Pengiraan Detik 43 Hari ke PRU13 – Apakah Transparency International Malaysia boleh memadam dan membatalkan penandatangan kepada Ikrar Integriti Pilihan Raya yang terang-terangan melanggar empat prinsipnya menjelang PRU13?
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob telah mengikut jejak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz untuk mengkritik pemimpin Pakatan Rakyat kerana enggan menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya Transparency International-Malaysia (TIM) yang telah ditandatangani Perdana Menteri Rabu lalu.
Adnan mengulangi topik lama bahawa pemimpin Pakatan Rakyat enggan menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya TIM kerana mereka menyembunyikan sesuatu dan mereka masih ragu-ragu sama ada perikatan oposisi mampu metadbir negara dengan bertanggungjawab jika mendapat kuasa.
Bercakap ketika pembukaan mesyuarat Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) di Kuantan pada Ahad, Adnan berkata: “jika berlaku salah guna kuasa nanti mereka tidak mahu bertanggungjawab dan memberi alasan bahawa mereka tidak sign ikrar tersebut.”
Saya terkejut dengan hujah tidak masuk akal yang dilontarkan seorang Menteri Besar, mengabaikan terus undang-undang, ajaran agama dan etika terhadap rasuah dan salahguna kuasa.
Adakah Adnan benar-benar bermaksud bahawa pemimpin Barisan Nasional, baik di perinkat negeri atau negara, baik Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-Menteri, Menteri-Menteri Besar, Ketua Menteri dan Exco Negeri boleh didakwa mengamalkan rasuah dan salahguna kuasa semata-mata kerana mereka belum lagi menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya TI?
Alasan tempang dari pemimpin UMNO/BN seperti itulah yang telah membangkitkan persoalan dan kebimbangan sama adaIkrar Integriti Pilihan Raya TIM bermakna atau sama ada digunakan untuk “membersihkan” semua rasuah dan salahguna kuasa yang telah dilakukan pemimpin UMNO/BN dulu baik di peringkat negara atau negeri.
Hinggakan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang sepatutnya merupakan badan bebas, professional dan berwibawa bagi menjalankan pilihan raya yang bebas dan adil di negara ini, telah menyertai pemimpin UMNO/BN mengkritik Pakatan Rakyat tentang Ikrar Integriti Pilihan Raya TIM.
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Wan Ahmad Wan Omar, menghentam Pakatan Rakyat dengan mengatakan adalah “memalukan” apabila parti oposisi enggan menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya TIM.
Perkara yang sebenarnya memalukan ialah kegagalan Suruhanjaya Pilihan Raya untuk memahami tindakan itu hanya mengesahkan yang mereka tunduk kepada perikatan pemerintah UMNO/BN ke tahap sanggup mengulang kritikan UMNO/BN terhadap PR, sedangkan Suruhanjaya Pilihan Raya sepatutnya tidak melibatkan diri dengan sebarang percakaran bagi melaksanakan tugas mengikut perlembagaan menjalankan pilihan raya bebas dan adil di negara ini.
Sekiranya Wan Ahmad mahu terlibat dengan politik, dia sepatutnya meletakkan jawatan di dalam Suruhanjaya Pilihan Raya dan bertanding dalam PRU13 sebagai calon BN bukannya berterusan menjejaskan kebebasan dan integriti proses pilihan raya dengan menjadi agen UMNO/BN.
Wan Ahmad berkata wajib bagi calon yang bertanding di dalam pilihan raya menandatangani ikrar itu memandangkan rakyat inginkan wakil yang bukan saja mengatakan memiliki integriti tetapi turut mengamalkannya.
Katanya dia percaya rakyat akan berasa lebih terjamin terhadap pilihan mereka sekiranya calon tidak ragu-ragu menandatangani ikrar itu, seperti mana yang telah dilakukan Perdana Menteri Najib Abdul Razak.
Walaupun saya perlu katakan yang Wan Ahmad telah memberikan hujah yang lebih masuk akal berbanding Adnan Yaakob untuk kes calon menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya TIM, kata-kata beliau berbau hipokrasi dan tidak jujur memandangkan Suruhanjaya Pilihan Raya tidak pernah membuat pendidiran terhadap berleluasanya rasuah dalam bentuk politik wang yang oleh UMNO/BN dalam pilihan raya umum sebelumnya.
Saya ragu-ragu menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya TIM kerana tandatangan sinis Perdana menteri tanpa menunjukkan sebarang tanda beliau serius dan sepenuhnya iltizam kepada prinsip-prinsip ikrar itu, dan juga peranan memalukan Suruhanjaya Pilihan Raya di masa lalu dalam memastikan pilihan raya bersih, beretika, bebas dan adil di negara ini.
Ikrar Integriti Pilihan Raya TIMM menetapkan empat prinsip untuk diperhatikan semua penandatangan dalam pilihan raya umum ke-13, yakni:
Kebenaran, integriti, tatalaku beretika dan akauntabiliti, termasuk tidak menerima atau memberi rasuah atau terlibat dengan amalan rasuah dalam apa jua cara;
Mendukung dan memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat secara keseluruhan;
Tadbir urus yang baik serta ketelusan; dan
Mematuhi semua undang-undang dan peraturan yang berkaitan Malaysia.
Apakah TIM mempunyai sebarang mekanisme untuk menerima dan menyiasat rungutan bahawa penandatangan telah melanggar empat prinsip yang termaktub di dalam Ikrar Integriti Pilihan Raya – walaupun ketika menjelangnya PRU13?
Apakah terdapat peruntukan untuk TIM memadam atau membatalkan penandatangan Ikrar Integriti Pilihan Raya yang terang-terangan melanggar empat prinsipnya menjelang PRU13?
Contohnya, beberapa hari selepas menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah melanggar iltizamnya untuk menjalankan kempen pilihan raya yang bersih dan beretika, apabila beliau mengisytiharkan di Kuala Terengganu pada Sabtu bahawa “satu undi untuk DAP ialah satu undi untuk penindasan umat Islam” – hasutan kebencian kaum yang paling tidak beretika dan memalukan juga sepenuhnya bercanggah dengan dasar 1Malaysia.
Adakah TIM akan menghubungi Najib menyatakan bahawa Perdana Menteri telah melanggar Ikrar Integriti Pilihan Raya yang telah ditandatanganinya Rabu lalu bagi menjalankan kempen pilihan raya yang bersih dan beretika?
Adakah TIM akan meminta Perdana Menteri menarik balik dan memohon maaf untuk kenyataan tidak bertanggungjawab dan tidak beretika yang bukan saja tidak berasas tetapi juga merupakan contoh hasutan kebencian dan konflik kaum serta agama paling memalukan?
Adakah TIM akan memadam tandatangan Najib dari jadual penandatangan dan membatalkan kelayakan beliau sebagai penandatangan kerana terang-terangan mengabaikan empat prinsip yang digariskan dalam Ikrar Integriti Pilihan Raya TIM?