Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Sabah perlu bersidang dalam satu sidang tergempar
Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Sabah perlu bersidang dalam satu sidang tergempar sekirannya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin tidak mampu memelihara kedaulatan Sabah dan Malaysia serta hak dan keselamatan rakyat Sabah.
Malaysiakini telah memetik laporan Ahad Philippine Daily Inquirer hari ini bahawa meskipun penguasa Malaysia mengisytiharkan berakhirnya rundingan dengan lebih daripada 100 orang rakyat Filipina bersenjata yang mendarat di Sabah awal minggu ini dan berkata mereka akan dihantar pulang, ketua kumpulan itu bertegas mereka tidak akan berganjak.
Jamalul Kiram III, yang mendakwa sebagai waris kepada Kesultanan Sulu yang sudah tidak wujud lagi, memberitahu Philippine Daily Inquirer bahawa dia membenarkan ‘serangan’ itu dan orang-orangnya akan kekal di Lahad Datu selagi mana perlu.
Jamalul berkata kumpulan itu, yang diketuai adiknya tengku mahkota Agbimuddin Kiram, akan kekal di Sabah “selagi mana perlu” dalam tuntutan mereka untuk mendapatkan semula negeri itu, yang dahulunya kawasan jajahan Kesultanan Sulu.
“Saya menghantar adik saya ke Sabah atas nama keamanan dan melaksanakan hak sejarah, nenek moyang dan kedaulatan terhadap Sabah,” Jamalul, yang berada di Manila, dipetik berkata seperti mana yang dilaporkan akhbar Filipina.
“Adalah hak kami, pemimpin Sulu, untuk menuntut semula apa yang merupakan milik kami,” tambahnya.
Philippine Daily Inquirer turut dipetik berkata Agbimuddin berkata bahawa kumpulannya, yang berada di dalam sebuah kampung di Lahad Datu, lengkap bersenjata, termasuklah M-14, M-16, M203, Baby Armalite dan tiada siapa dapat membuatkan mereka berganjak melainkan abangnya Jamalul mengarahkan mereka melakukan sedemikian.
Agbimuddin menambah bahawa lebih ramai lagi, penyokong Kesultanan Sulu, dijangka menyertai mereka di Sabah tidak lama lagi.
Ini dilaporkan di dalam Philippine Daily Inquirer telah menjadikan kenyataan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Salleh Mat Rasid dan Ketua Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib bahawa rundingan telah tamat dengan 100 orang Filipina bersenjata berada di perkampungan tepi laut Tanduo di Lahad Datu dan penguasa Malaysia bersedia untuk menghantar pulang kumpulan bersenjata itu kembali ke selatan Filipina tidak masuk akal.
Ia juga telah memburukkan nama Kementerian Dalam Negeri memandangkan kesabaran dan keyakinan rakyat Sabah dan Malaysia terhadap kemampuan Hishamuddin untuk menyelesaikan kebuntuan di Lahad Datu dengan segera dan aman semakin tipis, terutamanya Menteri Dalam Negeri lebih berminat dan sibuk bermain politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 berbanding fokus terhadap isu keselamatan melibatkan rakyat dan negara, seperti:
Cuba mengiyakan “kisah yang sukar dipercayai” bahawa nyawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan bintang K-Pop Korea Psy diancam ketika pesta Tahun Baru Cina Barisan Nasional di Pulau Pinang pada Isnin lalu, sedangkan tiada bukti atau sekulmit kebenaran pun;
Mempertahankan penahanan dan pengusiran Senator Australia Nick Xenophon kerana memperjuangkan pilihan raya bersih dan adil di Malaysia dan mengundang kutukan seluruh dunia; dan
Menyebarkan penipuan tentang DAP tidak menghantar keputusan pilihan raya parti kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan walhal ia telah diserahkan sebelum Tahun Baru Cina, menimbulkan persoalan sama ada dia sedang mempersiapkan alasan untuk kerajaan UMNO/BN mengisytiharkan DAP sebagai parti politik yang haram dan tidak sah.
Sekiranya Hishammuddin tidak mampu memberikan tumpuan menyelesaikan kebuntuan dengan pasukan bersenjata berbangsa Filipina di Lahad Datu dengan kadar segera dan aman, beliau sepatutnya biar orang lain yang lebih mampu memberikan keutamaan sewajarnya kepada isu keselamatan negara bukannya mencipta kontroversi politik untuk melakukan tugas itu.
Adalah amat malang jika Hishammuddin di dalam fikiran rakyat Malaysia, terutamanya rakyat Sabah dikaitkan dengan ungkapan: “Nero sedang main-main sementara Rome terbakar”.