DAP menyeru agar dibentuk transformasi pendidikan yang tulen bagi memastikan 'kecemerlangan pendidikan untuk semua pelajar' dan bukan hanya untuk 1.3% pelajar yang 51% daripada mereka gagal

Menteri Pendidikan sekarang, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan menteri pendidikan sebelum beliau, Datu Seri Hishamuddin Hussein, perlu dipertanggungjawabkan atas kemerosotan tahap pendidikan di Malaysia sejak sepuluh tahun lalu, seperti yang boleh dilihat pada TIMSS (Trends in International Mathematics and Science Study) 2007 dan 2011 serta PISA (Programme for International Student Assessment) 2009 dan 2012.

Hishammuddin merupakan menteri pendidikan di antara tahun 2004 hingga 2009 dan kerana itu beliau patut dipertanggungjawabkan atas prestasi buruk Malaysia dalam TIMSS 2007 dan PISA 2009, manakala Muhyiddin pula yang mengambil alih kementerian berkenaan pada April 2009 perlu dipertanggungjawabkan atas prestasi Malaysia dalam TIMSS 2011 dan PISA 2012.

Pencapaian pelajar Malaysia dalam ujian penilaian antarabangsa adalah penting bagi saya secara peribadi kerana saya yang bertanggungjawab melibatkan Malaysia dalam penilaian pendidikan global.

Pada tahun 1996, saya telah bertemu dengan menteri pendidikan ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak, dan meyakinkan beliau bahawa Malaysia perlu ikut serta dalam TIMSS. Saya sendiri telah mengirim emel kepada penganjur TIMSS yang berpangkalan yang Netherlands, iaitu International Association for the Evaluation of Educational Achievement (IEA), untuk bertanya tentang penyertaan Malaysia dalam TIMSS, memandangkan Malaysia ketika itu belum terlibat dalam penilaian empat tahunan TIMSS untuk pelajar Gred Lapan (Tingkatan Dua).

Najib bersetuju dengan saya bahawa Malaysia patut ikut serta dalam penilaian pendidikan antarabangsa untuk membolehkan kita mengetahui pencapaian pelajar Malaysia berbanding pelajar-pelajar di negara lain. Malaysia lalu ikut serta dalam penilaian pendidikan global TIMSS 1999.

Dalam TIMSS 1999, mata Malaysia bagi subjek Matematik dan Sains (masing-masing 519 dan 492) berada di atas tahap purata antarabangsa, di tangga ke-16 di kalangan 38 negara bagi subjek Matematik dan di tangga ke-22 bagi subjek Sains.

Dalam TIMSS 2003, prestasi Malaysia hampir sama dengan tahun 1999. Mata Sains meningkat dan berada di atas tahap purata antarabangsa, manakala mata Matematik pula merosot sedikit tetapi masih di atas tahap purata antarabangsa dan kedudukan Malaysia meningkat ke tangga ke-10 di kalangan 45 buah negara.

Dalam respons terhadap keputusan TIMSS 2003 pada bulan Disember 2004, saya telah mengingatkan Hishammuddin supaya tidak terlalu girang dengan prestasi Malaysia dan menyarankan supaya sebuah jawatankuasa khas dibentuk untuk meneliti keputusan TIMSS 2003 dan menyusun strategi untuk meletakkan Malaysia di kalangan lima negara terbaik dalam penilaian TIMSS di masa depan.

Dalam TIMSS 2003, pelajar Asia mendominasi ujian matematik dan sains, dengan Singapura mencatatkan pencapaian terbaik dalam kedua-dua bidang itu, seperti yang boleh dilihat pada keputusan di bawah:

Pelajar Gred Lapan:

Lima terbaik dalam Matematik (dengan mata)

  1. Singapura 605
  2. Korea Selatan 589
  3. Hong Kong 586
  4. Taiwan 585
  5. Jepun 570

Purata Antarabangsa 466

Lima terbaik dalam Sains

  1. Singapura 578
  2. Taiwan 571
  3. Korea Selatan 558
  4. Hong Kong 556
  5. Estonia & Jepun 552

Purata Antarabangsa 473

Saya menyebut pada bulan Disember 2004 bahawa jika Malaysia tidak mampu mendaki ke tangga lima terbaik, sekurang-kurangnya kita boleh mencapai tangga keenam dalam kedua-dua ujian matematik dan sains.

Malangnya, prestasi Malaysia merosot teruk dalam TIMSS 2007 dan 2011 berbanding pelajar-pelajar di negara lain.

Menjelang tahun 2011, mata Matematik Malaysia telah turun e 440 mata (ke-26 di kalangan 42 negara), manakala mata Sains merosot ke 426 mata (ke-32 di kalangan 42 negara).

Hampir 38 peratus pelajar Malaysia gagal mencatatkan mata yang baik dalam bidang Matematik dan Sains pada tahun 2011, jumlah ini dua kali ganda lebih tinggi daripada di tahun 2007 dan lima kali lebih tinggi berbanding di tahun 1999.

Malaysia ikut serta dalam penilaian tiga tahunan PISA untuk pelajar berusia 15 tahun pada tahun 2009 dan 2012 serta mencatatkan prestasi buruk apabila terjerumus ke tangga sepertiga tercorot bagi subjek Bacaan, Matematik, dan Sains, selain berada di bawah purata antarabangsa dan OECD.

Paling membimbangkan, PISA 2012 menunjukkan lebih separuh daripada pelajar Malaysia (51.8%) yang terlibat dalam ujian tersebut tidak mempunyai keupayaan asas yang mencukupi dalam subjek Matematik, iaitu di bawah "Tahap 2" dan hanya 1.3% pelajar tergolong sebagai pelajar berpencapaian terbaik (Tahap 5 atau 6 dalam PISA 2012).

Sebagai perbandingan, Shanghai-China memiliki pelajar berpencapaian terbaik, iaitu pada Tahap 5 atau 6, paling banyak (55.4%), diikuti oleh Singapura (40%), Taiwan (37.2%), Hong Kong (33.7%) dan South Korea (30.9%). Sekitar 15 hingga 25 peratus pelajar Belgium, Kanada, Finland, Jerman, Jepun, Liechtenstein, Macao, Netherlands, New Zealand, Poland, dan Switzerland mencatatkan prestasi terbaik dalam matematik.

Pencapaian dalam PISA 2012 ini tidak selari dengan data dalam negara kerana menurut keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2012, hanya 6.3% pelajar gagal dalam matematik, sedangkan 51.8% pelajar yang ikut serta dalam PISA 2012 telah gagal. Muhyiddin dan pegawai Kementerian Pendidikan perlu menjelaskan perbezaan ini.

DAP menyeru agar dibentuk transformasi pendidikan yang tulen bagi memastikan "kecemerlangan pendidikan untuk semua pelajar" dan bukan hanya untuk 1.3% pelajar yang 51% daripada mereka gagal.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah