Seruan kepada penganut semua kepercayaan untuk merangkul mesej sejagat 'Keamanan di Bumi, Perasaan Muhibah terhadap Semua' bagi membina negara Malaysia yang bersatu, toleran, berhala-tuju dan makmur serta meredakan perselisihan perkauman dan keagamaan di tahun mendatang
Selamat Hari Krismas kepada semua penganut agama Kristian dan kepada semua warga Malaysia lain yang berkongsi semangat perayaan dan muhibah pada perayaan-perayaan keagamaan utama di negara ini sebagai sebahagian daripada warisan negara yang kita banggakan.
Marilah semua kita yang menganuti pelbagai kepercayaan merangkul mesej "Keamanan di Bumi, Perasaan Muhibah terhadap Semua" bagi membina negara Malaysia yang bersatu, toleran, berhala-tuju dan makmur serta meredakan perselisihan perkauman dan keagamaan di tahun mendatang.
Sepanjang 56 tahun sejarah negara ini belum pernah semangat perkauman dan perseteruan keagamaan diapi-apikan sehebat yang berlaku sepanjang beberapa bulan sebelum dan selepas Pilihanraya Umum ke-13 - misalnya pembohongan tentang adanya percubaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Kristian, tentang adanya konspirasi kaum Cina untuk menghakis kuasa politik orang Melayu, atau tentang adanya agenda sulit untuk menghapuskan institusi Raja Melayu dan menubuhkan sebuah republik.
Semua itu adalah pembohongan dan pendustaan yang disebarkan menerusi media sosial dan media cetak arus perdana bermula sebelum Pilihanraya Umum ke-13 dan semakin hebat setelah 5 Mei 2013.
Semangat perkauman dan permusuhan keagamaan sememangnya pernah diapi-apikan dalam negara ini sejak ia diasaskan pada tahun 1957 dan sejak pembentukan Malaysia pada tahun 1963, namun sehingga sebelum PRU 13 ia hanya dilakukan oleh kelompok pinggiran.
Malangnya, kebelakangan ini rakyat Malaysia yang patriotik dan sehat akalnya semakin merasa bimbang kerana kelompok pinggiran berkenaan beranjak semakin rapat ke dalam kubu kekuasaan dan cuba mendapatkan ruang dan naungan menerusi penyebaran mesej perkauman dan perseteruan keagamaan.
Media arus perdana dan malah juga perhimpunan agung parti politik penguasa telah dijadikan pentas untuk menyebarkan mesej perkauman dan perseteruan keagamaan seperti yang dapat kita saksikan kebelakangan ini.
Rakyat Malaysia yang waras dan bersemangat muhibah daripada semua agama perlu tampil bersatu tenaga dan daya untuk mencegah suara-suara sumbang yang menyeru ke arah kebencian, permusuhan dan sikap tidak bertolak-ansur yang cuba mencemarkan Malaysia sebagai satu model bagi masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya dalam dunia global.
Inilah cabaran besar bagi semua rakyat Malaysia yang patriotik tanpa mengira latar kaum, agama atau daerah.