Muhyiddin melakukan tindakan paling merugikan negara dengan mengabaikan kenyataan bahawa Malaysia berdepan dengan krisis pendidikan sejak sedekad yang lalu dan memperdaya ibu bapa yang berada dalam kelompok 40 peratus rakyat termiskin dengan gambaran palsu tentang pendidikan 'bertaraf dunia' dan bermutu
Tindakan paling merugikan negara yang dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin ialah mengabaikan kenyataan bahawa Malaysia berdepan dengan krisis pendidikan sejak sedekad yang lalu dan memperdaya ibu bapa yang berada dalam kelompok 40 peratus rakyat termiskin dengan gambaran palsu tentang pendidikan "bertaraf dunia" dan bermutu.
Pada hakikatnya, standard pendidikan di Malaysia, sama ada di peringkat sekolah rendah dan menengah atau universiti, telah merosot dengan teruk sepanjang satu dekad yang lalu.
Kenyataan CEO Institute for Democracy and Economic Affairs (Ideas) Wan Saiful Wan Jan kelmarin seharusnya difikirkan dengan serius oleh semua rakyat Malaysia.
Wan Saiful menuduh kerajaan Barisan Nasional mengambil kesempatan daripada kepercayaan yang diberikan kepada mereka oleh golongan miskin dengan mencipta "ilusi" bahawa sistem pendidikan negara ini telah melalui pembaharuan.
Menurut beliau, kajian yang dilakukan oleh badan pemikir yang diterajuinya menunjukkan bahawa ibu bapa yang berada dalam kelompok 40 peratus rakyat termiskin umumnya gembira dengan mutu guru sekolah dan guru dalam negara, sedangkan hakikatnya anak-anak mereka berada dalam keadaan tidak baik jika diukur berdasarkan piawaian antarabangsa.
Wan Saiful membangkitkan soal jurang antara "persepsi dan realiti" dan memberitahu bahawa ibu bapa terbabit mempunyai perepsi yang amat positif terhadap sekolah kita, sedangkan lulusan sekolah di negara ini mencatatkan pencapaian buruk dalam penilaian di peringkat antarabangsa.
Menurut Wan Saifullagi, pihak yang memegang kuasa tampaknya "amat mahir" membentuk pandangan golongan miskin tentang mutu pendidikan dalam negara.
Ujar beliau: "Terlalu banyak 'ilusi tentang pembaharuan' yang dibentuk menerusi pelbagai pengumuman yang dibuat oleh kerajaan. Namun kita mesti ingat bahawa semua itu hanya pengumuman.
"Kepercayaan yang diberikan oleh golongan miskin tidak sepatutnya disalah guna. Mereka mmerlukan pembaharuan sekolah yang sebenar untuk membantu generasi berikutnya keluar dari kitaran kemiskinan."
Beliau juga menyebut bahawa persepsi seharusnya tidak terlalu jauh berbeza daripada realiti jika rakyat Malaysia mahu memelihara masa depan anak-anak mereka.
"Namun realiti pada masa ini nampak suram," ujar beliau.
Wan Saiful berdiplomasi apabila beliau menggunakan istilah "ilusi" tentang pendidikan Malaysia yang konon "bertaraf dunia" sehinggakan ibu bapa yang berada dalam kelompok 40 peratus rakyat termiskin merasa "gembira" kerana anak-anak mereka mendapat pendidikan bermutu.
Bagi saya "delusi" adalah lebih tepat untuk digunakan berbanding "ilusi", kerana yang dilakukan oleh Muhyiddin dan para pemimpin Barisan Nasional ialah menakluk dan menghambakan pemikiran rakyat Malaysia, khususnya ibu bapa yang berada dalam kelompok 40 peratus rakyat termiskin dan penduduk luar bandar.
Dalam PISA 2012 (Programme of International Student Assessment), pelajar Indonesia diakui sebagai pelajar paling gembira di sekolah walaupun mereka mencatatkan keputusan yang tidak baik dalam ujian PISA, iaitu di tangga kedua terbawah bagi subjek matematik, sains dan bacaan.
Indonesia berada di tangga ke-64 dari 65 negara yang ikut serta dalam ujian tiga tahunan itu. Mata purat bagi pelajar Indonesia adalah: 375 mata untuk matematik, 382 sains dan 396 bacaan. Mata yang dicatatkan pelajar negara itu hanya sedikit lebih baik daripada pencapaian pelajar Peru yang berada di tangga terbawah. Pelajar Peru ditempatkan di tangga ketiga teratas dari segi kegembiraan pelajar di sekolah.
Nampaknya pelajar dan ibu bapa Malaysia mencontohi Indonesia - "gembira" dengan tahap pendidikan walaupun berpencapaian buruk dalam ujian antarabangsa.
PISA menempatkan pelajar Malaysia di tangga ke-6 paling gembira di sekolah, di belakang Indonesia, Albania, Peru, Thailand, dan Colombia, dengan 90 peratus pelajar "gembira di sekolah", walaupun Malaysia berada di tangga sepertiga tercorot, iaitu di tangga ke-52 dari 65 negara, dalam ujian akademik PISA 2012.
Muhyiddin perlu bertanggungjawab atas "ilusi" atau, lebih tepat, "delusi" ibu bapa dan pelajar Malaysia yang berada dalam kelompok 40 peratus keluarga termiskin yang merasa mereka adalah pelajar bertaraf dunia dan mendapat pendidikan bermutu. Ini kerana Muhyiddin telah berpakat untuk menyembunyikan hakikat sebenar daripada ibu bapa Malaysia tentang krisis keyakinan yang didepani Malaysia sejak beliau menjadi Menteri Pendidikan pada tahun 2009.
Malah, Muhyiddin terus menyembunyikan daripada pengetahuan ibu bapa dan orang awam keputusan buruk pelajar Malaysia dalam TIMSS 2011, iaitu apabila Malaysia mencatatkan keputusan terburuk berbanding 25 buah negara yang terlibat dalam TIMSS 1995 atau 1999 hingga 2011, selain mencatatkan kemerosotan mata paling banyak secara keseluruhan (79 mata) bagi subjek matematik, diikuti oleh Sweden (merosot 55 mata) dan Thailand (merosot 40 mata).
Dalam TIMSS 1999, mata Malaysia bagi subjek Matematik (519) dan Sains (492) berada di atas purata antarabangsa dan Malaysia menduduki tangga ke-16 di kalangan 38 buah negara bagi Matematik dan ke-22 bagi Sains.
Menjelang tahun 2011, mata Matematik telah jatuh ke 440 mata (ke-26 di kalangan 42 negara), manakala mata Sains merosot ke 426 mata (ke-32 di kalangan 42 negara).
Dalam empat TIMSS dari tahun 1999-2011, Malaysia adalah negara paling teruk merosot matanya di kalangan negara yang terbabit dalam ujian bagi kedua-dua subjek matematik dan sains: mata matematik merosot sebanyak 79 mata dari 519 di tahun 1999 ke 440 pada tahun 2011; mata sains merosot sebanyak 66 mata dari 492 di tahun 1999 ke 426 mata di tahun 2011.
Hampir 38 peratus pelajar Malaysia tidak mencapai tahap penanda aras minimum bagi matematik dan sains di tahun 2011. Jumlah ini hampir dua kali lebih banyak sejak tahun 2007 dan lima kali bebih tinggi daripada di tahun 1999.
Muhyiddin tidak pernah memaklumkan kepada rakyat Malaysia bahawa negara ini sedang berdepan dengan krisis keyakinan yang parah berkenaan standard pendidikan kita. Beliau membiarkan rakyat Malaysia, khususnya golongan 40 peratus termiskin, percaya bahawa sistem pendidikan Malaysia bertaraf dunia dan akan menjadi lebih baik nanti setelah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia akan melonjakkan negara ke tangga sepertiga teratas di dunia dalam tempoh 13 tahun.
Sehingga kini, walaupun pencapaian kita dalam TIMSS 2011 dan PISA 2012 adalah buruk, Muhyiddin masih enggan berterus-terang dan mengakui bahawa matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 untuk mendaki ke tangga sepertiga teratas dalam TIMSS dan PISA adalah tidak realistik, tidak tercapai, dan adalah sebuah utopia.
Bilakah Muhyiddin akan berterus-terang di depan rakyat Malaysia bahawa kita berdepan dengan krisis kemerosotan mutu pendidikan sejak sedekad lalu seperti yang ditonjolkan menerusi TIMSS 2011 dan PISA 2012 serta berhenti menghasilkan "ilusi" dan "delusi" pendidikan agar rakyat Malaysia sedar tentang keadaan sebenar betapa sistem pendidikan Malaysia perlu mengambil masa lebih lama untuk mencapai taraf dunia?
Masa telah tiba untuk Muhyiddin tampil secara langsung di kaca TV untuk membuat pengakuan tentang kelemahannya dalam menangani pendidikan.