'Pelan Pembangunan Pendidikan Ajaib' Muhyiddin menjangka pelajar Malaysia akan melahirkan tiga keajaiban dalam masa 13 tahun menerusi Tiga Gelombang Pelan Transformasi Pendidikan

Keputusan PISA 2012 dianggap sebagai petanda amaran oleh banyak negara dan mendorong mereka memikirkan semula keberkesanan dan daya saing sistem pendidikan masing-masing berbanding beberapa negara lain. Antara negara berkenaan adalah Finland yang jatuh daripada kedudukannya sebagai negara OECD berpencapaian terbaik apabila mendapat hanya 519 mata untuk matematik, manakala Kanada mendapat 518 mata, Australia 504 mata, New Zealand 500, United Kingdom 494 dan Amerika Syarikat 481.

Semua negara tersebut di atas mencatatkan mata di atas purata OECD bagi matematik, kecuali UK yang memperolehi mata separas dengan purata OECD dan AS pula di bawah purata OECD.

Malaysia pula memperolehi 421 mata dalam matematik, jauh di belakang negara-negara tersebut, manakala pelajar Malaysia yang berusia 15 tahun pula ketinggalan sekitar 1.6 hingga 2.6 tahun persekolahan berbanding rakan sebaya mereka dari Finland, Kanada, Australia, New Zealand, UK dan AS.

Dalam pada para pemimpin politik, termasuk menteri-menteri pendidikan dan pegawa-pegawai setaraf mereka, perancang pendidikan, dan ibu-bapa di Finland, Kanada, Australia, New Zealand, UK, dan AS, berdebat hangat tentang keputusan PISA 2012, pihak bertanggungjawab di Malaysia, diterajui oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, menunjukkan sikap tidak endah tentang prestasi buruk Malaysia dalam PISA 2012.

Telah hampir genap dua minggu sejak keputusan PISA 2012 keluar, namun Muhyiddin belum memberi walau sepatah kata ulasan tentang keputusan ujian itu, waaupun Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015 yang diterajui Muhyiddin sendiri menetapkan matlamat utama untuk menduduki tangga sepertiga teratas di kalangan negara yang menyertai PISA dan TIMSS (Trends in International Mathematics and Science Survey).

Muhyiddin mengelak daripada membincangkan keputusan PISA 2012 dan enggan mengaku bertanggungjawab atas keputusan yang buruk itu walaupun beliau telah menjadi Menteri Pendidikan sejak PISA 2009 lagi.

Sebaliknya, beliau membiarkan Kementerian Pendidikan mengeluarkan kenyataan seminggu setelah keputusan PISA 2012 diumumkan - kenyataan yang lebih membingungkan dan bukannya menjernihkan permasalahan pendidikan yang sedang dihadapi oleh negara.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan tanpa memuatkan sumber dan nama pegawai bertanggungjawab pada hari Selasa, 10 Disember lalu menyebut:

"Walaupun keputusan PISA 2012 tidak begitu memberansangkan, kementerian percaya bahawa Malaysia mampu memperbaiki kedudukan dalam PISA 2015 menerusi penerapan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang telah dilancarkan pada 6 September."

Menurut kenyataan tersebut, sebagai langkah segera, Kementerian Pendidikan telah menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk memperbaiki kedudukan pelajar Malaysia dalam PISA.

Jawatankuasa berkenaan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) dan PISA itu akan diketuai oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum kementerian tersebut dan akan mengenal pasti serta memantau inisiatif yang perlu dilaksanakan untuk program penilaian antarabangsa bagi pelajar.

Siapa manusia-manusia ajaib tidak bernama dan tidak berwajah ini yang bertanggungjawab untuk memastikan pelajar Malaysia membuat lonjakan berganda dari tangga sepertiga tercorot ke tangga sepertiga teratas dalam penilaian antarabangsa seperti PISA dan TIMSS?

Kenyataan di atas adalah amat tidak jujur dan tidak bertanggungjawab kerana pada hakikatnya pasukan khas untuk PISA dan TIMSS bukan baru dibentuk pada 3 Disember 2013, iaitu selepas mendapat keputusan PISA 2012, sebaliknya ia telah pun dibentuk selepas keputusan TIMSS 2007 dan PISA 2009 keluar bagi memastikan Malaysia mampu memperbaiki pencapaian dalam TIMSS 2011 dan PISA 2012.

Ternyata pasukan khas berkenaan gagal besar, memandangkan keputusan TIMSS 2011 dan PISA 2012 lebih buruk daripada sebelumnya, iaitu TIMSS 2007 dan PISA 2009.

Malaysia ikut serta dalam TIMSS buat pertama kali pada tahun 1999. Mata negara ini bagi subjek Matematik (519) dan Sains (492) berada di atas purata antarabangsa dan Malaysia menduduki tangga ke-16 di kalangan 38 buah negara bagi Matematik dan ke-22 bagi Sains.

Dalam TIMSS 2003, pencapaian Malaysia hampir sama dengan dengan di tahun 1999. Mata Sains malah meningkat sedikit, kekal di atas purata antarabangsa, manakala mata Matematik merosot sedikit tetapi masih di atas purata antarabangsa dan kedudukan negara kita meningkat ke tangga ke-10 di kalangan 45 buah negara.

TIMSS 2007 dan 2011 menunjukkan kemerosotan jelas pada pencapaian pelajar Malaysia berbanding pelajar sebaya mereka di negara-negara lain.

Menjelang tahun 2011, mata Matematik telah jatuh ke 440 mata (ke-26 di kalangan 42 negara), manakala mata Sains merosot ke 426 mata (ke-32 di kalangan 42 negara).

Dalam empat TIMSS dari tahun 1999-2011, Malaysia adalah negara paling teruk merosot matanya di kalangan negara yang terbabit dalam ujian bagi kedua-dua subjek matematik dan sains: mata matematik merosot sebanyak 79 mata dari 519 di tahun 1999 ke 440 pada tahun 2011; mata sains merosot sebanyak 66 mata dari 492 di tahun 1999 ke 426 mata di tahun 2011.

Hampir 38 peratus pelajar Malaysia tidak mencapai tahap penanda aras minimum bagi matematik dan sains di tahun 2011. Jumlah ini hampir dua kali lebih banyak sejak tahun 2007 dan lima kali bebih banyak daripada di tahun 1999.

Untuk PISA 2009 dan 2012, Malaysia jatuh ke tangga sepertiga tercorot bagi subjek matematik, sains, dan bacaan, di bawah purata antarabangsa dan OECD. Lebih separuh pelajar Malaysia tidak mencapai tahap keupayaan yang memadai dalam subjek matematik - dalam ungkapan mudah, mereka telah gagal.

Pasukan khas TIMSS dan PISA Kementerian Pendidikan untuk memperbaiki pencapaian Malaysia dalam TIMSS 2011 dan PISA 2012 dengan itu boleh dianggap telah gagal teruk, maka tiada alasan untuk mengeluarkan kenyataan yang mempamerkan sikap acuh tidak acuh dan yakin keterlaluan seperti kenyataan yang dikeluarkan pada 10 Disember lalu dengan menyebut bahawa "Malaysia mampu memperbaiki kedudukan dalam PISA 2015 menerusi penerapan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang telah dilancarkan pada 6 September."

Muhyiddin sebenarnya perlu memberi penjelasan kepada rakyat Malaysia mengapa pasukan khas TIMSS dan PISA Kementerian Pendidikan telah gagal memperbaiki prestasi pelajar Malaysia dalam TIMSS 2011 dan PISA 2012.

Kementerian Pendidikan berhelah apabila ia menyatakan bahawa ia akan berpuas hati jika Malaysia memperbaiki pencapaian dalam PISA 2015.

Cuba kita lihat apa yang dijanjikan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan. Rakyat Malaysia dijanjikan dengan "tiga gelombang pembaharuan" dalam tempoh 13 tahun transformasi pendidikan pelan itu - Gelombang 1 (2013-2015), Gelombang 2 (2016-2020) dan Gelombang 3 (2021-25).

Gelombang 1 ialah untuk "memperbaiki sistem dengan menyokong guru-guru dan memberi tumpuan terhadap kemahiran teras"; Gelombang 2 untuk "memacu penambahbaikan sistem" dan Gelombang 3 untuk "bergerak ke arah kecemerlangan dalam keadaan keupayaan operasi yang semakin anjal."

Menjelang Gelombang 2 (2016-2020), prestasi Malaysia akan separas dengan purata antarabangsa pada kitaran PISA dan TIMSS berikutnya dan menjelang Gelombang 3 (2021-2025), pencapaian Malaysia akan berada di tangga sepertiga teratas dalam PISA dan TIMSS.

Apa makna semua ini dari segi pelaksanaan?

Untuk berada di paras purata antarabangsa PISA (500 mata) dalam Gelombang 2 (2016-2020), Malaysia perlu meraih sekurang-kurangnya 500 mata dalam PISA 2018.

Kini Malaysia terperuk di tangga sepertiga tercorot dalam PISA untuk ketiga-tiga subjek, iaitu 421 mata untuk matematik, 420 mata sains, dan 398 bacaan.

Untuk mencapai 500 mata purata PISA dalam PISA 2018, bererti dalam PISA 2015 Malaysia perlu mendaki ke tangga pertengahan, bererti ia perlu mendapat 450 mata untuk matematik, 446 mata sains, dan 442 mata bacaan, agar ia berada pada kedudukan yang baik dalam Gelombang 2 untuk meningkatkan mata ke paras purata antarabangsa, iaitu 500 mata, dalam PISA 2018.

Bererti, dalam PISA 2015 Malaysia perlu membuat keajaiban dan meningkatkan sebanyak 29 mata untuk matematik, 26 mata untuk sains, dan 44 mata untuk bacaan; seterusnya ia perlu melakukan satu lagi keajaiban untuk mencapai 500 mata dengan meningkatkan 50 mata untuk matematik, 54 sains dan 58 bacaan dalam PISA 2018.

Malaysia malah perlu melakukan keajaiban ketiga untuk menduduki tangga sepertiga teratas PISA dalam Gelombang 3, memandangkan nilai ambang untuk naik ke tangga itu ialah 532 mata untuk matematik, 511 sains dan 508 bacaan.

Tiada negara pernah membuat keajaiban sedemikian, tetapi Muhyiddin menjangkakan pelajar Malaysia mampu melakukannya dalam masa 13 tahun!

Semua angka di atas berasaskan keputusan PISA 2012, namun ujian PISA 2003, 2006, 2009 dan 2012 menunjukkan nilai ambang sentiasa meningkat, misalnya Hong Kong di tahun 2003 menunjukkan pencapaian terbaik dalam matematik dengan 550 mata, tetapi dalam PISA 2012 Shanghai mencatatkan 613 mata untuk subjek itu.

Apakah maksud Kementerian Pendidikan apabila ia mengatakan yakin bahawa Malaysia boleh memperbaiki pencapaian dalam PISA 2015?

Apakah kementerian itu akan menganggap pencapaian Malaysia meningkat jika mata bagi setiap subjek meningkat serba satu mata, iaitu dari 421 mata matematik dalam PISA 2012 meningkat ke 422 di tahun 2015, mata sains dari 420 meningkat ke 421 dan bacaan dari 398 meningkat ke 399?

Peningkatan sebegini mengabaikan sepenuhnya matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan untuk mencapai tangga sepertiga teratas dalam PISA 2021 yang memestikan Malaysia untuk meraih dalam Gelombang 1 sebanyak 450 mata matematik, 446 mata sains dan 442 mata bacaan dalam PISA 2015!

Mampukah Muhyiddin melakukan tiga keajaiban pendidikan untuk Malaysia dalam tempoh 13 tahun?

Jika direnung, ternyata julukan "Pelan Pembangunan Pendidikan Ajaib" Muhyiddin adalah agak padan dan bersesuaian.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah