi kacau-bilau seperti yang berlaku di sesetengah negara Islam."
Menurut Muhyiddin, Malaysia adalah sebuah negara yang bertuah, makmur, dan rakyatnya boleh menjalankan kegiatan harian dalam keadaan tenteram. Justeru itu, rakyat tidak sepatutnya memandang secara sambil lewa keadaan aman dan harmoni yang ada sekarang.
Muhyiddin perlu meminta maaf kerana melatah dengan menyalahkan non-Muslim berkaitan video terbaru tersebut.
Kedua, Muhyiddin juga harus meminta maaf kerana mengutuk video tersebut tanpa menyelidik faktanya.
Pembuat video sepanjang 1.44 minit itu, Maznah Mohd Yusof, lebih dikenali sebagai Chetz, telah tampil menafikan video itu bertujuan menghina agamanya sendiri, iaitu Islam.
Ujarnya, "Saya tidak berniat untuk menghina Islam; saya pada awalnya membuat video itu hanya untuk suka-suka tetapi kemudiannya memutuskan untuk 'mendidik' orang ramai tentang anjing dan kebersihan."(The Malay Mail Online).
Kepada Malaysiakini, beliau berkata:
"Saya sayangkan agama saya. Saya fikir orang ramai perlu belajar tentang agama mereka terlebih dahulu dan tidak salah mentafsir video saya yang dibuat tiga tahun lalu.
"Agama saya mengajar tentang kepentingan kebersihan... kerana itu dalam video ini saya membersihkan diri saya sendiri dan anjing saya."
Malaysia akan meraikan Hari Kebangsaan ke-56 dalam masa sebulan lagi, tetapi tidak banyak yang boleh diraikan jika jurang perkauman dan keagamaan di negara ini terus melebar.
Semua pemimpin, khususnya Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kabinet dan pimpinan semua parti politik, dari Barisan Nasional dan juga Pakatan Rakyat, perlu memikul tanggungjawab untuk memastikan kurang perkauman dan keagamaan di negara ini tidak menjadi semakin lebar.
Mampukah Muhyiddin memainkan peranan beliau dalam proses pembinaan negara ini?
Ya, tetapi beliau mesti menunjukkan dirinya sebagai TPM untuk semua rakyat Malaysia dan bukan hanya untuk Umno - bahawa beliau meletakkan sifatnya sebagai warga Malaysia pada kedudukan lebih utama daripada sifatnya sebagai seorang Melayu, bukan seperti yang diisytiharkannya ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melancarkan dasar 1Malaysia empat tahun lalu.