Apa jenis Menteri Pendidikan yang kita miliki apabila Muhyiddin sama sekali tidak peduli dan tidak berminat tentang keadaan pendidikan negara ini seperti yang dapat dilihat menerusi keputusan PISA 2012 dan laporan buruk oleh Bank Dunia

Negara kita telah mempunyai 15 menteri pendidikan dalam tempoh 58 tahun sejak 1955 dan perdana menteri kedua hingga perdana menteri keenam semuanya pernah memimpin kementerian yang penting ini, bermula dengan Tun Razak (1955-57), Tun Hussein Onn (1970-73), Tun Dr. Mahathir Mohamad (1974-78), Tun Abdullah Badawi (1984-86) dan Datuk Seri Najib Razak (1995-99).

Antara bekas menteri pendidikan yang lain termasuklah Tan Sri Mohamed Khir Johari (1957-59, 1965-69), Tun Abdul Rahman Ya'kub (1969-70), Tun Musa Hitam (1978-81), Datuk Seri Anwar Ibrahim (1986-91) dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein (2004-2009).

Namun Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengambil alih Kementerian Pendidikan lebih dari empat tahun lalu, iaitu pada tahun 2009, berkemungkinan akan dikenal sebagai Menteri Pendidikan paling buruk dan paling tidak bertanggungjawab pernah dimiliki oleh negara ini dalam sejarah.

Rakyat Malaysia tertanya-tanya apa jenis menteri pendidikan yang mereka miliki apabila Muhyiddin sama sekali tidak peduli dan tidak berminat tentang keadaan pendidikan negara ini seperti yang dapat dilihat sejak dua minggu lalu menerusi keputusan PISA 2012 dan laporan buruk oleh Bank Dunia tentang "High-Performing Education".

Muhyiddin belum memberi walau sepatah kata ulasan tentang keputusan PISA 2012 sejak ia diumumkan dua minggu lalu, iaitu pada 3 Disember, atau tentang laporan Malaysia Economic Monitor yang diterbitkan oleh Bank Dunia dengan tema "High-Performing Education" seminggu lalu, pada 10 Disember.

Menteri pendidikan yang bertanggungjawab pasti akan tampil di Parlimen pada 4 atau 5 Disember lalu (ketika Dewan Rakyat masih bersidang dan memandangkan Kementerian Pendidikan seharusnya mempunyai maklumat mendalam tentang keputusan PISA 2012) untuk memberi kenyataan tentang pencapaian Malaysia dalam PISA 2012, bukan saja tentang hubungannya dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, malah juga tentang mengapa Pasukan Khas TIMSS dan PISA Kementerian Pendidikan yang telah dibentuk untuk memperbaiki pencapaian Malaysia dalam TIMSS 2011 dan PISA 2012 telah gagal teruk.

Ketika saya mengusulkan agar potongan gaji sebanyak RM10 dibuat ke atas Hishamuddin sebagai menteri pendidikan di Parlimen pada 27 November 2006, saya mengemukakan tiga alasan bagi usul tidak percaya terhadap beliau.

Ada lebih dari sepuluh alasan untuk mengemukakan usul tidak percaya terhadap Muhyiddin sebagai Menteri Pendidikan, sebuah kementerian yang paling penting dalam kerajaan kerna ia memberi kesan terhadap masa depan negara kita dan generasi baru rakyat Malaysia.

Kelmarin, dalam sebuah forum untuk merayakan ulang tahun ketiga Program Transformasi Ekonomi, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapha Mohamad telah turut menyatakan bahawa sistem pendidikan negara ini memerlukan "baik pulih segera" untuk menghasilkan tenaga kerja mahir yang amat diperlukan oleh negara ini untuk menghasilkan pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan lestari.

Mungkin masa telah tiba untuk perbincangan diadakan di seluruh negara sama ada Muhyiddin sepatutnya meletak jawatan sebagai Menteri Pendidikan jika Malaysia benar-benar serius hendak menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi, lestari dan inklusif. Pihak yang berkenaan perlu menyatakan sebab mengapa negara ini amat memerlukan seorang menteri pendidikan yang lebih komited, berdedikasi, dan berwawasan yang mampu mencegah kemerosotan tahap pendidikan Malaysia yang berlaku sejak dekad yang lalu di semua peringkat persekolahan rendah dan menengah sampai ke peringkat pengajian tinggi dan seterusnya mengubah Malaysia dari sebuah negara yang semakin serba sederhana pencapaiannya dalam bidang pendidikan menjadi sebuah negara berpencapaian cemerlang.

Saya terkejut dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala yang menyebut bahawa walaupun Malaysia ingin menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia hanya akan membuahkan hasil dalam masa 20 tahun.

Nampaknya RM20 juta yang dibelanjakan untuk membayar McKinsey & Co untuk menyediakan pelan berkenaan telah menyebabkan rakyat Malaysia ditipu, kerana selama ini kita diberitahu bahawa pelan transformasi pendidikan dalam tempoh 13 tahun itu akan memberikan natijah penuh menjelang tahun 2025.

Nampaknya Idris bersetuju dengan kritikan saya terhadap pelan tersebut sebagai "Pelan Pembangunan Ajaib" kerana menetapkan matlamat yang tidak praktikal, tidak realistik, atau mampu dicapai menerusi tiga Gelombang transformasi dalam tempoh 13 tahun dari tahun 2013 hingga 2025:

  • Gelombang 1 (2013-15) untuk "memperbaiki sistem dengan menyokong guru-guru dan memberi tumpuan terhadap kemahiran teras";
  • Gelombang 2 (2016-20) untuk "memacu penambahbaikan sistem"; dan
  • Gelombang 3 (2021-25) untuk "bergerak ke arah kecemerlangan dalam keadaan keupayaan operasi yang semakin anjal."

Saya telah menyebut bahawa pelan itu lebih sesuai diberi nama "Pelan Pembangunan Pendidikan Ajaib" kerana sasaran untuk meningkatkan mutu sistem pendidikan negara ini dalam tempoh 13 tahun sehingga menduduki tangga sepertiga teratas di kalangan negara yang terlibat dalam PISA dan TIMSS memerlukan pelajar Malaysia melakukan beberapa keajaiban dalam setiap ujian PISA pada tahun 2015, 2018 dan 2021:

  • Dalam PISA 2015, melonjak naik dari tangga sepertiga tercorot dengan mendapatkan sekurang-kurangnya 450 mata dalam matematik, iaitu peningkatan sebanyak 29 mata dari 421 mata yang diperolehi dalam PISA 2021;
  • Dalam PISA 2018, mendapatkan mata purata PISA, iaitu 500 mata dan peningkatan sebanyak 50 mata; dan
  • Dalam PISA 2021, mencecah nilai ambang 532 untuk negara sepertiga teratas, iaitu peningkatan 32 mata.

Tiada negara pernah melakukan keajaiban sedemikian dalam ujian-ujian PISA sebelum ini, iaitu pada tahun 2003, 2006, 2009 dan 2012, kerana sejauh ini peningkatan mata terbanyak dalam matematik yang dilakukan menerusi empat ujian PISA dilakukan oleh Brazil (35 mata), Tunisia (29), Poland (28) Mexico (28) Turki (25) dan Portugal (21).

Saya setuju dengan Idris bahawa kita tidak patut bermain politik dalam soal pendidikan dan bahawa Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat perlu bekerjasama untuk memastikan bahawa sistem pendidikan kita akan membuahkan kejayaan - bahawa BN dan PR boleh berbalah tentang isu-isu lain selain pendidikan, kerana bidang ini perlu diperbaiki untuk mengekalkan daya saing Malaysia.

Namun, apakah menteri dan pemimpin BN yang lain bersetuju dengan Idris untuk mengenepikan politik kepartian dan meletakkan masa depan pendidikan anak-anak kita sebagai satu keutamaan teratas supaya Malaysia dapat menjadi sebuah ekonomi berdaya saing, berpendapatan tinggi, lestari dan inklusif?

Sebagai permulaan, Kabinet dan kepimpinan Barisan Nasional perlu sanggup untuk menghentikan keajaiban pelan pembangunan pendidikan dan bekerjasama dengan Pakatan Rakyat untuk mencegah kemerosotan tahap pendidikan dengan memperkenalkan pembaharuan tulen dalam bidang pendidikan bagi memastikan kecemerlangan untuk semua pelajar.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah