Kajian terkini oleh kerajaan mengesahkan penilaian PISA 2012 dan laporan Bank Dunia bahawa Malaysia tidak akan mampu menghasilkan pekerja berkemahiran tinggi untuk negara ini menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi melainkan jika transformasi pendidikan dilakukan ke arah mengejar kecemerlangan
Kajian terkini oleh kerajaan telah mengesahkan penilaian PISA 2012 (Programme for International Student Assessment) dan laporan Bank Dunia, berjudul "Malaysia Economic Monitor: High-Performing Education", bahawa Malaysia tidak akan mampu menghasilkan pekerja berkemahiran tinggi untuk negara ini menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi melainkan jika transformasi pendidikan dilakukan ke arah mengejar kecemerlangan dan bukan secara ala kadar.
Lee Chee Sung, penasihat kepada Institute of Labour Market Information and Analysis (ILMIA) - sebuah lembaga di bawah Kementerian Sumber Tenaga Manusia - menyebut dalam majlis perasmian portal ILMIA di Kuala Lumpur kelmarin bahawa walaupun 400,000 peluang kerja telah dibentuk tahun lalu, Malaysia masih belum menjadi sbuah negara berpendapatan tinggi kerana ia kekurangan pekerja berkemahiran tinggi.
Dalam majlis yang sama, Menteri Sumber Tenaga Manusia Datuk Richard Riot Jaem mengakui bahawa pada masa ini, sekitar 28 peratus dari 12.7 juta tenaga buruh dalam negara terdiri daripada pekerja berkemahiran tinggi dan kerajaan mensasarkan untuk meningkatkan peratusan tersebut kepada 50 peratus menjelang tahun 2020.
Bagaimanapun, kedua-dua penanda aras pendidikan antarabangsa yang penting - Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) 2011 dan PISA 2012 - menunjukkan bahawa pencapaian Malaysia dalam membangunkan sumber tenaga manusia negara adalah lemah, sedangkan modal insan adalah pemacu asas bagi pertumbuhan ekonomi.
Seperti disebut dalam laporan Malaysia Economic Monitor Bank Dunia, sistem pendidikan membina kemahiran kognitif dan melengkapkan pekerja dengan pengetahuan yang dapat meningkatkan daya pengeluaran mereka dan memungkinkan inovasi untuk terjadi. Pengetahuan, dari peringkat asas seperti kemahiran membaca sehingga kejuruteraan maju, yang disalurkan menerusi sekolah adalah amat penting untuk kemajuan ekonomi dan sosial kita.
Pendidikan Malaysia bermasalah bukan dari segi kuantiti atau akses kepada pendidikan, sebaliknya mutu atau akses kepada pendidikan bermutu. Bank Dunia menyifatkan usaha membentuk sistem pendidikan berprestasi tinggi sebagai "satu unsur penting dalam transformasi Malaysia ke arah menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi, lestari dan inklusif."
Atas sebab inilah semua rakyat Malaysia perlu memandang berat krisis sistem pendidikan Malaysia dalam keadaan prestasi Malaysia menurut penilaian antarabangsa adalah di bawah tahap yang wajar bagi sebuah negara yang mempunyai pendapatan per kapita serta perbelanjaan untuk pendidikan seperti Malaysia, selain kerana prestasi Malaysia lebih buruk daripada negara-negara berpendapatan tinggi yang kita anggap sebagai pesaing dalam usaha menarik masuk pelaburan berasaskan inovasi dan pengetahuan.
Malaysia berdepan dengan dua masalah berkembar dalam usaha membentuk sistem pendidikan berprestasi tinggi, iaitu untuk memastikan:
- bahawa pelajar Malaysia berusia 15 tahun yang pencapaian mereka di bawah tahap purata antarabangsa serta ketinggalan empat atau lima tahun di belakang rakan-rakan mereka yang sebaya dari negara-negara berprestasi tinggi seperti Shanghai, Singapura, Korea Selatan, Hong Kong, dan Taiwan mampu membuat lonjakan berganda dalam PISA 2021 dari tangga sepertiga tercorot ke tangga sepertiga terbaik; dan
- peningkatan besar dari segi peratusan pelajar berprestasi tinggi dalam subjek matematik, sains dan bacaan.
Untuk subjek matematik dalam PISA 2012, Shanghai-China memiliki pelajar berpencapaian terbaik, iaitu pada Tahap 5 atau 6 (55.4%), diikuti oleh Singapura (40%), Taiwan (37.2%), Hong Kong (33.7%) dan South Korea (30.9%). Sekitar 15 hingga 25 peratus pelajar Belgium, Kanada, Finland, Jerman, Jepun, Liechtenstein, Macao, Netherlands, New Zealand, Poland, dan Switzerland mencatatkan prestasi terbaik dalam matematik.
Sebagai perbandingan, hanya 1.3% pelajar Malaysia tergolong sebagai pelajar berpencapaian terbaik, sedangkan lebih dari separuh pelajar Malaysia (51.8%) tidak mencapai tahap keupayaan asas yang memadai dalam bidang tersebut (di bawah Tahap 2).
Pelajar Malaysia dalam kumpulan 5% terbaik sekali pun menunjukkan pencapaian yang hanya setara dengan pelajar biasa dari Korea dan Jepun.
Suatu perkara yang perlu diperhatikan, pencapaian Malaysia berada di bawah Vietnam, sebuah negara berpendapatan rendah yang baru pertama kali menyertai PISA pada tahun 2012. Sebanyak 13.3% pelajar Vietnam digolongkan sebagai pelajar berpencapaian tinggi dan hanya 14.2% yang keupayaan asas dalam subjek Matematik mereka berada di bawah tahap asas.
Perbandingan mata PISA 2012 antara Vietnam dan Malaysia perlu diperhatikan secara lebih dekat oleh para pemimpin politik, perancang pendidikan dan ibu-bapa Malaysia:
Matematik | Sains | Bacaan | |
Vietnam | 511 | 528 | 508 |
Malaysia | 421 | 420 | 398 |
Apakah Malaysia mempunyai kesungguhan politik untuk mengubah sistem pendidikannya menjadi sistem pendidikan berprestasi tinggi demi mengejar kecemerlangan dan bukan hanya terbiar menjadi satu sistem ala kadar untuk membolehkan Malaysia mencapai matlamat untuk menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi, lestari dan inklusif menjelang tahun 2020?