Pengiraan Detik 49 Hari ke PRU13: Najib telah membuatkan saya dalam dilema – adakah Ikrar Integriti Pilihan Raya berbaloi untuk ditandatangani apabila PM menandatanganinya dengan keyakinan, penghinaan dan sinis?
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, telah membuatkan saya dalam dilema – adakah Ikrar Intergriti Pilihan Raya yang dicadangkan Transparency International-Malaysia (TI-M) berbaloi untuk ditandatangani apabila Najib boleh menandatanganinya dengan keyakinan, penghinaan dan sinis selepas empat tahun beliau menjadi Perdana Menteri memperlihatkan korupsi di Malaysia menjunam ke tahap paling teruk di dalam tempoh 56 tahun.
Sepanjang empat tahun Najib sebagai Perdana Menteri, Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) menjunam ke kedudukan terendah dalam tempoh 18 tahun, iaitu No. 56 pada tahun 2009 dan 2010, No. 60 pada 2011 dan No.54 pada 2012, berbanding kedudukan Malaysia di tempat No. 23 dalam CPI TI pertama pada tahun 1995, tempat No. 37 sewaktu Tun Dr. Mahathir melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri selepas 22 tahun pemerintahan authoritarian dan korup serta No. 47 pada tahun 2008 selepas lima tahun “Mr Clean” Tun Abdullah menjadi Perdana Menteri.
Tidak dapat dipertikaikan dan dinafikan lagi bahawa rasuah di bawah empat tahun pemerintahan Najib adalah paling teruk berbanding di bawah mana-mana Perdana Menteri dalam sejarah, selain lebih teruk berbanding era Mahathir dan Abdullah, tiada siapa yang pernah mengatakan bahawa rasuah di bawah tiga Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Tun Hussein lebih teruk berbanding era pengganti mereka.
Apa yang membuatkan tindakan bermakna menandatangani Ikrar Integriti Pilhan Raya TI-M lebih dipertikaikan adalah kehadiran Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang telah meletakkan Malaysia pada perhatian kempen anti-rasuah antarabangsa selepas dakwaan di dalam laporan menggemparkan oleh NGO Switzerland Bruno Manser Fund (BMF) September lalu dengan anggaran aset keluarga Taib Mahmud sebanyak at US$21 billion (RM64 billion), dengan kekayaan Taib seorang sebanyak US$15 billion (RM46 billion) menjadikannya orang paling kaya di Malaysia menewaskan Robert Kuok yang hanya mempunyai aset sebanyak US$12.5 billion.
Najib bukan sahaja gagal menunjukkan sifat serius dan iltizam dalam memerangi rasuah dengan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja menyiasat laporan BMF itu untuk membersihkan nama Taib dan lebih penting memulihkan reputasi Malaysia, tetapi apa yang beliau lakukan adalah mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) untuk membiarkan saja laporan BMF itu dan secara terbuka menolak dakwaan rasuah besar terhadap Ketua Menteri Sarawak.
Sekiranya Ketua Menteri Sarawak hadir pada majlis menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya Najib semalam, mengapa Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, seorang lagi pemimpin Barisan Nasional yang meletakkan Malaysia di bawah perhatian anti-rasuah antarabangsa tidak hadir?
Dalam ucapan saya di Parlimen pada Belanjawan 2013 Oktober lepas, saya telah katakan tentang “ujian trio” untuk lihat sama ada terdapat kesungguhan politik di dalam pemerintahan Najib untuk memerangi “Rasuah Besar”oleh VVIP, dan saya telah menyebut nama Taib, Musa dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.
Tetapi Najib hanya membisu tentang “ujian trio” dalam memerangi “rasuah besar” di Malaysia.
Kewibawaan dan legitimasi apa yang Najib dapat diinspirasikan dan diwujudkan dengan menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya apabila Perhimpunan Agung UMNO ke-66 Disember lalu merupakan kegagalan besar dalam memerangi rasuah dan memastikan integriti pilihan raya dalam Pilihan Raya Umum ke-13?
Sebulan sebelum Perhimpunan Agung UMNO ke-66, Presiden China dari Parti Komunis China (CCP) Hu Jintao memberi amaran sewaktu Kongres CCP ke-18 bahawa rasuah akan menyebabkan keruntuhan parti dan kemusnahan Negara –tema yang diangkat di dalam ucapan pertama oleh pemimpin baru Parti Komunis Cina, Xi Jinping, yang mengutuk rasuah dan mengatakan para pegawai haruslah berhati-hati terhadap berleluasanya rasuah atau ia akan “memusnahkan parti dan Negara”.
Banyak sebab mengapa Najib perlu memberikan keutamaan lebih terhadap masalah rasuah berbanding Hu Jintao dan Xi Jinping memandangkan sepanjang dua dekad lalu, Cina telah menampakkan perkembangan dalam memerangi rasuah sementara sebaliknya berlaku pada Malaysia.
Sebenarnya, jika trend kemajuan China di dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) sepanjang 18 tahun lalu (1995-2012) dan kemerosotan Malaysia tidak dipedulikan, China akan berada di kedudukan lebih baik berbanding Malaysia di dalam CPI TI lalu peringkat antarabangsa dianggap sebagai kurang korup dalam tempoh kurang lima tahun.
Tetapi Perhimpunan Agung UMNO ke-66 hanya memberikan bukti lanjut bahawa walaupun UMNO dan Barisan Nasional telah sinonim dengan rasuah di Malaysia dan sepanjang empat tahun Najib memerintah, beliau hanya pandai melaungkan slogan anti-rasuah tetapi tiada langsung kesungguhan politik dan komitmen untuk membasmi rasuah, terutamanya rasuah besar melibatkan pemimpin politik dan kerajaan.
Inilah sebabnya mengapa Perhimpunan Agung UMNO ke-66 mempersembahkan pertunjukan menyedihkan Ketua Menteri Sabah Musa Aman berjaya “mengghaibkan diri” meskipun terdapat pelbagai usaha dari Media untuk mendapatkan penjelasannya tentang skandal RM40 juta “sumbangan politik kepada UMNO Sabah” yang melibatkan dirinya dan ahli perniagaan balak Michael Chia.
Terdapat juga pertunjukan pengunduran dan terus membisu Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi bersama kegagalan Najib untuk menjawab dakwaan serius terhadap integrity berkenaan projek pertahanan RM100 juta pada 2005 yang dibangkitkan ahli perniagaan Deepak Jaikishan melibatkan keluarga Perdana Menteri dan juga terkait dengan kes pembunuhan berprofil tinggi Altantuya Shaariibuu.
Pada Perhimpunan Agung UMNO ke-66 sebahagian perwakilan UMNO Sabah memberitahu portal berita atas talian bahawa walaupun mereka sepenuhnya menyokong Musa Aman, mereka tidak tahu menahu tentang RM40 juta “sumbangan politik”kepada UMNO Sabah dan mereka mahu Musa menjelaskan isu itu.
Bagaimanapun, terdapat juga perwakilan Sabah yang menolak kontroversi itu dengan hujah bahawa sumbangan RM40 juta itu sangat kecil berbanding berjuta-juta ringgit yang UMNO taburkan ketika pilihan raya – dengan seorang perwakilan UMNO Sabah mendedahkan di kawasan Putatan tempat asalnya, UMNO akan membelanjakan sehingga RM6 juta ketika pilihan raya.
Dengan 26 kawasan parlimen di Sabah (dan Labuan) dan dengan purata RM6 juta satu kawasan, belanja keseluruhan mencecah lebih daripada RM150 juta pada peringkat parlimen – lebih daripada dua kali ganda apabila perbelanjaan di kawasan dewan undangan negeri diambil kira.
Dengan UMNO/BN membelanjakan sekurang-kurangnya RM300 juta di Sabah, RM300 juta lagi di Sarawak, dan perbelanjaan pilihan raya yang serupa untuk 165 kerusi Parlimen dan 441 kerusi Dewan Undangan Negeri di sebelas negeri di Semenanjung Malaysia, kita melihat perikatan UMNO/BN membelanjakan berbilion ringgit dalam PRU13 untuk mengekalkan kuasa dan menawan semula majoriti dua pertiga pada peringkat persekutuan, juga mendapatkan semula empat negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang, Kelantan, Selangor and Kedah dan mengekalkan pemerintahan tidak mengikut perlembagaannya di Perak.
Dengan UMNO/BN bersedia membelanjakan berbilion ringgit di dalam PRU13, apa gunanya Najib menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya? Saya akan berbincang dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Hadi Awang sama ada di bawah keadaan ini, apakah perlu kami menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya TI-M.