Situasi jenayah di Malaysia tidak akan separah sekarang jika IPCMC ditubuhkan tujuh tahun lalu
Sukar dipercayai apabila dilaporkan pada Jun lalu bahawa satu tinjauan internet menyenaraikan Kuala Lumpur sebagai salah satu bandaraya paling berbahaya di dunia - di tangga keenam selepas San Pedro Sula di Honduras, Ciudad Huarez di Mexico, Maceio di Brazil, Acapulco di Mexico dan Sharm el Sheikh di Mesir.
Lebih sukar dipercayai lagi apabila Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, dan Menteri Dalam Negeri mendakwa bahawa sejak dua tahun lalu Malaysia adalah negara paling selamat di Asia Tenggara.
Selepas Pilihanraya Umum ke-13 pada 5 Mei 2013 Malaysia tampak seperti bersungguh-sungguh hendak membuktikan bahawa negara ini adalah sebuah negara yang kian berbahaya dan bukannya paling selamat, kerana polis dan kerajaan terus-menerus menegaskan bahawa perasaan dan keyakinan sebahagian besar rakyat Malaysia bahawa jenayah semakin meningkat dan rasa tidak selamat hanyalah satu persepsi yang tidak bersandarkan perangkaan jenayah yang rasmi atau kajian dan laporan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).
Kejadian tembakan dan cubaan membunuh terhadap Pengerusi MyWatch R. Sri Sanjeevan, pembunuhan pengasas Arab Malaysian Bank Hussain Ahmad Najadi, dan kes-kes pembunuhan dan percubaan membunuh dengan menggunakan senjata api mutakhir ini telah mencemarkan nama Malaysia di mata dunia, menyebabkannya dilihat sebagai sebuah negara yang tidak selamat untuk rakyatnya, para pelawat, dan pelabur. Hal ini akan memberi kesan besar terhadap masa depan ekonomi Malaysia dan menakutkan para pelancong.
Bagaimana kadar jenayah di Malaysia boleh begitu meningkat dan keselamatan awam pula begitu terjejas di sebalik gembar-gembur tentang Program Transformasi Kerajaan dan Bidang Keberhasilan Utama Negara yang meletakkan usaha memerangi jenayah sebagai salah satu daripada enam perkara utama yang ditangani sejak empat tahun lalu?
Malaysia sedang mencipta rekod dunia sebagai sebuah negara apabila segala GTP, NKRA dan PKI yang mensasarkan pengurangan jenayah telah sebaliknya menghasilkan situasi jenayah yang lebih buruk dan tidak terkawal meski pun pelbagai carta-carta dan geraf-geraf yang cantik, selain perangkaan daripada laporan dan kajian rasmi, menunjukkan keadaan yang berlawanan.
Sukar untuk diragui bahawa jenayah semakin meningkat selepas pilihanraya umum ke-13 walaupun kita mempunyai Menteri Dalam Negeri serta Ketua Polis Negara yang baru, selain setelah dibuat pelancaran umum "perang menentang jenayah" oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di pertengahan bulan lalu.
Dakwaan rasmi yang menyebut indeks jenayah telah turun sebanyak 26.8% sejak fasa pertama GTP pada tahun 2009 tidak dapat menyembunyikan kenyataan bahawa jurang sedang melebar antara dakwaan polis dan persepsi serta kebimbangan orang ramai berikutan pengalaman yang mereka lalui secara langsung dan tidak langsung, iaitu apabila mereka melihat jenayah semakin menjadi-jadi dan kerajaan pula tidak mampu untuk meyakinkan orang ramai bahawa polis mampu melindungi keselamatan para warga, pelancong dan pelabur.
Jurang ini menjadi semakin luas sejak tiga bulan lalu, iaitu sejak selepas pilihanraya umum, apabila jenayah bentuk baru muncul dalam kejadian rompakan yang dilakukan oleh sekumpulan penjenayah bersenjata ke atas pelanggan dan pemilik kedai makan, selain kejadian-kejadian yang menunjukkan bahawa senjata api mudah didapati dan digunakan secara meluas dalam kes bunuh dan percubaan membunuh.
Ketika memberi respons terhadap Tan Sri Musa Hassan yang mengesyaki percubaan membunuh ke atas Sanjeevan berkait dengan pendedahan beliau baru-baru ini tentang kaitan antara kakitangan polis dengan sindiket jenayah, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menyebut bahawa polis sanggup membiarkan sebuah badan bebas menyiasat dakwaan-dakwaan tentang salah-laku dan korupsi dalam pasukan polis kerana tiada apa yang hendak pihak polis sembunyikan.
Saya percaya situasi jenayah di Malaysia tidak akan separah sekarang seperti yang dilihat pada kes Sanjeevan dan Najadi, selain kes-kes pembunuhan dan percubaan membunuh dengan menggunakan senjata api mutakhir ini, jika Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis Diraja Malaysia (IPCMC) ditubuhkan tujuh tahun lalu untuk membasmi korupsi dan salah-laku polis seperti yang disarankan oleh Suruhanjaya Siasatan Polis Diraja Malaysia yang diketuai oleh Tun Dzaiddin.
Hari ini Najib mengatakan beliau sanggup mempertimbangkan "apa saja" yang diperlukan polis untuk memerangi jenayah berat.
Apakah Perdana Menteri sanggup mempertimbangkan "apa saja" yang diperlukan rakyat untuk memerangi jenayah berat?
Apakah Perdana Menteri sanggup untuk mengemukakan rang udang-undang penubuhan IPCMC dalam sesi Parlimen September ini, memandangkan IPCMC akan mampu bukan saja untuk memulihkan keyakinan orang ramai terhadap kecekapan, kebebasan, dan profesionalisme polis, malah juga ia akan sangat membantu dalam perang menentang jenayah, termasuk jenayah berat, dengan memelihara komitmen dan profesionalisme pihak polis dalam perang menentang jenayah dalam negara.