Tahniah kepada Pengarah BPK Masnah kerana memberikan respons pertama yang boleh dihargai daripada kerajaan tentang pencapaian buruk Malaysia dalam TIMSS 2011 dan PISA 2012

Tahniah kepada Pengarah Bahagian Pengembangan Kurikulum Dr Masnah Ali Muda yang akhirnya telah memberikan respons pertama yang boleh dihargai daripada kerajaan tentang pencapaian buruk Malaysia dalam TIMSS 2011 (Trends in International Mathematics and Science Study) dan PISA 2012 (Programme for International Student Assessment).

Saya tidak berpuas hati sepenuhnya dengan kenyataan Masnah, namun ia menonjolkan kebaculan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang terus mengelak daripada mengakui tanggungjawab atas kemerosotan mutu pendidikan di bawah jagaan beliau.

Tidak dinafikan bahawa saya telah mendesak Muhyiddin hampir setiap hari sejak keputusan PISA 2012 diumumkan tiga minggu lalu untuk beliau berterus-terang kepada rakyat Malaysia bahawa negara ini sedang berdepan dengan krisis pendidikan dan bahawa mutu pendidikan negara ini semakin merosot sejak beliau memegang Kementerian Pendidikan pada April 2009.

Muhyiddin menjadi teraju dalam konspirasi nasional untuk membuatkan rakyat Malaysia terpedaya dengan menganggap negara ini mempunyai sistem pendidikan bertaraf dunia dengan semakin banyak pelajar mendapat markah A dalam sebuah subjek dalam peperiksaan tempatan, khususnya PMR dan SPM, sedangkan pada hakikatnya pencapaian pelajar negara kita semakin merosot seperti yang ditunjukkan menerusi ujian penilaian di peringkat antarabangsa seperti TIMSS yang diadakan untuk pelajar gred lapan (tingkatan dua) setiap empat tahun dan PISA yang diadakan untuk pelajar berusia 15 tahun setiap tiga tahun.

Muhyiddin sentiasa mengelak daripada menyentuh tentang pencapaian buruk pelajar Malaysia dalam TIMSS 2011 dan PISA 2012 dan apabila beliau semakin mendapat tekanan sejak tiga minggu lalu, beliau telah memaksa Pengarah Bahagian Pengembangan Kurikulum Kementerian Pendidikan untuk tampil berdepan dengan kritikan atas pencapaian buruk pelajar Malaysia dalam TIMSS dan PISA, sedangkan sebagai Menteri Pendidikan sepatutnya beliau yang mengambil tanggungjawab peribadi atas keputusan buruk dalam TIMSS dan PISA itu.

Antara persoalan yang telah saya kemukakan kepada Muhyiddin sejak tiga minggu lalu dan masih belum mendapat jawapan daripada beliau adalah:

  • Muhyiddin sepatutnya membentangkan pelan utuh untuk membuktikan bahawa Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia untuk meletakkan pelajar Malaysia berusia 15 tahun di tangga sepertiga teratas dalam PISA 2021 bukan "angan-angan mat jenin";
  • Muhyiddin sepatutnya meminta McKinsey & Co untuk menjelaskan bagaimana Malaysia boleh menjadi "negara ajaib" dan membuat lonjakan berganda dari tangga sepertiga tercorot ke tangga sepertiga terbaik dalam PISA 2021 atau menuntut semula wang RM20 juta yang dibayar kepada perunding itu untuk menyediakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.
  • Apakah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 telah menjadi "Pelan Pembangunan Pendidikan Ajaib" yang mengharapkan pelajar Malaysia melakukan tiga keajaiban dalam tempoh 13 tahun Tiga Gelombang Pelan Transformasi Pendidikan?
  • Muhyiddin membuat tindakan paling merugikan negara dengan mengabaikan kenyataan bahawa Malaysia berdepan dengan krisis pendidikan sejak sedekad yang lalu dan memperdaya ibu bapa yang berada dalam kelompok 40 peratus rakyat termiskin dengan gambaran palsu tentang pendidikan "bertaraf dunia" dan bermutu.
  • Apa jenis Menteri Pendidikan yang kita miliki apabila Muhyiddin sama sekali tidak peduli dan tidak berminat tentang keadaan pendidikan negara ini seperti yang dapat dilihat menerusi keputusan PISA 2012 dan laporan buruk oleh Bank Dunia?
  • Ujian penilaian mana perlu dipercayai oleh rakyat Malaysia - PMR atau PISA/TIMSS?

Pengarah Bahagian Pengembangan Kurikulum sebagai seorang kakitangan awam tidak mampu menjawab semua persoalan di atas.

Hanya Muhyiddin sebagai pemimpin politik kedua dalam kerajaan dan Menteri Pendidikan yang mampu menjawabnya.

Bilakah Muhyiddin akan berhenti menyembunyikan diri dan tampil memegang tanggungjawab sebagai seorang menteri atas krisis pendidikan negara dan kemerosotan mutu pendidikan yang dihadap negara ini sejak beliau menjadi Menteri Pendidikan?

Dalam PISA, perbezaan sebanyak 38 mata ada bersamaan dengan setahun persekolahan. Bererti dalam PISA 2009, pelajar Malaysia yang berusia 15 tahun berpencapaian seolah-olah mereka telah menempuh persekolahan selama tiga tahun kurang berbanding rakan-rakan sebaya mereka di Shanghai, Singapura, Jepun, Korea Selatan, dan Hong Kong, memandangkan pelajar Malaysia mencatatkan perbezaan mata sebanyak 100 mata berbanding rakan-rakan mereka dari negara berkenaan.

Di bawah kepimpinan Muhyiddin sebagai Menteri Pendidikan, jurang itu semakin luas sehinggakan dalam PISA 2012 pelajar Malaysia boleh dianggap ketinggalan empat hingga lima tahun berbanding rakan-rakan sebaya mereka dari Shanghai, Singapura, Jepun, Korea Selatan, Hong Kong, dan Taiwan dalam subjek matematik, sains dan bacaan.

Sebagai Menteri Pendidikan, apakah Muhyiddin akan mengakui tanggungjawab atas kemerosotan sistem pendidikan yang begitu mengejutkan sejak empat tahun lalu dan tidak melepaskan tanggungjawab tersebut kepada kakitangan awam?

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah