Penilaian mana yang sepatutnya diyakini oleh rakyat Malaysia - PMR atau PISA/TIMSS
Saya sertai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada pelajar-pelajar cemerlang ujian Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini, khususnya 30,988 atau 7.33 peratus dari 462,940 pelajar yang telah menduduki ujian PMR di seluruh negara yang telah mencapai gred A dalam semua subjek - peningkatan sebanyak 0.41 peratus atau 514 pelajar dari tahun lepas.
Bagaimanapun, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri masih membisu tentang keputusan ujian TIMSS 2011 dan PISA 2012 yang menunjukkan tahap pencapaian pelajar Malaysia adalah amat rendah menurut ukuran antarabangsa. Mereka perlu menjelaskan mengapa terdapat perbezaan besar pada keputusan ujian PMR di peringkat tempatan berbanding keputusan ujian antarabangsa seperti TIMSS 2011 dan PISA 2012.
Sebanyak 7.33 peratus pelajar telah mendapat gred A dalam semua subjek PMR, bererti sistem pendidikan Malaysia telah menghasilkan lebih dari tujuh peratus pelajar cemerlang bertaraf antarabangsa yang setanding dengan rakan-rakan sebaya mereka di negara lain.
Bagaimanapun, keadaan ini tidak tercermin pada keputusan TIMSS 2011 dan PISA 2012.
TIMSS 2011 menunjukkan hanya dua peratus daripada pelajar Malaysia yang ikut serta dalam ujian itu berjaya mencatatkan gred tinggi "Advanced International Benchmark" dalam ujian matematik berbanding 49 peratus pelajar Taiwan, 48 peratus pelajar Singapura, 47 peratus pelajar Korea Selatan, 34 peratus pelajar Hong Kong, 27 peratus pelajar Jepun dan 14 peratus pelajar Russia.
Lebih menggusarkan, keputusan ujian antarabangsa itu menunjukkan bahawa tahap pencapaian pelajar Malaysia terus-menerus merosot, terutamanya sejak satu setengah dekad yang lalu memandangkan jumlah pelajar yang mencapai "Advanced International Benchmark" TIMSS dalam ujian matematik telah merosot dengan banyak dari 10% pada tahun 1999 ke 2% pada tahun 2011, sedangkan peratusan pelajar-pelajar cemerlang dari negara di tangga atas TIMSS semakin meningkat, misalnya peratus pelajar cemerlang Taiwan meningkat dari 37% pada tahun 1999 ke 49% pada tahun 2011; Singapura dari 42% ke 48%; Korea Selatan dari 32% ke 47% dan Hong Kong dari 28% ke 34%.
Mengapa tahap pencapaian sistem pendidikan Malaysia semakin merosot sedangkan pencapaian negara lain semakin jauh meningkat sejak satu setengah dekad yang lalu?
Dalam PISA 2012, hanya 1.3 peratus pelajar Malaysia tergolong sebagai "pelajar cemerlang" dalam matematik (iaitu mencapai Tahap 5 atau 6) berbanding Shanghai-China (55.4%), Singapura (40%), Taiwan (37.2%), Hong Kong (33.7%) dan Korea Selatan (30.9%). Sekitar 15% hingga 25% pelajar Belgium, Kanada, Finland, Jerman, Jepun, Liechtenstein, Macao, Netherlands, New Zealand, Poland, dan Switzerland adalah pelajar cemerlang.
Selain itu, pencapaian 5% pelajar terbaik Malaysia hanya setaraf pelajar biasa dari Korea dan Jepun.
Lebih membimbangkan, lebih separuh pelajar Malaysia (51.8%) tidak mencapai tahap keupayaan asas dalam Matematik (iaitu di bahawa Tahap 2).
Bolehkah Najib atau Muhyiddin jelaskan perbezaan besar antara keputusan ujian dalam negara dengan keputusan ujian antarabangsa yang berprestij?
Ujian atau penilaian mana yang sepatutnya diyakini oleh rakyat Malaysia - ujian dalam negara atau penanda aras pendidikan antarabangsa?